AGAMA DAN POLITIK DALAM WACANA PERDEBATAN ISLAM KONTEMPORARI – BAHAGIAN II [TERJEMAHAN]

image

Oleh: Azzam Tamimi | Terjemahan: Ahmad Muziru Idham & Shuhaib Ar Rumy Ismail 

HAKIMIYYAH MELAWAN DEMOKRASI?

imageMenurut pandangan Ghannouchi, Islamis sedemikian bukan sahaja merupakan halangan kepada pendemokrasian, bahkan juga terhadap kemajuan dan pembangunan secara keseluruhannnya. Mereka ini mempunyai dua masalah; iaitu, pertamanya mereka tidak mempunyai pengetahuan khusus atau mencukupi tentang hal ehwal kemanusiaan, dan keduanya mereka telah terdoktrin dengan beberapa bacaan cetek mengenai Islam. Lantaran itu, mereka cenderung untuk mentakrifkan sesuatu dengan takrifan yang terlampau cetek.

Sebagai contoh, Ghannouchi menjelaskan, mereka beranggapan bahawa kerajaan yang Islamik bermakna hukm Allah (pemerintahan Allah) dan demokrasi bermakna hukm al-sha’b (pemerintahan manusia). Bukan sahaja isu-isu politik yang sangat kompleks telah dipermudahkan dengan cara sebegini, malahan konsep hukm Allah telah sepenuhnya disalahfahami.

Ghannouchi menekankan bahawa hukm Allah sepatutnya menjadi sebuah gerakan pembebasan–sebuah revolusi menentang pemerintah yang memonopoli kekayaan, kuasa atau penggubalan undang-undang; dan menentang agamawan yang memonopoli hak untuk mentafsirkan Qudrat Tuhan (God’s Will) atau mendakwa bercakap bagi pihak Tuhan. Hukm Allah adalah sebuah revolusi dalam erti kata pembatasan kuasa pemerintah yang menjadikan mereka lebih bersifat eksekutif berbanding legislatif.

imageHukm Allah tidak bermakna Tuhan turun ke dunia dan memerintah manusia, tetapi membawa maksud kedaulatan undang-undang, di mana Ghannouchi menyatakan bahawa ia adalah suatu ciri asas bagi negara moden–negara yang mempunyai undang-undang dan tatanan. Maka, jika berpandukan kepada konsep tersebut, sesebuah kerajaan Islam tidak akan dimonopoli oleh seorang diktator atau oligarki, dan dengan itu hukm Allah merujuk dan menyiratkan kepada hukm al-sha’b, sebagai kerajaan yang diperintah oleh rakyat atau perwakilan mereka, iaitu dalam disiplin tradisi Islam dirujuk sebagai ahl al-hal wal-‘aqd, yang kuasanya dibataskan dan diperolehi daripada Syariah.[17]

Ghannouchi mengusulkan bahawa permusuhan terhadap demokrasi dalam kelompok Islamis berasal daripada beberapa faktor. Faktor yang pertama adalah salah faham yang mendalam terhadap demokrasi, kesan daripada ide-ide Sayyid Qutb mengenai konsep hakimiyyah.[18]

Sayyid Qutb (1906-1966), yang dipenjara selama 10 tahun bermula tahun 1954 dan digantung sampai mati pada tahun 1966, menjadi pemikir terkemuka daripada Ikhwanul Muslimin di Mesir daripada pertengahan tahun lima puluhan. Bukunya yang bertajuk Ma’alim fi’l-Tariq (Petunjuk Sepanjang Jalan) yang ditulis sebagai jawapan balas terhadap penganiayaan Nasser (Gamal Abdel Nasser) terhadap Ikhwan, diterima secara meluas di seluruh dunia Arab terutamanya selepas beliau digantung dan lebih-lebih lagi selepas kekalahan Arab dalam perang Arab-Israel pada tahun 1967. Dalam buku tersebut, beliau mengemukakan tesisnya tentang jahiliyyah (kejahilan, kekejaman atau penyembahan berhala), yang padanya Islam datang untuk menyelamatkan dunia.[19]

Qutb membahagikan sistem sosial kepada dua bahagian; iaitu tatanan Islam dan tatanan jahiliyyah. Tatanan jahiliyyah ialah suatu keruntuhan moral dan kejahilan, dan merupakan situasi kebiasaan yang wujud di tanah Arab sebelum Nabi Muhammad menerima wahyu, iaitu apabila manusia menyembah manusia lain yang telah didewa-dewakan, bukannya Tuhan.[20] Dalam melakarkan perkara tersebut, beliau membahagikan masyarakat Muslim kepada dua kelompok, iaitu yang Islam dan yang jahiliyyah. Berdasarkan kepada caranya memandang dunia pada ketika itu, yang telah Qutb nyatakan dengan melihat kepada sumber-sumber dan dasar-dasar cara hidup moden, ia menjadi jelas bahawa keseluruhan dunia ini telah tenggelam dalam jahiliyyah, dan menegaskan bahawa kesemua kemudahan dari alatan yang menakjubkan dan ciptaan-ciptaan yang canggih tidak dapat mengurangkan kejahilan ini.[21] Qutb menjelaskan bahawa jahiliyyah ini adalah berdasarkan kepada pemberontakan terhadap kedaulatan Allah di muka bumi. ‘Ia memindahkan kepada manusia salah satu daripada sifat-sifat agung Allah, iaitu hakimiyyah, dan menjadikan sebilangan manusia berkuasa ke atas yang lain.’

Jahiliyyah moden tidaklah semudah dan seprimitif jahiliyyah kuno, tetapi ia mengambil bentuk yang mendakwa bahawa hak untuk mewujudkan nilai-nilai, untuk menggubal undang-undang tingkah laku kolektif, dan untuk memilih mana-mana cara hidup adalah bergantung kepada manusia, tanpa mengambil kira ketetapan yang telah ditetapkan oleh Allah. Kesan daripada penentangan terhadap kekuasaan Allah ini adalah berlakunya penindasan kepada makhluk-makhlukNya. Oleh sebab itu, penghinaan rakyat biasa di bawah sistem komunis dan eksploitasi individu dan negara kerana tamakkan kekayaan dan imperialisme di bawah sistem kapitalis adalah akibat daripada pemberontakan terhadap kekuasaan Tuhan dan penafian martabat manusia yang diberikan kepadanya oleh Allah SWT.[22]

Dalam hal ini, Qutb menegaskan bahawa cara hidup Islam adalah unik, kerana dalam sistem yang selain daripada Islam, sesetengah manusia menyembah manusia yang lain dalam sesetengah bentuk ataupun dalam bentuk yang lain. Hanya dengan kehidupan yang mengamalkan cara hidup Islam sahaja yang menjadikan semua manusia menikmati kebebasan daripada perhambaan oleh beberapa manusia kepada yang lain dan menumpukan diri mereka untuk beribadah semata-mata kerana Allah, memperoleh petunjuk semata-mata daripada-Nya dan bersujud semata-mata kepada-Nya.[23] Apa yang benar-benar menjadi kebimbangan Qutb ialah jahiliyyah ‘pada zaman sekarang bukan sahaja wujud pada kapitalis Barat dan Komunis Timur’, tetapi turut sekali menjangkiti dunia Islam. Segala yang ada di sekeliling kita adalah jahiliyyah. Khayalan manusia, kepercayaan mereka, adat dan tradisi, sumber kebudayaan, sastera dan kesenian mereka, undang-undang dan ketetepan mereka, walaupun banyak yang diambil untuk menjadi kebudayaan Islam, autoriti-autoriti Islam, falsafah Islam, pemikiran Islam: semua ini adalah hasil daripada jahiliyyah ini.[24]

Syed Abul 'Ala Maududi
Syed Abul ‘Ala Maududi

Istilah hakimiyyah (kedaulatan), yang sentiasa dirujuk oleh Qutb ketika berhujah menentang sistem-sistem politik ciptaan-manusia, pada asalnya dicetuskan oleh Mawdudi (Syed Abul Ala Al-Mawdudi) yang membezakan antara masyarakat Islamik dan masyarakat jahili (gasar). Mawdudi berhujah bahawa dalam keadaan jahili, binaan politik dibangunkan dengan dasar-dasar al-hakimiyyah al-bashariyyah (kedaulatan manusia) sama ada kedaulatan itu berada di tangan seseorang individu, keluarga, kelas, atau kedaulatan awam: pengubalan undang-undang dalam pemerintahan jenis ini adalah sepenuhnya berada dalam tangan manusia. Semua undang-undang digubal dan digantikan dengan menurut hawa nafsu dan kepentingan yang berubah-ubah. Seperti halnya dengan perancangan politik, yang hanya dilakarkan atau diubah sebagaimana yang ditentukan oleh keghairahan demi kepuasan dan peruntukan yang berdasarkan kepentingan. Dalam pemerintahan sedemikian, tiada perkataan diberi keutamaan dan tiada urusan akan dianggap penting kecuali jika ia memberikan kelebihan kepada mereka yang paling licik, paling pintar dan paling mampu untuk mereka-reka pembohongan; mereka yang telah sampai kepada puncak penipuan, kekejaman dan tipu daya; dan mereka yang telah merampas kuasa penuh dan diiktiraf dalam komuniti mereka sebagai pemimpin, yang menurut ‘undang-undang’ mereka, kepalsuan menjadi kebenaran hanya kerana penyokong mereka mempunyai kuasa dan mempunyai keupayaan untuk mengganas, dan, di mahkamah undang-undang mereka, kebenaran menjadi perkara yang salah hanya kerana ia tidak mempunyai penyokong atau pembela.[25]

Rashid Ghannouchi
Rashid Ghannouchi

Pendirian Ghannouchi dalam perkara ini ialah hakimiyyah merupakan sebuah konsep yang kontroversi; ia berdasarkan kepada bagaimana seseorang memahaminya. [26] Ghannouchi menjelaskan bahawa hakimiyyah, jika dapat difahami secara tepat, adalah sebuah ide yang baik. Beliau memahami ide tersebut sebagai membawa makna Tuhan ditempatkan pada kedaulatan yang mutlak (absolute sovereign), tetapi dalam erti kata bahawa kekuasaan sesuatu yang lain atau sesiapa sahaja adalah relatif dan berasal daripada Allah: benar, manusialah yang melaksanakan ijtihad, tetapi dalam kerangka hakimiyyah ini yang boleh juga dipanggil sebagai Hukum Ilahi (Divine Law). Sama seperti kita bergerak, membangun, berinovasi, dan berkelakuan dalam kerangka yang kita panggil sebagai hukum alam, yang mana kita tidak menciptanya secara sendiri, begitu juga kita perlu menerima hakikat bahawa perundangan kita dan perhubungan manusia adalah sewajarnya diletakkan dalam kerangka Hukum Ilahi, yang kita panggilnya sebagai hakimiyyah.

Sementara hukum alam yang dikenakan ke atas kita yang kita tidak mempunyai pilihan selain menerima dan berhadapan dengannya, hakimiyyah pula adalah pilihan, iaitu kita bebas untuk menerima atau menolaknya.[27] Memilih untuk menerima hakimiyyah, Ghannouchi menekanankan, boleh dianggap sebagai menjalankan hak kebebasan dalam membuat pilihan. Dengan menerima pakai konsep tersebut, Ghannouchi menjelaskan bahawa seseorang tidak akan kehilangan hak kebebasannya. Tetapi bagi Ghannouchi, hakimiyyah tidak bermakna bahawa Tuhan sentiasa campur tangan dalam menguruskan hal ehwal manusia di muka bumi; tetapi Dia (Tuhan) hanya memberikan manusia garis panduan yang luas untuk membantu manusia membuat pilihan yang tepat.

Oleh sebab itu, perlaksanaan hakimiyyah adalah suatu usaha manusia yang melibatkan penafsiran ke atas garis panduan Ilahi dan mengemukakan ijtihad baharu apabila diperlukan. Maka, perbezaan dan percanggahan pendapat adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan dan perlu diterima. Sebagaimana yang difahami oleh Ghannouchi, hakimiyyah bukanlah kod, alat perundangan atau program komputer yang bertindak seperti sebuah butang yang apabila ditekan, maka penghakiman Tuhan akan diwahyukan. Hakimiyyah juga tidak bermaksud bahawa setiap persoalan akan mempunyai sebuah jawapan. Sebaliknya, Ghannouchi menegaskan bahawa sesebuah persoalan mungkin mempunyai beberapa jawapan yang berbeza, tetapi sah dan boleh diterima. [28]

Nota Kaki:

[17] R. Ghannouchi, temuramah bersama pengkaji, London, Jun 1995

[18] R. Ghannouchi, temuramah bersama pengkaji, London, Jun 1997

[19] Elie Kedourie, Politics in the Middle East (Oxford, 1992), p. 332

[20] Dilip Hiro, Islamic Fundamentalism (London: Grafton, 1989), p. 67

[21] S. Qutb, Ma’alim fi’l-Tariq (Beirut: Dar Ash-Shuruq Publications, 1980), Ed. No. 8, dan s. Qutb, Milestone, sebuah terjemahan Bahasa Inggeris bagi Ma’alim fi’l-Tariq (New Delhi, Naushaba Publications, 1991). Nama penterjemah tidak dinyatakan.

[22] Ibid.

[23] Ibid.

[24] Ibid.

[25] A. Mawdudi, al-Islam wa’l-Jahiliyya (‘Islam and Ignorance’), (Beirut: Dar-ut-Turath Al-Arabi, 1980), 2nd Ed., pp. 14-15

[26] R. Ghannouchi, temuramah bersama pengkaji, London, June 1997.

[27] Ibid.

[28] Ibid

Artikel terjemahan ini turut disiarkan di laman web Islamic Renaissance Front. Klik [sini]

Advertisement

Published by A. Muziru Idham

Seorang mahasiswa lepasan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dalam bidang Pengajian Antarabangsa. Sedang melanjutkan pengajian dalam sarjana Analisis Strategi & Keselamatan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Berminat dalam perbincangan dan pembacaan tentang sastera, hubungan antarabangsa, hak asasi manusia, gerakan sivil, politik Timur Tengah, agama, dan falsafah, tetapi sangat malas hendak mengulas tentang politik tempatan. Sebarang urusan dengan saya boleh diemelkan kepada: amuziruidham@yahoo.com

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: