TIPS UNTUK PELAJAR PENGAJIAN HUBUNGAN ANTARABANGSA

21616208_10210471905616330_3696770487528864450_n

Semenjak bermulanya semester untuk pelajar-pelajar ijazah sarjana muda ini, agak ramai juga yang menghantar mesej peribadi ke FB saya bertanyakan tentang bidang pengajian Hubungan Antarabangsa (IR). Secara jujurnya, saya sendiri bukanlah seseorang yang betul-betul mahir dalam bidang ini untuk memberi nasihat. Jadi, sekadar sedikit pengalaman yang saya ada dalam mendalami bidang ini, saya titipkan sedikit perkara yang mungkin boleh diambil dan dilakukan dalam mendalami bidang Hubungan Antarabangsa ini.

1) Kenali teori-teori asas dalam IR dan buat penelitian yang mendalam terhadapnya. Paling kurang empat teori asas yang akan dipelajari adalah realisme (realism), liberalisme (liberalism), idealisme (idealism), dan konstruktivisme (constructivism). Semua teori itu perlu dibaca dalam ruang lingkup IR yang pragmatis dan empirikal, bukannya falsafah ontologis.

Selepas dah hadam teori-teori asas itu, barulah masuk kepada teori-teori kritikal (critical theory) dan teori-teori pascamoden dalam IR seperti “post-realism“, “post-positivism“, “feminism“, “neo-gramscianism“, “neo-liberalism“, dan banyak lagi. Teori-teori baru dalam IR adalah sangat banyak, jadi dalami teori-teori asas itu dulu.

Selepas itu masuk lagi lebih dalam kepada teori-teori analisis sosial dan global seperti “world system theory“, “dependency theory“, “globalization“, “postcolonialism“, “game theory“, dan sebagainya.

Pernah seorang pelajar kursus IR, tetapi bertanyakan saya satu soalan untuk tugasan akademik dia: “Apakah liberalisme itu selari dengan ajaran Islam?” Saya tidak tahulah berapa markah dia dapat selepas itu daripada pensyarahnya itu.

2) Fahami konsep-konsep yang digunakan dalam IR. Terdapat banyak konsep dalam IR yang perlu difahami supaya dapat memahami bagaimana dunia bergerak pada hari ini. Jangan ambil remeh tentang soal konsep, kerana konsep-konsep dalam IR adalah sangat penting, dan setiap konsep itu membuahkan perbincangan yang sangat panjang dan terperinci. Ianya tidak sekadar konsep yang bergerak di atas definisi, tetapi ianya masuk dalam ruang lingkup kefahaman terhadap global sekaligus.

Antara konsep-konsep penting yang harus difahami adalah pakatan (alliances), kawalan persenjataan (arms control), perlumbaan senjata (arms race), perseimbangan kuasa (balance of power), diplomasi (diplomacy), pemujukan keras (deterrence), geopolitik (geopolitics), kuasa-kuasa besar (great powers), kepentingan negara (national interest), campur tangan kemanusiaan (humanitarian intervention), dilema keselamatan (security dilemma), kedaulatan (sovereignty), negara gagal (failed stated), negara pariah (pariah state), pemusnahan senjata (weapon of mass destruction), hegemoni (hegemony), dan banyak lagi.

Itu adalah konsep-konsep asas yang perlu difahami dan akan bertemu dalam kuliah-kuliah. Kalau kurang mahir dengan konsep-konsep tersebut, mungkin akan menjadi sukar nak fahami perbincangan dalam kelas apabila sudah masuk hal-hal politik antarabangsa.

3) Ambil tahu isu-isu semasa antarabangsa. Ini sangat penting. Tidak dinamakan IR kalau tidak berbincang tentang hal-ehwal dunia semasa. Perkara ini perlu menjadi rutin setiap hari. Ada pensyarah (pengalaman saya) yang akan masuk kelas pagi-pagi dengan memulakan soalan, “Apa berita dunia pada hari ini?”

Banyak media yang boleh dijadikan pembacaan. Sebagai contoh, Al-Jazeera, Foreign Policy, The Economist, CNN, Middle East Monitor, New York Times, Al-Monitor, dan banyak lagi.

Paling tidak, semasa berjalan nak kelas tu, selaklah sedikit berita utama dalam media-media tersebut dalam telefon bimbing canggih tu.

Semua media ada berat sebelahnya sendiri, saya tahu. Tapi baca dan ambil tahu apa yang sedang berlaku. Bezakan antara fakta dan huraian. Macam mana nak beza? Saya akan huraikan pada poin di bawah.

4) Bezakan antara fakta dan huraian. Benda ini akan dipelajari dalam kelas metodologi kajian (research methodology) nanti. Saya terangkan secara ringkas di sini.

Ketika membaca berita, mulakan dengan persoalan, “Apa yang sedang berlaku?” Contohnya, berita memaparkan US meminta majlis keselamatan UN untuk mengundi terhadap sekatan kepada Korea Utara berhubung dengan pembangunan senjata nuklear. Itu faktanya.

Tetapi penghuraian akan bermula apabila berita itu menjawab persoalan, “Kenapa ianya berlaku?” Jadi, apabila menghuraikan berita di atas, media yang pro US akan memaparkan bahawa Korea Utara memberi ancaman kepada dunia, manakala media yang pro Korea Utara akan menunjukkan bahawa Korea Utara sedang menerima ancaman daripada US ataupun pembangunan senjata nuklear sebagai alat pertahanan negara dan sebagainya.

Itu semua akan menjadi perbincangan apabila masuk ke dalam analisis strategik. Itu secara ringkas saya berikan contoh.

Banyak lagi yang akan dibincangkan, sebab bidang IR adalah bidang yang melibatkan analisis. Jadi, kemahiran analisis tinggi adalah sangat diperlukan dan semua itu tidak akan mampu dipelajari dalam masa yang sekejap. Pembacaan luas dan pemikiran analitikal adalah diperlukan berserta alat-alat analisis yang dikuasai.

5) Banyakkan membaca sumber-sumber autentik umumnya, dan jurnal & buku khususnya. Paling tidak, bacalah sebuah jurnal sehari. Sebab jurnal-jurnal ini adalah bahan kajian akademik yang sangat autentik, justeru ianya sangat membantu dalam memantapkan penguasaan alat-alat analisis serta memperdalam pengetahuan kita. Dan jurnal inilah yang akan banyak dirujuk apabila menyiapkan tugasan nanti. Jadi, banyakkan membaca jurnal yang berlambak-lambak di internet.

Untuk buku pula, antara tokoh-tokoh IR yang seringkali dijadikan rujukan ialah Kenneth Walts, Samuel Huntington, Hans Morgenthou, Francis Fukuyama, Robert O. Keohane, David Cambell, Michael Walzer, Henry Kissinger, Martin Jacques, Mohammed Ayoob, Barry Buzan, John J. Mearsheimer, David A. Baldwin, dan ramai lagi.

Selain pembacaan berita-berita semasa, jurnal dan buku mesti menjadi teman karib. Tidak boleh tidak, mesti membaca. Supaya tidak sekadar menambahkan pengetahuan, tetapi minda dilatih untuk berfikir dan menganalisis. Barulah analisis IR akan menjadi lebih tajam.

6) Kenali siapa aktor bernegara (state actor) dan aktor tidak bernegara (non-state actor) serta fungsi-fungsinya. Selain mengetahui senarai 195 buah negara (lebih baik kalau dapat tampal peta dunia dalam bilik), perlu juga mengetahui aktor-aktor yang menggerakkan dan mempengaruhi pembentukan polisi-polisi asing.

Aktor bernegara ni secara ringkasnya adalah kerajaan lah, iaitu aktor-aktor yang dapat mewakili sesebuah negara dalam membuat polisi-polis domestik dan asing, manakala aktor tidak bernegara adalah aktor yang tidak mewakili mana-mana negara, tetapi keberadaannya itu memberi pengaruh besar kepada pembentukan polisi dunia. Contohnya ISIS, PBB, WHO, Amnesty, dan sebagainya.

Mereka inilah yang menjadi penggerak kepada pembentukan dinamik global pada hari ini.

Itu sajalah untuk sekadar tips awal bagi yang baru hendak bermula mempelajari dan memahami bidang Hubungan Antarabangsa. Sesiapa yang hendak tambah lagi senarai tips ini, sangat dialu-alukan.

Advertisement

AGAMA ITU HARUS BEBAS

53889959_10214572251282409_5852128932073046016_o

1) Pada 2 Mac 2019, saya menghadiri tayangan dokumentari Rahmat Buat Semua yang digerakkan oleh komuniti Malaysia Muda di Gerak Budaya. Projek ini merupakan suatu usaha yang baik daripada mereka dalam menjelaskan konsep Islam sebagai “rahmatan lil ‘alamin” kepada masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan terdiri daripada masyarakat muslim dan non-muslim ini.

2) Dengan naratif dan fakta dokumentari yang boleh diperincikan lagi dan suntingan video yang boleh ditambah kreatif, usaha mereka yang sedang membawa tayangan video 30 minit ini menjelajah ke seluruh Malaysia wajar dipuji dan disokong bagi memahamkan kepada masyarakat tentang pentingnya nilai kebebasan dan kesamaratan bagi setiap pelosok sosial.

3) Paling menarik ialah pada bahagian perbincangan pasca tayangan. Perbincangan berlangsung dengan kritis dengan respon peserta yang pelbagai dan membawa pandangan balas yang berbeza. Perbincangan semalam banyak menumpu kepada suatu isu yang saya rumuskan ke dalam satu soalan, “Agama dan politik : Apakah ia perlu disatukan atau perlu dipisahkan?”

4) Ada yang mengatakan bahawa majoriti masyarakat Malaysia adalah beragama Islam justeru naratif Islam dan pemerintahan itu tidak boleh dipisahkan. Islam itu sendiri adalah jalan hidup, justeru politik sebagai sesuatu yang sebagai sebahagian daripada cara hidup tidak boleh hendak dipisahkan. Ia adalah perlu dibincangkan secara selari. Tinggal sahaja pentafsiran Islam itu perlu lebih dinamik sesuai dengan keadaan semasa.

5) Dalam masa yang sama, ada juga memberi pandangan bahawa wacana agama dan politik atau hal-hal keideologian lain itu tidak boleh ditinggalkan begitu sahaja dalam perbincangan awam. Sebabnya, kita perlu menyediakan alternatif kepada wacana agama yang telah menjadi jalur utama dalam pemikiran masyarakat hari ini dengan membawakan pemikiran-pemikiran yang menyebabkan Islam kelihatan sempit dan mendiskriminasi hak kaum lain. Maka, kita perlu masuk ke dalam wacana sebegitu bagi menyampaikan bahawa ajaran Islam yang sebenar adalah tidak sesempit dan konservatif sebegitu.

6) Sekiranya kita tidak masuk ke dalam wacana sebegitu dan terus berpendirian kepada pemisahan langsung antara agama dan politik, akhirnya kita akan hanya meninggalkan terus persoalan-persoalan yang perlu dijawab kepada masyarakat dan masyarakat akan dibiarkan terkontang-kanting tanpa jawapan atau terus hidup dengan gaya pemikiran yang memahami Islam dengan cara yang sempit dan menindas. Jadi, perlu juga ada naratif Islam dalam mana-mana entititi untuk dibincangkan dalam mencerahkan masyarakat kepada nilai ajaran Islam yang sebenar.

7) Saya pula berpendirian sebaliknya.

8) Bagi saya, agama itu harus bebas daripada campur tangan unsur lain (politik, ideologi, ekonomi, dll) dan juga harus bebas daripada diselit-selitkan dengan perkara lain. Sebagai contoh, tidak perlu adanya sosialisme Islam, sekularisme Islam, liberalisme Islam, politik Islam, negara Islam, demokrasi Islam dan segala macam entiti dan ideologi lain yang hendak diselitkan dengan Islam. Ideologi ialah ideologi. Islam ialah Islam. Menyelit-nyelitkan begitu hanya menyempitkan makna Islam sahaja.

9) Hanya kerana sesuatu perkara atau entiti itu memiliki sebilangan ciri yang selari dengan ajaran Islam, tidak bermakna ianya adalah mewakili Islam itu sendiri. Islam itu berdiri sebagai sebuah ajaran yang memandu masyarakat kepada kebenaran dan kebaikan. Islam menyediakan asas-asas fundamental untuk manusia hidup. Jadi, tidak kisahlah manusia nak jadi apa sekalipun – liberal ke, sekular ke, sosialis ke, anarki ke – tetapi yang penting adalah memahami fundamental agama yang dapat memberikan kebaikan kepada masyarakat dan laksanakannya dalam kehidupan. Sebab ideologi atau sebarang sistem sekalipun adalah alat hasil daripada renungan pemikiran manusia, tetapi agama menyediakan asas bagaimana untuk memastikan alat tersebut berfungsi dengan baik dalam masyarakat.

10) Bayangkan sekiranya ketika kita mendakwa-dakwi bahawa sesuatu sistem atau ideologi itu lebih dekat dengan Islam, bagaimana sekiranya penganut agama lain pula mendakwakan hal yang sama dikaitkan dengan agama mereka (Kristian, Hindu, Buddha, Yahudi, dll)? Bagaimana sekiranya dikatakan corak sistem pemerintahan di Malaysia ini (yang kononnya ialah Negara Islam ini) lebih dekat pula ciri-cirinya dengan ajaran agama lain? Kacau tu. Tujuh keturunan tak habis debat.

11) Sebab itu perlunya kepada pemisahan antara agama dan politik. Apabila mengatakan pemisahan, bukanlah bermaksud tidak mengambil peduli langsung nilai-nilai agama untuk menjadi naungan politik. Sebarang perkara daripada nilai-nilai ajaran agama yang baik itu, wajar sajalah dikedepankan dan diterapkan dalam pemerintahan. Tidak perlu pun untuk melabel politik atau apa jua perkara sekalipun dengan tempelan jenama agama bagi mencari sokongan dan keuntungan.

12) Cukup mengambil intipati ajaran agama seperti keadilan, kebebasan, kesaksamaan, kesantunan, dll itu dan terapkan dalam kehidupan dan sistem politik. Pengamalan kepada nilai itu yang lebih penting, kerana penjenamaan agama kepada sesuatu itu tidak menjadikan kita lebih beriman pun. Malah yang sibuk bergaduh tentang jenama itu sendiri kebanyakannya sampai melabel orang, menyindir, memberikan kata-kata negatif, mendiskriminasi, dan sebagainya itu yang langsung bertentangan dengan ajaran agama.

13) Jika tidak, akhirnya yang terfitnah itu kepada agama itu sendiri juga apabila berlakunya kesilapan dan kelemahan dalam pengurusan. Katakan sahaja Malaysia ini Negara Islam, tetapi kadar korupsi jauh lebih tinggi daripada negara Islam, apakah jawapan kita kepada orang bukan Islam terhadapnya? Apakah kita akan sentiasa berapologetik dan membuat penafian bahawa, “Oh, Ini bukan ajaran Islam. Islam mengajarkan kebaikan, tetapi kelemahan ini datang daripada kekurangan dan hawa nafsu pengikutnya sendiri.”

14) Berapa ratus tahun kita perlu berapologetik sedemikian, sedangkan yang kita tampilkan sentiasa tidak seindah daripada apa yang kita khabarkan? Malah, bagaimana pula kita mahu menjawab bahawa apa yang dijenamakan Islam dengan apa yang tidak dijenamakan itu secara hakikinya tidak ada beza pun?

15) Tuhan tidak memerlukan negara untuk dijenamakan dengan nama muluk-muluk pun untuk Dia turunkan rahmat dan keberkatan. Yang Tuhan anjurkan kepada manusia ialah khalifah yang ditugaskan untuk memakmurkan dan menyebarkan kesejahteraan kepada dunia, tidak kisahlah kepada apa dan siapa sekalipun. Jadi, fokus sajalah kepada tugas-tugas untuk memakmurkan dunia.

16) Saya juga berpendirian bahawa kita tidak semestinya perlu masuk kepada wacana agama jalur utama dengan membawa wacana alternatif yang serupa juga. Jika orang dengan wacana politik Islam, parti Islam, negara Islam (dan segala hal-hal yang diislamkan), kita tidak perlu untuk masuk ke dalam wacana yang sama untuk memahamkan masyarakat. Masyarakat yang sudah menerima kefahaman pada corak Islam yang berbentuk sebegitu tidak wajar untuk didatangkan dengan alternatif lain yang berbentuk serupa tetapi dengan versi yang berbeza.

17) Ada ketika, memang kita perlu datangkan tafsiran yang alternatif. Tetapi dalam isu begini, saya fikir yang perlu dilakukan adalah bawa kefahaman masyarakat kembali kepada kefahaman Islam yang sebenar dan luas tanpa perlu menempelkan juga dengan elemen lain seperti ideologi, sistem politik, dan sebagainya. Membawa keluar masyarakat daripada jerat harimau, tidak wajar pula dengan menunjukkan mereka kepada jerat yang barangkali ada binatang berbisa pula sedang menanti di hadapan. Perbalahan tentang tafsiran siapa yang paling baik tanpa berkesudahan ketika masyarakat di luar sana sedang menghadapi kemiskinan, kelaparan, penderitaan, diskriminasi, ditindasa,dan sebagainya adalah tidak menguntungkan.

18) Yang lebih baik saya kira, keluarkan masyarakat daripada belitan sebegini dengan membawa mereka kembali kepada ajaran agama yang tulen tanpa perlu mengait-ngaitkan mereka dengan apa-apa entiti sekalipun. Fahamkan masyarakat kepada nilai fundamental agama itu secara langsung dan tunjukkan mereka kepada pengalaman beragama yang sebenar. Kelak mereka sendiri akan terjemahkannya dalam kehidupan walau apa jua fahaman dan kepercayaan mereka sekalipun dalam hidup ini apabila mereka sudah faham apa erti beragama.

19) Kalau masyarakat kita ni majoriti sememangnya jenis berlapang dada dengan perbezaan pendapat tidak apa. Tapi yang kita hadapi sekarang ialah golongan yang tidak mahu masyarakat itu berbeza dan berasa mulia dengan identiti keagamaan dan kebangsaan mereka serta melihat orang yang tidak sama identiti dan kepercayaan mereka sebagai lebih rendah dan perlu menuruti sahaja apa jua kepercayaan mereka. Golongan inilah yang suka mencari keuntungan dengan menempel-nempel agama dengan politik, ekonomi, perundangan, perbankan, dan sebagainya agar masyarakat mudah terikut-ikut dengan bawaan mereka. Jadi, untuk mendidik masyarakat agar tidak berperilaku seperti itu, kita tidak boleh nak bawa masyarakat kepada bentuk yang seperti itu juga.

20) Sekadar itu pandangan saya.

Kredit gambar: Komuniti Malaysia Muda

APAKAH BIDANG SAINS SOSIAL HANYA BERGELUMANG DENGAN DUNIA TEORI?

57085367_10214889800260935_3597984770618818560_n

Apakah bidang sains sosial hanya bergelumang dengan dunia teori?

Jawapannya, ya dan tidak.

YA.

Sebab sains sosial penuh dengan teori. Ada orang yang masuk ke dalam bidang sains sosial hanya fokus kepada teori semata-mata. Bidang sosial adalah bidang yang mencerap tingkah laku kemasyarakatan, maka teori-teori akan membahaskan sebab dan akibat masyarakat berperilaku sedemikian. Kelihatannya mudah kan? Tidak mudah.

Ia tidak semudah untuk berkata, “Punca peningkatan jenayah rogol adalah sebab perempuan tidak pakai tudung”. Untuk mentafsir perilaku manusia, banyak aspek perlu dibuat penilaian dan setiap aspek itu pula adalah terdiri daripada bidang ilmu yang tersendiri.

Sudah tentu penuntut sains sosial tidak akan mampu nak belajar semua benda, maka sebab itu bidang sains sosial mengajar bagaimana hendak buat kajian sosial. Maka, teori adalah menjadi punca awal kepada kajian. Teori yang dibentuk daripada cerapan fakta empirikal atau perbahasan falsafah menjadi asas kepada kaedah melakukan kajian.

Kalau dalam bidang agama ada kaedah-kaedah (qawa’id) yang perlu dimahiri sebagai alat dalam proses istinbat hukum, begitu juga teori dalam bidang sains sosial yang bertindak sebagai kaedah untuk merumuskan perilaku manusia.

Sebab itu ada ilmuwan sains sosial yang memilih untuk hanya bergelumang dengan bidang teori demi membangunkan teori-teori sains sosial sebagai sumbangan kepada para pengkaji sains sosial untuk merawat masalah masyarakat, seperti para usuliyyun yang menghabiskan masa hidupnya untuk membangunkan usul-usul syariah sebagai sumbangan kepada umat dalam memahami dalil agama.

Maka, jangan remehkan ahli teori yang sentiasa membahaskan tentang teori-teori. Sumbangan dia mungkin tak membumi secara langsung, tapi sumbangannya besar kepada saintis sains sosial untuk menjalankan kajian atau merancang polisi. Kalau tidak ada ahli teori, saintis sains sosial pun kekurangan panduan untuk menjalankan kajian.

TIDAK.

Sebab penuntut sains sosial tidak hidup untuk berbahas teori semata-mata. Sebetulnya, penuntut sains sosial banyak diajar untuk memahami masalah-masalah empirikal.

Kalau dalam IR (international relations), belajar tentang perilaku masyarakat politik antarabangsa. Kalau dalam sains politik, belajar tentang perilaku masyarakat politik dalam membuat keputusan. Kalau dalam sosiologi, belajar perilaku masyarakat kolektif dalam kehidupan. Kalau dalam komunikasi, belajar tentang perilaku masyarakat dalam berhubungan. Semua itu memerlukan kepada analisis untuk memahami jawapan tepat kepada masalah yang berlaku.

Ramai orang nampak penuntut sains sosial hanya sekadar bagi pandangan demi pandangan yang bersifat subjektif lalu rasa, “Alah, aku pun boleh cakap kalau begitu. Tak perlu belajar tinggi-tinggi pun.”

Ianya bergantung, sama ada pandangan itu datang daripada pandangan segera peribadi, atau sememangnya sudah berasaskan kajian. Sama seperti seorang mufti yang bagi jawapan segera di meja ceramah berbanding fatwa-fatwanya yang sudah melalui proses istinbat hukum.

Begitu juga dalam bidang sains sosial, teori-teori itulah yang akan menjadi alat dalam proses kajiannya. Hasil kajian itu sudah tentu boleh diperdebatkan semula, tapi ketahuilah upaya untuk mendapatkan hasil itu tidak mudah.

Jadi?

Jadi, jangan ambil mudah dan buat-buat tahu untuk merumuskan masalah kemasyarakatan. Tidak ada masalah pun sesiapa nak bagi pandangan, kerana setiap orang ada idea dan pandangannya tersendiri. Malah saintis sains sosial juga banyak mendapat kebaikan daripada pandangan awam (public opinion).

Tapi, proses merumus dan menawarkan penyelesaian kepada masalah sosial adalah tidak mudah dan ada disiplinnya untuk membuat rumusan. Maka sebab itulah bidang sains sosial itu wujud.

ULASAN PASCA FORUM MENGENAI ISU ICERD

50928415_10214273907063990_4105798656903348224_o

Pada 17 Januari 2019, saya diberi peluang untuk sepentas dengan Prof. Madya Dr. Shamrahayu bagi membincangkan sebuah isu yang kontroversial, iaitu ICERD: Malaysia Di Mata Dunia. Sepanjang saya menjadi panelis bagi mana-mana forum, ini adalah sebuah forum yang paling menarik untuk saya kerana ianya telah menjadi forum yang diwacanakan secara ilmiah dan kritis, dan forum tersebut agak sedikit hangat apabila saya dan Dr. Shamrahayu saling merespon antara satu sama lain dalam beberapa pandangan.

Tetapi kami masih tetap menghormati antara satu sama lain dan memberi peluang penuh kepada setiap antara kami untuk menghabiskan pandangan masing-masing tanpa celahan.

Walaupun isu ICERD ini mungkin dianggap sebagai isu yang “basi” di Malaysia memandangkan Pejabat Perdana Menteri telah mengeluarkan kenyataan yang Malaysia tidak akan meratifikasi ICERD sebelum ini, tetapi elok juga sekiranya isu ini diimbau semula kerana intipati ICERD itu sendiri adalah terbuka kepada perbincangan ilmiah.

Di sini saya merumuskan beberapa pendirian yang saya lontarkan dalam forum tersebut.

1) Pertama, saya berpendirian bahawa ICERD adalah suatu konvensyen yang jika tidak ratifikasi pun Malaysia tiada kerugian apa-apa, tetapi jika diratifikasi, ada manfaatnya untuk Malaysia. Sebab, sesebuah konvensyen bukanlah sesuatu yang wajib diratifikasi oleh mana-mana negara anggota PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu). Tetapi, jika diratifikasi, ia memberi kesan positif kepada imej Malaysia di mata dunia dan memaparkan komitmen Malaysia untuk membasmi sebarang diskriminasi di peringkat tempatan mahupun antarabangsa.

Dalam masa sama, rakyat Malaysia dapat menikmati kesamarataan hak tanpa menjejaskan hak-hak keistimewaan Melayu dan bumiputera seperti yang termaktub dalam Perlembagaan. Kerana Perkara 1(4) ICERD sendiri sudah membenarkan sebarang tindakan afirmatif diambil bagi menjaga hak kaum tertentu dalam memastikan kesamarataan sosial.

2) Kedua, saya tidak setuju bahawa ICERD adalah isu agenda Barat. Tidak boleh sekadar bermudah-mudahan untuk buat kesimpulan melulu, kerana ICERD itu sendiri ditubuhkan daripada pengalaman-pengalaman dunia yang menghadapi diskriminasi yang teruk pasca Perang Dunia Kedua dan ketika era Perang Dingin. Isi kandungan ICERD adalah melibatkan garis panduan untuk membasmi sebarang diskriminasi.

Nak buat bacaan tersirat pun, tidak wajarlah sampai membina sangkaan-sangkaan yang tidak berasas. Walaupun Malaysia bukan sebuah negara “superpower”, tetapi pengalaman negara-negara lain yang “small power” tapi telah meratifikasi ICERD pun tidaklah menunjukkan kesan negatif daripada peratifikasian ICERD ke atas negara mereka.

3) Ketiga, dalam Perkara 1(1) ICERD, istilah ras, warna kulit, keturunan, asal-usul kebangsaan dan etnik tidak diberikan definisi yang mutlak. Malah, dalam Perkara 5(a)(b)(c)(d)(e)(f) juga tidak memberi definisi yang betul-betul mengikat tetang hak-hak sivil dan layanan kesamarataan tersebut. Hal ini bermakna ICERD memberi kebebasan kepada negara-negara yang meratifikasinya untuk mendefinisikan perkara-perkara tersebut sesuai dengan konteks setempat.

Sebagai contoh, sekiranya ras Melayu yang diletakkan dalam Perlembagaan adalah memasukkan elemen-elemen budaya, bahasa, dan agama, maka itu adalah definisi ras di negara Malaysia. Maka, sebarang polisi anti-diskriminasi tidak ada masalah untuk mengambil kira elemen-elemen tersebut sebagai pertimbangan.

4) Keempat, isu ICERD tidak akan menjejaskan kedaulatan Malaysia. Perkara 8-16 ICERD sendiri sudah memberitahu proses-proses yang diambil dalam perlaksanaan ICERD, dan tindakan tertinggi yang akan diambil pun adalah memberi amaran dan cadangan kepada sesebuah negara atas diskriminasi yang berlaku. Itupun sekiranya diskriminasi yang berlaku itu sudah terlalu teruk sehingga melanggar isu-isu kemanusiaan.

Malah, Piagam PBB sendiri pada Bab 1, Perkara 2(4) telah memperuntukkan bahawa tidak boleh ada campur tangan terhadap integriti wilayah dan kebebasan politik bagi mana-mana negara. Jadi, ratifikasi ICERD tidak akan menjadikan kedaulatan negara tergadai, mengikut telunjuk PBB, atau apa-apa sangkaan berkaitan yang tidak munasabah.

5) Kelima, prinsip “pacta sunt servanda” (Every treaty in force is binding upon the parties to it and must be performed by them in good faith) yang dipakai dalam perundangan antarabangsa itu perlu dilihat pada konteksnya. ICERD adalah suatu konvensyen yang bersifat “moral binding”, di mana negara yang meratifikasinya adalah secara moralnya perlu mematuhi isi konvensyen.

Tetapi pelanggaran terhadap ICERD tidak akan sampai menjadikan negara menerima sebarang tindakan sekatan (sanction) atau apa-apa yang boleh merugikan ekonomi dan kedaulatan negara. Kecualilah kalau sampai tahap berlakunya etnik konflik dan genosid (genocide) yang melibatkan isu-isu kemanusiaan. Isu-isu itu tidak semestinya menandatangani ICERD pun akan terdedah kepada hukuman antarabangsa kerana telah melanggar “customary law”, ataupun hukum tidak rasmi yang telah dianggap sebagai pengamalan lazim dalam masyarakat antarabangsa.

6) Keenam, isu ICERD adalah isu perundangan antarabangsa (international law), dan bukannya isu perundangan domestik (municipal law). Jadi, perbincangannya harus melihat dari kaca mata perundangan antarabangsa. Walaupun ia masih dalam kerangka perundangan, tetapi perbincangan dan perlaksanaannya adalah tidak sama.

Paling utama, dalam perundangan antarabangsa, tidak ada badan pelaksana khusus yang akan menghukum mana-mana negara seperti mana badan perundangan negara menghukum pesalah-pesalah jenayahnya. Hal-hal yang berkaitan hukuman antarabangsa ini adalah melibatkan persetujuan majoriti negara-negara anggota PBB. Badan yang ada dalam menjadi pihak perantara dalam membincangkan isu-isu pertikaian pun adalah International Court of Justice (ICJ). Itupun sekiranya pertikaian tersebut melibatkan kepentingan antara dua negara atau lebih pada kes-kes yang melibatkan kemanusiaan ataupun diplomatik merentasi sempadan wilayah kenegaraan.

Jadi, isu ICERD ini tidak wajar dipolitikkan, melainkan dinilai daripada kaca mata yang jujur. Ia terbuka kepada sebarang perbincangan ilmiah, dan banyak perkara daripadanya yang boleh membuka mata masyarakat Malaysia tentang proses-proses dalam sistem perundangan antarabangsa yang akan mencerdikkan masyarakat Malaysia tentang soal hak dan kedaulatan negara. Tak perlu nak tutup mulut orang dengan mengapi-apikan sentimen bangsa dan agama, kerana ia tidak akan mencerdikkan melainkan sekadar benteng hujah terakhir apabila sudah ketandusan idea.

RELEVANKAH LAGI TULISAN JAWI?

Saya mempunyai suatu pandangan yang tidak popular mengenai tulisan jawi, iaitu: Tulisan jawi tidak perlu dikekalkan. Kelangsungan bangsa Melayu tidak bergantungan pada tulisan Jawi.

Sabar dahulu sebelum mengulas. Izinkan saya menyampaikan hujah.

Begini. Bahasa merupakan sesuatu yang wujud sebagai sebuah alat komunikasi yang bersistem dan berstruktur. Walaupun tulisan adalah sebahagian daripada bahasa itu sendiri, namun dalam konteks bahasa Melayu itu sendiri, pengembangan bahasanya adalah unik kerana evolusi bahasanya telah merombak langsung terhadap sistem tulisannya yang telah beranjak daripada tulisan Melayu purba kepada tulisan jawi, dan akhir sekali kepada tulisan rumi. Hal ini lebih terperinci dibincangkan dalam wacana pascakolonialisme di Alam Melayu, tetapi suatu hal yang perlu kita terima adalah proses pengembangan bahasa Melayu itu adalah melalui evolusi tulisannya yang beredar pada semangat zaman yang semasa.

Saya bukannya menolak atau ingin menghapuskan tulisan jawi. Saya sendiri juga boleh saja menulis jawi. Tulisan jawi adalah sebahagian daripada sejarah bangsa Melayu. Jadi kita perlukan tulisan jawi itu bagi menjejak semula bahan-bahan arkeologis yang menyimpan banyak kandungan ilmu kesejarahan dan kebudayaan tamadun Melayu.

Tapi yang saya persoalkan sekarang adalah dari sudut kerelevan tulisan itu sebagai alat komunikasi dan bahasa ilmu pada masa sekarang. Sebagai alat komunikasi, kita mungkin akan dapat memberdayakan tulisan tu melalui penulisan dan surat-surat. Tapi kita kena ingat, kita sekarang berada pada era Revolusi Industri 4.0, di mana banyak hal adalah melalui urusan digital. Kita sekarang tidak boleh lagi sekadar memikirkan tulisan jawi itu sebagai tulisan yang digunakan dalam komunikasi tulisan di atas kertas-kertas. Ia juga perlu difikirkan untuk komunikasi di atas digital. Dengan kemajuan moden pada hari ini, saya tidak fikir tulisan jawi itu relevan untuk wujud sebagai sebuah bahasa digital.

Manakala sebagai bahasa ilmu, bagaimana tulisan jawi itu mampu berdiri sebagai sebuah bahasa ilmu seperti mana kewujudannya pada zaman dahulu? Kita tidak boleh bandingkan dengan tulisan Parsi ataupun Cina, sebab Parsi dan Cina tidak sekadar berdiri sebagai sistem tulisan semata-mata. Kedua-duanya berdiri lengkap sebagai sebuah sistem bahasa. Parsi dan Cina memiliki sistem bahasanya tersendiri yang lengkap sebagai sebuah sistem komunikasi. Bahasa Parsi sudah wujud ribuan tahun lampau dan ia memiliki evolusinya yang berterusan sehingga ke hari ini menyebabkan ia mampu berdiri dengan sendiri. Begitu juga dengan bahasa Cina. Evolusi bahasa Parsi dan Cina tidak berevolusi daripada perubahan budaya atau apa. Kedua-duanya konsisten berevolusi daripada peredaran zaman dan seiring dengan kepengarangan bahasa ilmu menyebabkan evolusi mereka itu tidak langsung menggugat asas-asas yang ada pada bahasa mereka.

Tetapi ia tidak berlaku untuk bahasa Melayu dan tulisan Jawi. Sebab tulisan tersebut sudah tidak berdaya lagi menampung ‘zietgiest‘ zaman sekarang yang memiliki falsafah, astrologi, dan segala kebudayaan ilmu yang sudah jauh berbeza daripada ketamadunan Melayu silam. Saya memisahkan kedua-duanya sebab Bahasa Melayu berdiri sebagai sebuah sistem bahasa yang berevolusi dengan tidak seiring dengan tulisan jawi. Bahasa Melayu sebagai sebuah identiti pepejal mengalami banyak evolusi daripada perubahan agama dan budaya menyebabkan banyak asas-asas tulisan Bahasa Melayu sudah berubah, dan tulisan jawi adalah sebahagian daripada identiti cecair yang dicairkan oleh perubahan zaman.

Ulama-ulama nusantara menggunakan tulisan jawi dalam penulisan-penulisan kitab kerana itulah tulisan pengantar komunikasi dan budaya masyarakat pada zaman dahulu. Manakala tulisan pengantar pada zaman ini menggunakan tulisan rumi sebagai tulisan pengantar. Kecairan identiti tulisan tidaklah sampai mencairkan sama identiti bangsa Melayu itu sendiri. Kita yang menulis rumi dalam komunikasi seharian kita tidaklah sampai mencairkan sekali identiti keMelayuan dalam diri kita. Bermakna sistem tulisan khususnya tulisan Jawi tidaklah menjadi sebuah identiti pepejal kepada masyarakat Melayu.

Tengoklah pada tulisan kawi dan rencong itu. Disebabkan perubahan agama dan budaya, penggunaan tulisan juga turut berubah kepada huruf-huruf yang diambil daripada Arab menyebabkan tulisan Bahasa Melayu menggunakan tulisan jawi yang masih baru dalam peredaran zaman menyebabkan ia perlu mengambil masa untuk berevolusi sebagai bahasa ilmu. Evolusi bahasa ini bukan sesuatu yang sekejap. Ia makan masa berabad-abad lamanya.

Era pasca merdeka menjadikan tulisan jawi digantikan dengan tulisan rumi lalu terus memutuskan akar tradisi tulisan jawi itu sepenuhnya lalu menyebabkan evolusi tulisan jawi itu tersekat dan tidak berkembang luas. Jadi, bagaimana tulisan jawi yang tiba-tiba hendak dihidupkan semula ini hendak mengalami evolusinya dalam tempoh yang singkat dengan perkembangan zaman yang terlalu pantas masa sekarang ini?

Evolusi bahasa tidak sekadar dengan faktor dalaman seperti abjad, tatabahasa, kata pinjaman, dan lain-lain, evolusi bahasa turut berlaku dengan faktor luaran seperti pelahiran istilah-istilah kata kunci yang memegang pintu kepada sesebuah ilmu, pengadaptasian dengan bahasa-bahasa ilmu kontemporari yang tidak wujud pada zaman sebelum terputusnya tradisi penulisan jawi, kepengangaran tulisan jawi untuk mewakili “zeitgeist” masyarakat kontemporari, dan banyak lagi hal-hal lain yang tidak akan sekadar selesai berlaku sekadar dalam masa dua tiga dekad.

Persoalan mudah: Bagaimana tulisan jawi hendak menulis ilmu-ilmu kontemporari – seperti ilmu perubatan, kejuruteraan, astronomi, perundangan, dan sebagainya – yang kebanyakannya diambil daripada Barat dan menggunakan bahasa Inggeris untuk diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu bertulisan jawi? Pengevolusian tulisan jawi tidak berlaku dengan dalam tempoh dekad yang terdekat. Hendak mengejar semula peredaran zaman yang bergerak pantas dalam keadaan tradisi penulisan Jawi yang sudah lama terputus dan ketinggalan jauh bukanlah sesuatu yang mudah.

Identiti bangsa Melayu terhakis dengan tidak menggunakan tulisan Jawi?

Ia tidak berlaku begitu. Tulisan Jawi merupakan identiti cair yang tidak menyimpan identiti pepejal Melayu secara langsung. Tradisi kebudayaan dan keilmuan Melayu tersimpan di dalam Bahasa Melayu itu sendiri yang turut boleh dibaca dan ditutur melalui tulisan-tulisan rumi. Tinggal sahaja kita perlu berterima kasih kepada tulisan-tulisan jawi yang banyak menyimpan khazanah peradaban tamadun Melayu justeru kesemua itu perlu dikaji dan digali semula agar turut dapat diakses oleh generasi pada masa ini. Yang menjadi identiti pepejal bangsa Melayu bukan pada tulisannya, tetapi pada nilai kebudayaan, keagaamaan, kesenian, kesejarahan, adab santun dan sebagainya yang terbangun sebagai peribadi seorang yang berbangsa Melayu.

Kita tidak dilihat sebagai tidak berbangsa Melayu atau nilai keMelayuan yang telah terhakis hanya kerana tidak menulis dengan tulisan jawi. Tulisan adalah alat untuk merakam ilmu. Jadi, apa-apa jua tulisan pun yang digunakan, yang paling relevan adalah tulisan yang boleh dibaca oleh masyarakat pada zamannya dan boleh memahami wacana-wacana yang ingin dibawa olehnya dengan baik. Adalah tidak praktikal jika hanya hendak mengangkat tradisi silam, kita telah meninggalkan aspek terpenting yang ingin dibawa oleh sesebuah tulisan, iaitu sebagai pemudah cara kepada alat penyebaran ilmu.

Sekali lagi saya tegaskan, pandangan saya bukanlah bertujuan menghapuskan tulisan jawi daripada kesejarahan dan kebudayaan bangsa Melayu. Malah saya juga menyokong pengajian tulisan jawi sebagai jati diri bangsa Melayu dalam membaca teks-teks Melayu klasik. Tetapi saya mempersoalkan semula kerelevanan tulisan Jawi itu sebagai bahasa ilmu dan komunikasi pada hari ini.

MENYELAK NOKTURNA DAN GAUN BULAN: ADA BULAN YANG BERKACA DI ANTARANYA

IMG_20180627_085114_HDR-01

 

“Pihak penganjur meletakkan matlamat yang berbeza daripada sayembara puisi yang biasa diadakan. Format konvensional yang menilai estetika dan kekuatan puisi berasas diksi, sintaksis dan kekuatan mesej serta pemikiran tetap diambil sebagai perkiraan. Namun keutamaan diberikan kepada manuskrip yang dapat menampilkan kelainan, keunikan yang mewakili zaman bahkan mencabar konvensi dan estetika yang biasa dipegang oleh masyarakat sastera. Hal ini memberikan dimensi yang dinamik dalam mencari manuskrip puisi yang menerobos sastera masa hadapan. Malah kelainan ini memberikan kesegaran baharu kepada sastera khususnya dunia puisi tanahair.”

(petikan Laporan Panel Hakim Sayembara Puisi Kata-Pilar 2017/18)

[PROLOG]

NOKTURNA: Ada seorang lelaki sedang berjalan – di tepi jalan; di bawah lampu jalan; di hadapan pantai; di lorong. Akhirnya di duduk di sebuah bangku di kaki lima dan memandang lalu-lalang manusia dengan sebuah renungan khayalan. Dia sebenarnya tidak lagi berada di tengah laluan manusia. Dia sedang berada di dalam laluan darah dan nafasnya sendiri. Di bersembunyi di celahan hati dan degupan jantung yang didengarinya semakin perlahan. Sepi. Sunyi. Dalam sedarnya, di meminta sepuntung rokok daripada seorang wanita yang sedang leka menghisapnya sambil mengeluarkan hilai tawa dengan tiga orang wanita lain lagi. Wanita itu memberinya sepuntung sambil tolong menyalakan rokok itu. Dia mengucapkan terima kasih, menghisap rokok, menghembus asap, dan merenung lagi. Sesekali dia melontarkan siulan. Dia sedar bahawa dia telah kehilangan sesuatu yang paling berharga dalam hidupnya: Mimpi. Kehilangan sebuah mimpi bererti kehidupan hanyalah himpunan gugusan realiti yang pedih dan sengsara. Untuk kembali semula kepada bayangan mimpi dan memeluk bahagia, ternyata, ia telah tiada.

GAUN BULAN: Malam semakin subur. Seorang jejaka berdiri di hadapan jendela yang terbuka dan membiarkan pandangannya terlontar jauh ke pantai. Angin dingin yang meniupkan rindu menyusup ke dalam dirinya menjadi darah menjad daging menjadi tulang menjadi sumsum. Ada bayangan wajah gadis dalam kepalanya dan dia tidak membiarkan wajah itu sekadar menjadi sebuah bayangan. Langsung dia memanjat ke dalam kepalanya sendiri dan menyatu ke dalam cermin imaginasi yang memantulkan gadis itu ke dalam ruang dirinya. Dia menikmati keghairahan cinta yang dikongsikan dengan pujuk rayu rindu dendam yang menjadi ukiran puisi daripada huruf-huruf yang mengalir keluar dari bibirnya. Dia memimpin tangan gadis itu melewati taman bunga dan memetik sekuntum cempaka yang diselitkan ke celahan rambut gadis tersebut. Tetapi apabila malam semakin memudar, dia sendirinya terlontar keluar dari kepalanya dan menemui dirinya yang terus merenungi pantai. Hujan turun dan dia terus menjadi seorang perenung dari sebuah jendela.

(1)
Saya telah usai membaca Nokturna dan Gaun Bulan sebelum ini. Kira-kira saya membacanya di dalam bas dalam perjalanan pulang dari Kuala Lumpur ke Terengganu untuk pulang beraya. Hanya dua buku puisi ini sahaja yang saya bawa pulang kerana saya ingin menghadamnya betul-betul. Saya tidak menyangka bahawa untuk dua buah buku puisi memerlukan saya mengoptimumkan lima jam perjalanan bagi menyudahkannya dari kulit ke kulit. Perasaannya adalah seperti menghabiskan sebuah novel – berjalan-jalan di antara bilah-bilah kata puisi dan menyelami makna setiap lakaran gambar di antara sela-sela puisi. Ada ketika saya seperti berjalan di dalam diri saya sendiri pada waktu malam – menyelami kesunyian dan kesendirian; ada ketika saya seperti menghirup kesegaran udara yang dibawa hujan pagi dengan seorang teman wanita di sisi – merasai amannya hidup menikmati cinta. Di antara kesunyian dan cinta, ada ruang di tengah-tengahnya yang mempersoalkan, “Di mana bahagia?”

(2)
Ketika Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang lalu, saya telah menemui Fahd Razy dan membincangkan serba sedikit tentang Sayembara Puisi Kata-Pilar ini. Saya juga telah menemui SM Zakir pada Kuliah Oakheart dan turut membincangkan hal yang sama pada penghujung kuliah. Saya membayangi sayembara ini sebagai suatu harapan baru kepada modernisasi sebuah sayembara susastera dengan membiarkannya berlalu secara demokrasi. Saya begitu teruja sekali apabila pihak Kata-Pilar menganjurkan pula kritikan pasca-sayembara dengan memberi ruang terbuka kepada sesiapa sahaja untuk menghunjam kritikan kepada karya-karya yang dimenangkan sayembara.

Sekurang-kurangnya di negara kita ini, bagi saya ini adalah sesuatu yang segar kerana ruang kritikan itu diberikan kepada masyarakat untuk membuka semula kota pandora yang telah dikunci oleh penilaian-penilaian juri yang seringkali dalam sayembara-sayembara lain, terangkul kemas kata-kata sakti, “Keputusan hakim adalah muktamad.” Apabila Kata-Pilar dengan berani memberikan kunci kepada orang lain untuk membuka kotak pandora itu, sebenarnya ia secara tidak langsung telah perlahan-lahan membakar peraturan-peraturan keramat yang merimaskan itu.

Ada orang mempertikai keputusan Kata-Pilar untuk tidak memuktamadkan keputusan juri dengan membuka ruang penilaian semula kepada orang lain kerana membimbangi akan perendahan kredibiliti para penilai dan menjatuhkan maruah para juri yang berpengalaman kerana ia membuka ruang kepada hentaman-hentaman yang bakal membuatkan kredibiliti para juri dipersoal.

Tetapi bagi saya, perkara sebegitu tidak akan berlaku kerana kita harus membezakan antara seorang pengarang ketika ia menulis dan seorang juri ketika dia menilai sayembara. Seorang pengarang barangkali memiliki cita seninya ketika menghasilkan karya, tetapi belum tentu citarasanya dalam memilih kata-kata akan menjadikan dia turut kental bercitarasa tinggi dalam menjurikan sayembara. Citarasa adalah sesuatu yang sangat seni dan ia tidak dilenturkan oleh peraturan dan formaliti. Seorang pengarang mampu mempunyai citarasa yang tinggi ketika dia membiarkan dirinya bebas mengarang kata-kata dan bebas dalam memilih apa-apa yang berkualiti untuk dibaca. Tetapi apabila diikat oleh formaliti dan syarat-syarat penjurian, citarasa seorang pengarang itu sendiri telah terbunuh dan dia terpaksa membuat pilihan dengan kekangan formaliti penjurian yang telah diberikan dan batasan penerimaan karya-karya yang tidak menentu aras kualitinya. Sebab seorang juri terpaksa membaca dan menilai bagi memilih pemenang sayembara, bukan menghadam dan menggeledah karya untuk mencari penerima Anugerah Sasterawan Negara.

Maka kritikan pasca sayembara adalah sesuatu yang harus diraikan dan dilebarkan, kerana ia akan menjadi kayu ukur yang padu untuk memberi suatu garis panduan yang lebih kritis untuk mempertingkat mutu formaliti dan syarat penjurian pada sayembara-sayembara yang akan datang.

(3)
Jujur saya katakan – dan perkara inilah yang saya khabarkan kepada Fahd Razy dan SM Zakir sendiri – bahawa saya lebih menyenangi Gaun Bulan berbanding Nokturna. Saya tidak mampu untuk menyembunyikan perasaan itu ketika pertama kali saya menyudahkan pembacaan kedua-duanya buat pertama kali sesudah saya pulang dari PBAKL, dan kali kedua saya membacanya dalam bas ketika perjalanan pulang ke Terengganu itulah. Pada saya, sekiranya fokus penjurian Sayembara Kata-Pilar adalah hendak mencari kelainan dalam pengkaryaan, maka saya kira – sekurang-kurangnya untuk di Malaysia inilah – Gaun Bulan lebih membawakan kelainan itu berbanding Nokturna.

Apabila saya mengatakan Gaun Bulan membawakan kelainan berbanding Nokturna, tidaklah pula saya mengatakan bahawa Gaun Bulan itu adalah lebih baik berbanding Nokturna. Kedua-duanya sebenarnya saling cabar-mencabar dengan gayanya yang tersendiri. Tetapi sementelah penganjur mengutamakan kelainan yang mencabar konvensi, saya kira Gaun Bulan memiliki kelainan tersebut (sekurang-kurangnya untuk rentak puisi di Malaysia inilah). Kita mungkin akan segera menangkap bahawa membaca puisi-puisi Gaun Bulan adalah seperti membaca puisi-puisi romantis Zaen Kasturi versi penulis muda tahun 2018. Tetapi tidak wajarlah untuk kita menghukum pengaruhannya secara melulu begitu kerana saya kira Gaun Bulan itu tampil bergaya dengan seni kata puisi yang mengalir lembut ke dalam mulut dan metafora-metafora nakalnya yang membuatkan kita seperti terawang-awang di atas tilam empuk kamar beradu cinta.

Membaca puisi-puisinya yang berwajahkan anekdot Gibran dan keromantisan Neruda menjadikan kita tertanya-tanya untuk mempersoalkan semula, “Puisi iatu apa?” Memulakan persoalan yang sudah purba ditanyakan semenjak zaman Aristotle itu paling tidak membuka ruang kepada pewacanaan segar kepada dunia puisi untuk terus dirombak dan dikonstruksi bagi menemukan penyusunan bilahan kata yang mengugut konvensi.

Paling tidak, saya merasakan Nokturna itu adalah terlebih baik di tempat kedua kerana puisi-puisinya terlalu kuat bau nafas Latif Mohiddin dan T. Alias Taib sehingga kita merasakan sudah cukup lali menghidu bau nafas mereka dan tidak lagi merasakan apa-apa daripadanya (walau tidak menafikan bahawa wajah kesendirian Nokturna adalah terlalu kuat memujuk kita untuk duduk bersunyian bersama merenung makna kehidupan).

(4)
Saya tidak mampu untuk benar-benar memahami apakah kelainan yang cuba dimaksudkan oleh penjurian sayembara, tetapi membaca Nokturna tidak lebih seperti membaca sajak-sajak T. Alias Taib mahupun Sapardi yang lebih berwajahkan kesendirian dan kesepian. Gaun Bulan pula sarat memiliki langgam Sapardi dan Aan Mansyhur yang lebih mewajahkan seseorang yang terlalu mengagungkan cinta dan wanitanya. Di antara Gaun Bulan dan Nokturna, kedua-duanya memiliki puisi apresiasi kepada Sapardi (maka tidak hairanlah kenapa Nokturna dan Gaun Bulan sangat kuat berwajahkan Sapardi). Seorang Sapardi Djoko Damono memiliki kekuatan wajah pengkaryaannya tersendiri yang dapat mendendami hati seorang pembaca untuk terus mengunyahnya sehingga ke akhir kata, tetapi Sapardi yang terlalu diwajah-wajahkan dalam kepenyairan penulis-penulis muda ketika ini menyebabkan terlalu banyak jadi-jadian yang merimaskan. Aliran bahasa, pemikiran, estetika, formaliti – semuanya – telah terlalu basah sehingga kuyup atau terlalu kering sehingga gersang.

Paradoks? Tidak. Saya baru sahaja mengelap debu-debu yang melekat di cermin mata kritikus dan memakainya semula.

Di sini saya letakkan kritikan saya terhadap Gaun Bulan dan Nokturna sekaligus, di mana kelainan itu tidak lagi menjadi sebuah kelainan apabila kita membaca kedua-duanya yang terlalu berusaha keras untuk memaknakan sebuah puisi dengan estetikanya yang tersendiri tetapi malu, segan, dan tiada keyakinan untuk sekurang-kurangnya memakai topeng diri sendiri berbanding terus-terusan memakai topeng orang lain yang sudah lusuh dan berbau. Kesendirian tidak lebih sekadar kesendirian yang tidak meyakini sebuah kewujudan diri sendiri; kecintaan tidak lebih sekadar kecintaan yang terus dikhayal-khayalkan dengan kebahagiaan semu. Saya tidak nafikan bahawa kita akan segera merasai kata-kata yang mengalirkan estetika ke dalam darah dan nafas kita apabila membaca Nokturna dan Gaun Bulan, tetapi estetika itu tidak sampai kepada urat dan jantung kita sehingga kita tidak dapat hendak mewarasi dan merasainya sebagai sebuah oksigen daripada nadi hayat kita sendiri. Kejadi-jadian yang terbit daripada puisi-puisi tersebut menyebabkan kita segera merasakan ada sesuatu yang tersekat dalam kerongkong dan tidak mengalir dengan lebih dalam.

[EPILOG]

Prolog tidak semestinya memerlukan sebuah epilog. Cerita-cerita manusia tidak akan pernah berakhir. Epilog tidak sepatutnya pernah wujud. Epilog sesudah membaca Nokturna dan Gaun Bulan akan membuka kepada sebuah prolog yang baru. Nokturna dan Gaun Bulan adalah sekeping bulan yang berkaca di tengah-tengahnya. Bulan itu pada ketika tertentu adalah sekeping kaca yang memantulkan cahaya, namun adakala kaca itu meretak dan cahaya tidak lagi terpantul dengan sempurna. Tidak ada masalah buat Nokturna dan Gaun Bulan, kerana segala ilustrasi yang mengiringi hampir setiap puisinya itu sendiri telah berdiri sebagai karya-karya lain dengan prolog-prolog yang tersendiri. Karya di atas karya. Seni atas seni telah menyempurnakan kedua-duanya dalam sebuah ruang vakum yang tersendiri.

NOTA BUAT PELAJAR UNIMAS SESI 2016/2017

11062363_10204593431058140_430677516062147289_n

1) Salam sejahtera dan selamat datang kepada pelajar-pelajar baru yang telah memasuki Universiti Malaysia Sarawak Sesi 2016/2017. Ini nota daripada seorang mantan mahasiswa daripada universiti yang sama, yang telah bergraduasi pada November tahun lalu dalam bidang Hubungan Antarabangsa.

2) Tujuan nota ini ditulis tidak sekadar untuk melahirkan aspirasi kegembiraan saya kepada kalian yang berjaya menjejakkan kaki ke menara gading, dan bukan pula bertujuan mencampuri institusi yang saya tidak ada kena-mengena lagi dengannya. Tapi sekadar berkongsi sedikit pesanan saya kepada kalian, dan saya jadikannya sebagai nota terbuka sementelah agak ramai daripada kalian yang menghantar mesej ke FB saya bertanyakan nasihat. Maka nota terbuka ini diharap kalian baca dan lebih jelas apa pesanan yang akan saya berikan, dan sentiasa saya berikan apabila ditanyakan.

3) Kalian perlu sedar bahawa kalian adalah orang-orang yang sedang beruntung apabila diberi peluang menjejakkan kaki ke universiti. Universiti bukan satu-satunya pusat keilmuan, tetapi tidak semua yang diberi peluang seperti kalian. Maka perkara pertama yang kalian perlu faham ialah: Apakah makna universiti? Kalian yang akan menentukan makna universiti buat diri kalian dan kalian mencorakkannya sebagai sebuah bentuk masa depan kalian.

Sebab itu saya katakan, kalian “sedang beruntung”. Kerana kalian sedang beruntung berada dalam sebuah pusat yang sepatutnya menjadikan kalian sebagai ilmuwan pencerahan yang menjadi pencerah kepada masyarakat. Tetapi jika kalian tidak memaknai “Apa itu universiti?” dengan betul, maka kondisi “sedang beruntung” akan boleh bertukar menjadi “sedang kerugian”. Kalian akan rugi jika universiti adalah sekadar tempat kalian untuk berulang-alik ke bilik kuliah, memasuki dewan peperiksaan untuk memuntahkan kembali hafalan-hafalan nota kalian, ataupun berada di bilik dan keluar hujung minggu berjalan-jalan. Jika itu makna universiti bagi kalian, jika itu kitaran hidup kalian sepanjang 3-4 tahun di universiti, maka ternyata kalian akan “sedang kerugian”.

Pernah saya tuliskan dalam satu kertas kerja saya bertajuk Pemaknaan Universiti Terhadap Intelektualisme Mahasiswa, saya nyatakan bahawa,

“Pemaknaan universiti sepatutnya menjadikan mahasiswa lebih berkesedaran ke arah intelektualisme yang lebih mendekatkan diri mereka dengan realiti kemasyarakatan dan menjadi seseorang yang lebih bertanggungjawab terhadap persekitaran di sekelilingnya. Kampus universiti adalah medan terbaik untuk mahasiswa mengenali realiti dan tidak sekadar terperuk di dalam bilik untuk mengulangkaji. Ketirisan pembudayaan ilmu di universiti menyebabkan roh sebenar universiti semakin pudar dan makna kependidikannya dalam erti kata yang sebenar semakin hilang. Keupayaan intelektualisme mahasiswa ini sepatutnya diperkuat perlu diperkuat kerana ianya adalah akar kepada keupayaan idealisme dan aktivisme mahasiswa untuk bergerak di barisan hadapan dalam memperjuangkan hak-hak masyarakat.”

4) Kefahaman dan kesedaran sebagai mahasiswa itu akan mencorakkan bagaimana kalian berfikir dan menuntut ilmu. Ada ilmu dituntut adalah sekadar untuk mendapat CGPA tinggi. Ada ilmu dituntut sekadar untuk memastikan masa hadapan diri sendiri cerah dengan pekerjaan yang bagus dan mengumpul harta yang banyak. Paling berbahaya, ada orang menuntut ilmu adalah untuk dijadikan alat membongkarkan kesilapan orang lain, di mana dengan ilmunya justeru dia melihat orang lain sentiasa tidak betul atau mengagung-agungkan diri sendiri dengan menganggap ia pakar dalam ilmu yang dipelajari.

Andai pemikiran sebegitu muncul dalam benak kalian, ianya adalah suatu kerugian. Mahasiswa perlu muncul sebagai watak-watak penting dalam pembentukan negara kerana merekalah yang akan memanifestasikan sebuah negara itu bakal menjadi apa. Suka saya petika satu kata-kata daripada Saidina Ali r.a “Jika ingin lihat siapa pemimpin pada masa akan datang, lihatlah siapa anak mudanya pada hari ini.” Sebab itu kefahaman pendidikan dalam pemikiran kalian itu harus tersemat pada ruang untuk mengisinya dengan makna ilmu dan adab yang sebenar.

Ruang ilmu dan pendidikan itu perlu diisi dengan meletakkan nilai ilmu itu pada kedudukannya yang sebenar. Jika universiti hanyalah sekadar pentas untuk berbicara soal cinta dan kahwin nikah, atau sekadar nyanyian dan qasidah, kependidikan kalian akan diukur berasaskannya dan pemikiran kalian akan disusun daripadanya. Kalian harus keluar daripada kepompong wacana populis itu dan terus membawa anjakan pemikiran kritikal dengan melihat universiti itu adalah sebuah negara, dan kalian adalah pemimpin yang membawa pembaharuan kepadanya dengan wacana dan paradigma yang kritikal dan terbuka.

5) Perpustakaan UNIMAS (CAIS) tu banyak buku-buku yang berkualiti. Ambil masa untuk selongkar setiap buku dan hadamkan. Kalian mungkin kekurangan masa dan tenaga untuk baca satu persatu bukunya, tapi jangan sampai tidak baca satu pun bukunya. Adalah suatu kerugian apabila buku-buku di CAIS itu sekadar ditelaah ketika musim menyiapkan “assignment” atau musim peperiksaan. Sebilangan mahasiswa terlalu aktif dengan aktivisme tetapi mengabaikan ilmu dan pengetahuan yang sepatutnya seiring diperdalam agar setiap perancangan dan keputusan adalah bijaksana. Tetapi ada jua yang terlalu terperuk dengan bacaan-bacaan seorang diri tapi tidak keluar memahamkan masyarakat tentang apa yang perlu difahami. Idealisme dan aktivisme, seiringkanlah. Agar mahasiswa tidak sekadar terbeku minda dengan penghawa dingin bilik kuliah.

6) Kalian perlu ambil masa untuk memahami budaya persekitaran UNIMAS. Adakala apa yang ada dalam fikiran kita tidak sama dengan apa yang sedang berlaku secara realiti. Fahami selok-belok UNIMAS dan budaya masyarakatnya dalam berinteraksi. Daripada itu kalian akan mula fahami apakah isu-isu yang sedang terjadi dan apakah yang kalian perlu lakukan daripadanya. Usah terlalu mudah terjerut dengan nasihat “Mahasiswa jangan berpolitik”. Itu cumalah suatu feudalisme yang telah lama berakar dan sekian lama dijadikan slogan di kampus-kampus universiti. Politik itu luas definisinya.

Terutama kepada pelajar Fakulti Sains Sosial, kalian akan mempelajari makna politik sebenar dalam kelas Introduction To Political Science pada tahun pertama. Kalian akan diajar tentang apakah itu politik dan bagaimana kita sebagai masyarakat tidak dapat tidak, akan terlibat dengan politik. Fahami dan amalkan. Tidak guna jika diajar tentang politik, tetapi dilarang berpolitik. Larangan berpolitik samalah seperti melarang Fakulti Sains Sosial untuk wujud di kampus universiti.

7) Nasihat terakhir saya kepada kalian, jadilah mahasiswa dan mahasiswi yang progresif dan kritikal mencerap sesuatu perkara. Usah terlalu mudah untuk menerima dan bersetuju dengan sesuatu perkara melainkan fikir dan renung terlebih dahulu sebelum membuat keputusan dan pendirian. Budayakan wacana ilmu di kampus universiti. Universiti yang lebih banyak hiburan berbanding wacana ilmu adalah seperti masjid yang telah dijadikan pusat hiburan. Rohnya mati dan jemaahnya lesu. Banyakkan wacana-wacana kritikal yang membincangkan isu-isu dan idea-idea. Kurangkan forum-forum nikah kahwin ataupun cinta lara. Universiti bukan tempat baitul muslim atau pejabat qadi. Universiti adalah tempat penyuburan ilmu. Suburkanlah.

Kalian adalah orang-orang yang diberi peluang untuk belajar di universiti. Jangan kalian lupakan kepada masyarakat di luar sana yang tidak berpeluang seperti kalian. Kalian ada tanggungjawab besar untuk mereka. Tuntut ilmu sedalamnya dan didik masyarakat di luar sana seperti mana kalian dididik. Pendidikan adalah untuk semua.

8) Saya doakan kalian semua menjadi mahasiswa yang cemerlang dalam semua perkara. Biar kalian bergraduasi di hujung pengajian kalian dengan sesuatu yang bermakna, bukan sekadar kecemerlangan CGPA ataupun mendapat anugerah gilang-gemilang semata-mata. Seperti saya katakan sebelum ini, kalian “sedang beruntung”. Jangan biarkan diri kalian “sedang kerugian”.

Salam hormat,

 

Ahmad Muziru Idham Bin Adnan

Mantan mahasiswa UNIMAS 2015

Pelajar Hubungan Antarabangsa Sesi 2012/2013

SURAT DARIPADA DALAI LAMA

dalai-lama
Dalai Lama

[Terjemahan bebas saya daripada surat Dalai Lama dalam buku Letters From Leader, susunan Henry O. Dormann (2009)]

Suatu persoalan besar yang mendasari pengalaman kita, sama ada kita memikirkannya secara secara sedar atau tidak: Apakah tujuan hidup? Saya percaya bahawa tujuan hidup ialah untuk berbahagia. Daripada saat-saat dilahirkan, setiap manusia mahukan kebahagiaan dan tidak mahukan kesusahan. Daripada teras kewujudan kita, kita hanya mengimpikan kepuasan. Sebab itu ianya adalah penting untuk menerokai apa yang dapat membawa kita kepada tingkat tertinggi bagi kebahagiaan.

Daripada pengalaman saya yang terbatas, saya menemui bahawa tingkat tertinggi bagi ketenangan dalaman datang daripada pembangunan cinta dan kasih sayang. Semakin banyak kita mengambil berat terhadap kebahagiaan orang lain, semakin besar kita merasai kesejahteraan hidup.

Memupuk sebuah kerapatan dan keramahan terhadap orang lain secara automatik dapat melegakan minda kita. Perkara ini membantu dalam membuang apa-apa sahaja ketakutan atau rasa tidak selamat yang kita mungkin ada dan memberikan kepada kita kekuatan untuk menghadapi sebarang halangan yang kita hadapi. Ianya adalah puncak kepada sumber kejayaan dalam kehidupan.

Selagi kita hidup di dunia ini, kita terikat untuk menghadapi masalah. Jika pada waktu sedemikian kita kehilangan harapan dan menjadi lemah semangat, kita mengurangi kemampuan kita untuk menghadap sebarang kesukarang.

Pada sisi yang lain, jika kita mengingati bahawa ianya bukan sekadar kita malahan semua orang menghadapi kesulitan secara sendirian atau antara satu sama lain, ianya adalah persepktif yang lebih realistik yang dapat meningkatkan keazamaan dan kapasiti diri kita untuk mengatasi permasalahan kita. Sikap yang sebegini sememangnya dapat menjadikan setiap halangan yang baru dilihat sebagai peluang berharga yang lain untuk memperbaiki minda kita!

Seterusnya, kita boleh berusaha secara beransur-ansur untuk menjadi lebih berihsan di mana ianya membolehkan kita untuk membangunkan keikhlasan simpati terhadap kesusahan orang lain dan kemahuan untuk membantu mengeluarkan mereka daripada kesakitan. Sebagai kesannya, ketenangan dan kekuatan dalaman kita akan lebih meningkat.

Saya percaya bahawa untuk memenuhi cabaran pada zaman kita, manusia perlu membangunkan sebuah rasa kebertanggungjawab universal yang tinggi. Hanya perasaan ini yang dapat mengeluarkan fikiran yang berpusatkan kepadadiri sendiri yang menjadikan manusia menipu dan mempergunakan orang lain.

Jika kita ikhlas dan berlapang dada, kita secara alamiahnya akan merasai lebih bernilai dan yakin serta tidak perlu lagi untuk takut terhadap orang lain. Kunci kepada sebuah dunia yang bahagia ialah melalui pertumbuhan perasaan kasih sayang.

Kita tidak perlu untuk menjadi agamawan, atau mempercayai sebuah ideologi. Apa yang penting ialah kita sama-sama membangunkan kualiti kemanusiaan kita. Kita semua mesti belajar untuk bekerja bukan sekadar bagi diri kita sendiri, keluarga, atau bangsa, tetapi kita mesti bekerja untuk kebaikan seluruh kemanusiaan.

(Dalai Lama – Terjemahan bebas)

 

PANDANGAN TERAKHIR TENTANG POLEMIK SASTERA & INDIE

Baru-baru ini ada rakan bertanyakan kepada saya mengenai sastera indie kerana dia bakal menjadi panelis bagi sebuah forum. Dia meminta mana-mana artikel saya yang berkaitan topik untuk dijadikan rujukan. Saya katakan kepadanya bahawa saya tidak pernah menulis apa-apa artikel berkenaan pandangan saya tentang apa yang dikatakan sebagai sastera indie. Sengaja saya tidak mahu menulis mengenainya disebabkan perbincangan pada perkara sebegini hanya merugikan dunia sastera semata-mata justeru saya simpan pandangan dalam diri saya sahaja. Tapi, untuk menjawab juga persoalannya, maka saya tidak menyangka bahawa jawapan saya telah cukup untuk menjadi sebuah artikel dan saya harap ini adalah kali pertama dan terakhir saya menulis mengenai perkara ini. Saya lampirkan jawapan saya di sini.

———————-

Kalau tanya pendapat saya mengenai karya indie (definisi indie mengikut apa yang masyarakat sastera biasa rujuk, bukan dalam konteks yang lebih betul), maka saya katakan bahawa, saya tiada masalah dengan kewujudan mereka dalam dunia penulisan dan perbukuan. Mereka wujud dalam dunia penulisan untuk meluahkan isi hati mereka kepada masyarakat dengan cara mereka yang tersendiri. Saya tidak mahu untuk meletakkan justifikasi atau menghukum karya-karya indie. Tetapi jika merasakan bahawa corak penulisan mereka adalah tidak wajar untuk menjadi bacaan masyarakat, maka sepatutnya kita muhasabah balik diri kita terhadap dua perkara:

1) Mengapa kepengarangan kita gagal mendidik mereka menjadi penulis yang baik?
2) Mengapa kepengarangan kita gagal untuk mendidik masyarakat memilih bacaan yang baik?

Sebab itu jika kita hendak merasakan mereka sebagai pesaing, ya, mereka adalah pesaing kepada sastera arus perdana. Kita tidak lagi hendak boleh mengatakan bahawa, “Kita yang perlu menentukan apa yang masyarakat perlu baca, bukan masyarakat menentukan apa yang perlu mereka baca.” Dari segi ideanya, benar perkara tersebut. Tapi mahu atau tidak mahu kita kena sedar bahawa kepengarangan arus kesusasteraan kita masih berada pada takuk dan bentuk yang lama menyebabkan peredaran zaman yang semakin pantas telah memintas dunia kesusasteraan kita. Sama ada daripada sudut kepengarangan, ataupun dunia perbukuan kesusasteran kita, kita masih berada pada takuk yang lama. Kegagalan penulis yang baik, dan kegagalan penerbit yang baik, menyebabkan pendekatan kita tidak dapat mendekati masyarakat dengan baik.

Cuba kita perhatikan bagaimana kepengarangan kesusasteraan pada masa lalu, iaitu zaman pra merdeka dan awal pasca merdeka, kita akan dapat lihat bagaimana sasterawan memainkan peranan yang besar dalam memperjuangkan patriotisme masyarakat dan karya-karya mereka sangat selari dengan semangat zaman pada ketika itu yang menaikkan semangat masyarakat untuk melawan penjajah dan memperjuangkan hak kebangsaan. Sebab itu karya-karya mereka sangat dekat dengan masyarakat pada waktu itu kerana semangat zaman pada waktu itu adalah begitu.

Tetapi sudah tentu semangat zaman pada hari ini adalah berbeza dengan semangat zaman pada masa lalu. Sudah tentu jika kita hendak menulis karya patriotisme pada hari ini, ianya adalah tidak sama dengan makna patriotisme pada masa yang lalu. Karya-karya patriotisme pada hari ini adalah perlu membawa makna dan semangat yang baru dan sesuai dengan keadaan semasa seperti politik, sosial, kebudayaan dan sebagainya. Barulah karya tersebut lebih dekat dengan jiwa masyarakat.

Itu sekadar contoh karya dengan mengambil tema patriotisme daripada banyak lagi tema lain yang perlu diberi perhatian semula. Kita tidak boleh nak salahkan masyarakat atas kegagalan kita untuk menerapkan nilai kesusasteraan dalam masyarakat dan kelembapan kita untuk berfikir dengan lebih pantas dalam mengejar era globalisasi. Tetapi kita yang perlu menilai diri kita sendiri dan perlu melakukan anjakan perubahan yang segera agar kita dapat meraih kembali minat dan kepercayaan masyarakat terhadap kesusasteraan kita.

Menulis mengikut keadaan dan semangat masyarakat bukan bermaksud kita menggadaikan prinsip kita dalam kepengarangan. Bukan begitu. Tetapi ianya bermaksud kita menulis mengikut semangat zaman tanpa menggadaikan prinsip-prinsip kepengarangan kesusasteraan kita.

Malah, saya fikir masyarakat sastera turut perlu berterima kasih dengan kehadiran mereka yang datang dengan idea-idea yang sangat segar. Saya sendiri banyak belajar daripada karya-karya mereka yang tepu dengan idea kontemporari pascamodernis yang adakala tidak terjangkau oleh akal. Walau ramai di antaranya yang saya kurang setuju dengan cara idea itu digarap, tetapi sebenarnya ramai juga di antara mereka yang bagus dalam kepengarangannya dan mereka sengaja tidak mahu menyertai sastera arus perdana yang dilihat elit dan eksklusif serta berlegar antara satu sama lain sahaja.

Sebab itu kita tidak boleh nak marah kepada karya-karya indie yang muncul dalam arus perdana dan ianya diterima oleh masyarakat kita. Jika kita nak marah mereka sekalipun, ianya bermakna kita sedang memarahi masyarakat kita yang gagal dalam pembacaan disebabkan oleh kegagalan kita sendiri dalam mendidik mereka. Kita perlu melakukan renungan jauh lebih luas ke negara-negara seperti Indonesia, Jepun, dan Eropah di mana masyarakat mereka lebih menghargai karya-karya kesusasteraan mereka walaupun kita tidak boleh nafikan bahawa permasalahan karya-karya indie turut wujud. Tetapi ianya tidak menghalang masyarakat mereka untuk mengangkat tokoh-tokoh sasterawan mereka, membaca karya-karya kesusasteraan mereka, dan lebih kuat jati diri mereka.

Jadi, kewujudan karya dan penerbitan indie yang semakin sebenarnya perlu kita jadikan saingan dan cabaran untuk karya dan penerbitan sastera arus perlu mesti lebih giat untuk melakukan perubahan ke arah yang lebih baik dan bermakna. Tidak wajar untuk kita terus mengecam kehadiran mereka kerana akhirnya kita terus membuang masa untuk menghentam-hentam mereka sedangkan masa-masa untuk itu sepatutnya kita peruntukkan untuk membincang dan memikirkan bagaimana karya dan penerbitan kesusasteraan kita harus pergi lebih matang dan jauh.

Jika kita lihat, penulis dan penerbitan Indie tidak membuang masa untuk berpolemik atau menjawab persoalan sebegini melainkan mereka terus maju dan gigih mengeluarkan karya-karya mereka. Mengambil contoh penerbitan Fixi. Kalau mereka tidak cekap bekerja, bagaimana mungkin mereka dapat mengeluarkan beberapa buah novel baru pada setiap bulan dan pemasaran yang pesat di mana-mana sehinggakan ramai penulis terpaksa menunggu giliran sehingga setahun kerana banyaknya manuskrip mereka yang hendak diterbitkan! Bandingkan kecekapan mereka dengan kecekapan penerbitan kesusasteran kita, contohnya DBP dalam soal penerbitan dan pemasaran karya-karya sastera di kedai-kedai buku seluruh Malaysia.

Sebab itu, lebih baiklah pada waktu sekarang ini, kita sepatutnya kurangkan polemik perkara sebegini. Sebab akhirnya kita membuang masa sahaja dengan marah-marah sedangkan akhirnya suara kita sekadar berlegar-legar di sekeliling kita semata-mata dan masyarakat tidak mengambil peduli akannya melainkan terus sahaja membeli buku-buku indie dan membacanya dengan penuh minat.

Sebagai pengarang, waktu yang kita ada sekarang sepatutnya diperuntukkan untuk mencerap permasalahan dalam masyarakat dan kita membaiki teknik-teknik kepengarangan kita agar lebih sesuai dengan kehendak zaman tanpa menggadaikan prinsip-prinsip kesusasteraan kita dalam berkarya.

Sebagai penerbit kesusasteraan pula, waktu  yang ada harus ditumpukan kepada penggandaan usaha-usaha penerbitan dan pemasaran karya harus lebih giat untuk bersaing dengan penerbitan indie yang mempunyai tapak yang kukuh dalam dunia pemasaran buku.

KEMBALI KE SASTERA TRADISI

[Tulisan ini turut disiarkan di ruangan Polemik Sastera, Berita Harian, 9 April 2016]

Saya mengenali sastera ketika darjah empat. Ketika itu saya menggeledah rak buku ayah saya dan menemui Hikayat Panji Semerang. Hikayat tersebut menjadi titik mula kepada saya untuk terus menjadi peminum kopi di kafe sastera. Saya suka menghirup kopi pada setiap tengah malam tetapi sentiasa ghairah untuk merasai kelainan kopi yang baru. Tetapi walau betapa enak pun hidangan kopi yang baru, tetap mahu tidak mahu ianya perlu bermula daripada asas pembancuhan kopi, iaitu bermula daripada espresso yang kelat itu sebelum menjadi mocha, latte, cappucino atau macchiato. Sebab itu menjadi pencandu kopi di kafe sastera sekian lama membuatkan saya merasakan bahawa satu-satunya cara untuk kembali kepada kepengarangan sastera yang tulen bermakna harus kembali menelaah semula sastera tradisi. Cara yang lebih pintas? Saya tidak tahu. Tetapi sekurang-kurangnya inilah pendirian saya setakat ini.

Saya teringat kepada seorang sasterawan negara yang pernah menyarankan, Sulatus Salatin harus disudahkan pembacaanya setahun sekali. Bererti setiap tahun buah tangan Tun Sri Lanang itu harus dihabiskan baca sekurang-kurangnya sekali. Lama saya merenung kenapa seorang sasterawan negara menyarankannya begitu. Saya mula memikirkan, sastera tradisi memungkinkan kita untuk melihat dari sudut pandang akar budaya dan ketulenan bahasa yang memandu kita untuk berada di atas landasan sastera yang asas sebelum bergerak lebih jauh ke hadapan. Tidak kisahlah untuk melakukan revolusi ke atas karya melalui perubahan bentuk, pemanipulasian cereka, penggubahan semula struktur, penyuntikan unsur pengaruhan interteks, atau apa jua sekalipun, tetapi tanpa kembali kepada sastera tradisi kesemua itu tidak dapat untuk berdiri rapuh kerana tiada sandaran akar yang kukuh.

Sebab itu amat ganjil sekali jika kita melihat ramai penulis terlalu ghairah untuk mengatakan bahawa mereka telah menulis karya-karya sastera sedangkan karya-karya sastera tradisi itu sendiri belum habis dibaca sekurang-kurangnya karangan-karangan tradisi masyhur seperti Hikayat Hang Tuah, Sulatus Salatin, Hikayat Abdullah Munshi, Tuhfat An-Nafis dan Hikayat Raja-Raja Pasai atau membaca dan mencintai terlebih dahulu puisi-puisi tradisional seperti pantun Melayu dan syair-syair di alam Melayu. Cetek sekali jika kesemuanya diremehkan, tetapi bermula daripada tradisi sebenarnya yang melahirkan penulis yang lebih matang dan menghargai seni dan budaya.

Saya tidak mengatakan bahawa penulis-penulis itu harus berhenti menulis dan perlu menghabiskan baca hikayat-hikayat tersebut terlebih dahulu dan barulah menulis. Tetapi saya lebih mempersoalkan bagaimana proses kepengarangan itu harus melalui peringkat-peringkat pembacaan tersebut dalam proses membina kematangan kepengarangan dan melihatkan makna-makna kesusasteraan dalam konteks yang lebih luas dan tidak kaku tetapi dalam masa yang sama tidak lari daripada landasan makna kesusasteraan itu sendiri.

Saya mengambil contoh pelajar yang sedang menuntut ilmu agama. Pelajar yang serius untuk mengambil ilmu agama tidak akan dibiarkan untuk sekadar membaca kitab-kitab karangan ulama kontemporari, tetapi pergi lebih jauh ke dasar menyelami kitab-kitab turath karangan ilmuwan silam seperti Imam Al-Ghazali, Imam Syafie, Imam Nawawi, dan sebagainya kerana ilmuwan-ilmuwan silam mempunyai ketulenan ilmu yang berakar dengan lebih dekat kepada tradisi sunnah Nabi SAW. Saya mengambil contoh tersebut dalam membawa maksud tulisan saya ini bahawa sastera itu juga harus kembali kepada turath untuk mendekati makna ketulenan kepengarangan dan ianya tidak menerawang jauh daripada sasaran hingga kita keliru untuk meletakkan nilai kepada karya-karya itu sendiri.

Kembali kepada tradisi bermaksud mengenal semula sastera tradisional yang terikat dengan kaedah dan pendisiplinan yang ketat dalam proses penghasilannya. Pendisiplinan itu diikat dengan kesantunan berbahasa yang tepu dengan kesopanan budaya dan rumus kias yang tidak dibiarkan kosong makna. Mengambil pantun sebagai contoh, puisinya terhias dengan rangkap pembayang dan rangkap maksud di mana penukangan rangkapnya tidak sekadar semudah untuk mengungkapkan, “Pen biru pen merah; sudah baca harap balas.” Pantun itu teringkat dengan pembayang dilatari objek dan gambaran alam yang tidak dibiarkan sekadar penyedap rasa atau penyempurnaan rangkap serta diikat dengan sanjak sebagai bentuknya. Ianya diisi dengan perlambangan dan pemaknaan yang tinggi pada rangkap sampiran untuk mewakili bayangan maksud kepada rangkap isi.

Tanpa sedar, pengaruhan daripada puisi tradisional itulah yang mula bergerak perlahan-lahan membawa evolusi kepada dunia puisi menuju kepada bentuk yang semakin bebas dan tidak terikat. Perkembangan itu dikatakan bermula daripada Harun Aminurrashid yang menampakkan tanda-tanda awal perubahan terhadap genre puisi Melayu sekitar tahun 1933. Malah lebih awal lagi dapat dilihat melalui puisi Angan-Angan Dengan Gurindam tulisan Omar Mustaffa yang dikatakan sebagai puisi moden pertama dalam sejarah kesusasteraan Tanah Melayu dengan garapan puisi yang mula menampakkan tanda-tanda penyimpangan daripada puisi-puisi tradisional yang konservatif walau masih belum keluar daripada pengaruhan itu sepenuhnya. Perkembangan tersebut memperlihatkan perkembangan dunia puisi tanah air tetap bermula daripada akar sastera tradisi itu sendiri yang diikat dengan disiplin penulisan yang ketat.

Proses perkembangan itu wajar untuk difahami agar proses kepengarangan itu datang atas kesedaran nilai yang dibawa ke dalam pengkaryaan agar ketulenan intipatinya terus terjaga bagi memastikan kemampanan nuansa kesusasteraan itu terus terjaga. Saya sedar bahawa ketegangan sentiasa berlaku dan ianya diperakui sendiri oleh A. Teeuw dalam bukunya, Membaca Dan Menilai Sastera, bahawa “sastera, sebagai sebuah bentuk seni, selalu berada dalam ketegangan antara konvensi dan pembaharuan, antara keterikatan dan kebebasan mencipta.” Jika diperhatikan, ketegangan itulah yang sentiasa membawa kepada pembaharuan demi pembaharuan dalam proses evolusi karya-karya sastera dan ditambah pula dengan campur tangan daripada pengaruhan luar seperti daripada sastera Barat.

Kita dapat melihat bahawa perkara tersebut telah memberi suatu kekuatan dalaman kepada karya-karya sastera sebagai sebuah kesenian kata-kata yang terhimpun dalam bentuk puisi, cerpen, novel mahupun drama. Sebab itu adalah amat penting untuk kembali menelaah sastera tradisi kerana kembali kepada nilai asal dan mengoreksinya membawa kepada sebuah perjalanan yang tersendiri dan tidak perlu untuk dikalutkan dengan siapa karyanya yang lebih sastera atau lebih kuat magisnya. Kedewasaan terhadap kefahaman sastera itu sendiri yang berakar daripada karya-karya tradisi memungkinkan untuk kita mengorak langkah dengan lebih jauh tanpa kita terbabas daripada landasan yang cuba kita bawakan ke tengah masyarakat.

Permulaan seorang penulis untuk melalui fasa-fasa yang lebih serius harus dimulakan dengan berdialog terhadap karya-karya tradisi tersebut. Mungkin lebih ramai yang sekadar membaca karya sastera tradisi sebagai sebuah teks yang di dalamnya terisi pelbagai wacana tersurat dan tersirat yang dapat dibincang dan dibahas. Teks-teks tradisi secara berlebihan lebih banyak diangkat oleh sarjana-sarjana sastera ke tengah warung akademikal sehingga teks-teks tersebut telah mati sebagai sebuah teks akademik dan nuansa sasteranya telah disarjanakan sama sekali. Berapa ramai orang-orang yang membaca Hikayat Hang Tuah akhirnya akan lebih bernafsu untuk membincangkan sama ada Hang Tuah atau Hang Jebat yang lebih bersalah? Atau berapa ramai orang yang menjadikannya sebagai teks kajian untuk membuktikan bahawa Hang Tuah itu sebenarnya wujud atau tidak? Lebih malang lagi, berapa ramai yang membaca sastera-sastera hikayat yang akhirnya hanya lebih banyak melahirkan kertas-kertas akademik berbanding karya-karya kreatif?

Maka tidak hairan jika kita katakan bahawa karya-karya tradisi itu telah mati dalam kalangan generasi penulis yang baru hendak memegang mata pena kerana melihat bahawa teks-teks tersebut terlalu berat untuk mereka kunyah dan hadam kerana dirasakan terlalu tinggi nilai intelektualinya. Mereka tidak lagi melihatnya sebagai sebuah novel-novel yang berjalan sebagai sebuah naratif seperti mana mereka menelan novel-novel A. Samad Said dan Shahnon Ahmad yang tidak mungkin untuk sekadar dibaca selapis makna atau rela menempuh cabaran imaginasi untuk memahami puisi-puisi Zaen Kasturi dan Kemala.

Melainkan akhirnya teks-teks tradisi itu telah dilihat sebagai teks kajian yang diperuntukkan sebagai rujukan untuk dijadikan kertas-kertas kerja akademik dan dibentangkan di seminar-seminar wacana. Lalu akhirnya generasi penulis yang baru hendak mengenali sastera tidak berupaya untuk mengunyah langgam bahasa klasik apatah lagi tulisan jawi dan membiarkannya ianya terus terjadi kerana senarai buku yang dideretkan kepada mereka untuk dibaca jarang sekali untuk menitikberatkan karya-karya tradisi sebagai bacaan wajib yang perlu ditekuni terlebih dahulu sebagai proses mengenal sastera daripada akarnya.

Proses itu ibarat membina sebuah rumah yang memerlukan tapak yang rata sebagai landasan yang kukuh. Pastinya bermasalah jika tanah itu sendiri tidak kemas malah tergopoh-gapah terus dinaikkan dinding dan tiang rumah itu sendiri juga dipersoalkan keteguhannya. Risiko paling besar pada proses itu adalah dinding tidak sekadar retak, malah berkemungkinan besar dengan rumahnya sekali roboh. Sebab itu kekuatan karya sasterawan-sasterawan veteran yang lahir daripada rahim karya-karya sastera tradisi ini, sukar sekali untuk kita mempertikai dan menggugah kekuatan karya-karya mereka yang sehingga ke hari ini masih disebut-sebut dan dibaca-baca sedangkan mereka itu telah pun tiada. Sebut sahaja nama Pak Sako, A. Samad Ismail, dan Keris Mas, semuanya adalah gergasi besar dalam kesusasteraan tempatan yang jarang dipertikai kepengarangan mereka (kecuali jika mereka itu dipersoalkan sama ada mewakili karya kesusasteraan ataupun karya persuratan).

Sebenarnya ianya adalah amat ganjil untuk tidak membaca karya-karya sastera tradisi sebelum memasuki rumah sastera kontemporari. Ianya seumpama tidak mahu membaca William Shakespeare, Ben Jonson, John Donne, Friedrich Schiller, dan Goethe ketika hendak mula merasai kopi-kopi daripada kafe sastera Barat. Kematian budaya membaca sastera tradisi sebenarnya petanda kepada keruntuhan sastera itu sendiri apabila karya-karya sastera tradisi telah diarkibkan dan hanya sekadar dijadikan rujukan untuk keperluan akademik semata-mata. Jika tidak mahu sastera itu mati, harus kembali membaca sastera tradisi. Jika hendak mengenal apa itu kopi, harus bermula daripada espresso itu sendiri.