APAKAH FUNGSI AGAMA DALAM MASYARAKAT?

34832368-Word-cloud-of-religion-in-German-language-Stock-Photo

CERITA MURTAD

Suatu ketika, kawan aku sendiri berkata kepada aku, “Aku murtad”. Pada waktu itu, hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa dalam hati aku bagai diserang halilintar. Tetapi aku tidak terus melatah dengan meratib istighfar gopoh-gapah atau mengucap syahadah berulang-ulang atau apa-apa tindakan yang tidak perlu. Yang murtad itu dia, bukan aku. Tidak perlu hendak melatah seperti sikap orang-orang yang merasakan diri mereka lebih Islamis dan lebih beriman itu.

Dengan tenang, aku bertanya, “Oh, kenapa ya engkau murtad?”

Dia menjawab, “Bagi aku, cukup manusia menjadi seorang manusia yang baik dalam masyarakat. Tak buat jahat. Aku percaya kepada humanisme. Asalkan kita sudah tahu apa moral yang baik, jadi kita beramallah dengan moral itu. Bukan aku tak percaya Tuhan. Tetapi, aku tidak nampak di mana relevannya aku sekadar percaya dan melakukan rutin ritual ibadah itu setiap hari. Aku tidak beragama ini pun, masih lagi aku tetap menjadi seorang manusia yang baik dalam masyarakat.”

MENDABIK DADA FAHAM AGAMA?

Cerita aku dan kawan aku itu sudah cukup untuk kamu semua renungkan tentang diri kamu sendiri. Diri kita semua. Adakah sudah cukup untuk kita mendabik dada bahawa kita semua sudah faham tentang agama yang kita sedang anuti? Jika kita meyakini bahawa agama yang kita anuti adalah sebuah agama kebenaran, mengapa kita begitu meyakini bahawa agama yang kita anuti itulah sebuah kebenaran? Maka adakah kita hendak mengatakan bahawa agama orang lain itu tidak benar maka kita dengan mudah mengatakan bahawa mereka sesat dan bakal menjadi penghuni neraka?

Kawan aku itu adalah seseorang yang mendapat pendidikan formal agama daripada tadika hingga habis sekolah menengah. Bermakna daripada kecil dia memang terdidik dengan fekah-fekah agama dan bagaimana sampai boleh terjadi bahawa dia yang telah mendapat pendidikan agama yang banyak tetapi berakhir dengan sebuah kemurtadan? Bagaimana akhirnya setelah daripada kecil mengaji agama tetapi akhirnya kesemua itu tidak mampu memahamkan dia tentang bagaimana agama itu berfungsi dalam masyarakat?

Sebab itu usah angkuhlah bahawa engkau itu sudah banyak hafal fekah imam mazhab yang empat, hafal ratusan hadis, faham matan kitab-kitab turath, hafal kalam-kalam ulama silam, lalu engkau hendak mengatakan bahawa engkau lebih memahami agama daripada orang lain jika akhirnya apa yang engkau buat hanyalah tahu mengajak orang lain berdebat dan merasakan kalam engkau tidak pernah salah umpama kalam seorang Nabi. Tidak ada gunanya tinggi ilmu agama yang ada dalam diri engkau tetapi apa yang engkau tahu hanyalah menyesatkan orang lain yang tidak sehaluan dengan pendirian engkau umpama kefahaman engkau sahajalah yang paling betul dalam agama dan kefahaman orang lain adalah salah dan menyesatkan. Dan aku rasa, jika engkau berjumpa dengan kawan aku itu, pasti engkau hanya tahu menghentam dan mengkafirkannya lalu mengajaknya berhujah dan terus berhujah seolah-olah hidayah kawan aku itu terletak di hujung bibir engkau. Bagi engkau, dakwah itu hanyalah dengan berhujah mulut dan kafir-mengkafir konon dengan harapan orang yang dikafirkan tersedar daripada kekafirannya lalu bertaubat dan mengikuti pandangan engkau yang lebih Islam.

Perangai-perangai orang yang merasakan dirinya sudah faham agamanya itu sudah lama ditempelak ratusan tahun lampau oleh Imam Al-Ghazali (1058-1111) tetapi masih lagi mengulang perkara yang sama seolah-olah tidak pernah pun mengaji kitab Ihya’ Ulumuddin atau membaca kitab Al-Kasyf atau sekurang-kurangnya membaca pandangan-pandangan Al-Ghazali tentang ulama kalam ini. Malah Al-Ghazali juga menukilkan dalam kitab Ihya’ bahawa perdebatan demi perdebatan hanya sedikit yang memberi kesan kepada keimanan dan selebihnya hanya menimbulkan lebih banyak pertelingkahan dalam masyarakat dan menunjuk-nunjuk kepandaian dalam beragama.

BERHENTI MENDEBATKAN TEOLOGI, MULA MEMBINCANGKAN FUNGSI

Persoalan-persoalan teologikal sentiasa dibahaskan zaman-berzaman. Masalahnya tidak ada persoalan baru pun ditimbulkan melainkan persoalan-persoalan yang berulang-ulang. Bagi aku, yang menimbulkan persoalan itu lalu menimbulkan provokasi bukan jujur mencari kebenaran pun, tetapi sekadar hendak menimbulkan provokasi lalu berbangga kononnya dia mempunyai pemikiran yang kritikal.

Jika benar dia hendak mencari kebenaran dan jawapan terhadap persoalannya tu, rasanya jawapan-jawapannya bersepah dibincangkan sejak daripada zaman Greek lagi sehinggalah ke zaman Dr. Zakir Naik dan Hamza Tzortziz ini. Mereka sebenarnya mengulang kembali jawapan-jawapan orang dahulu cumanya disesuaikan dengan konteks semasa. Buka sahaja You Tube, atau telaah buku-buku, atau bertanya pada orang-orang yang mampu memberikan jawapan.

Aku masih menunggu lagi persoalan-persoalan teologi yang benar-benar baru dan tidak lagi dibincangkan. Itu barulah namanya pemikiran kritikal dengan cara menimbulkan persoalan baru untuk dibincangkan dan dicari jawapan. Jika tidak, lebih baiklah fokus kepada perbincangan bagaimana untuk menjadikan falsafah teologi itu membumi kepada masyarakat dan tidak sekadar berlegar-legar kepada falsafah metafizik semata-mata. Bab etik sahaja sudah tidak mampu untuk diselesaikan di mana agama itu masih tidak mampu untuk menyelesaikan permasahan moral dalam masyarakat.

Jangan cakap itu adalah masalah individu itu sendiri, kerana jika sekadar masalah individu yang dipersoalkan, maka itu menunjukkan bahawa agama itu seolah-olah hanya sekadar pengawal yang tidak wujud yang boleh dilanggar bila-bila masa, sedangkan Tuhan ialah kewujudan yang tidak boleh dilanggar kerana Dia yang Maha Berkuasa.

 MENJAWAB SKEPTISISME DENGAN RASIONALISME DENGAN EMPIRISISME

Naluri skeptisme adalah sebuah lumrah yang ada pada diri setiap orang. Ianya adalah sebuah faham yang memandang kepada sesuatu itu dengan penuh keraguan dan ketidakpastian terhadap nilai-nilai kebenarannya. Dengan lumrah itu, bergantung kepada diri individu itu sendiri sama ada untuk membiarkan dirinya terus berada dalam keragu-raguan ataupun mencari jawapannya untuk mendapat kepastian dan keyakinan. Persoalan yang aku utarakan yang aku letakkan sebagai tajuk makalah aku ini pun merupakan sebuah bentuk skeptisisme di mana aku meragui dan mempersoalkan fungsi untuk seseorang itu beragama dan bagaimana agama itu berfungsi dalam masyarakat. Tetapi mahu atau tidak mahu, persoalan itu bagi aku tetap perlu untuk ditanya kerana jika tidak, kita yang beragama akan sentiasa hidup dalam ketidaksedaran beragama lalu menjadi seperti robot yang disistemkan untuk beragama dan berjalan di muka bumi menjadi mesin yang bergerak dan melakukan proses kehidupan. Tetap juga persoalan ini perlu ditanyakan oleh orang yang tidak beragama untuk benar-benar dibuktikan bahawa agama itu tidak berfungsi untuk terus hidup dengan tidak beragama.

Mahu tidak mahu, persoalan-persoalan skeptisisme harus dijawab dengan rasionalisme dengan melihat kepada logik-logik yang dapat dicapai. Skeptisisme berdiri sebagai sebuah rasa yang sentiasa meragui kebenaran sesuatu dan logik menjawabnya satu-persatu dengan menghimpunkan segala perkaitan maklumat yang ada menjadi suatu kandungan jawapan yang konkrit. Kandungan jawapan yang digerakkan secara intuisi itu membawa kepada penjelasan terhadap persoalan-persoalan yang berkaitan teologikal dan sukar untuk dijawab dengan hanya berdasarkan indera rasa yang fizikal. Agama yang mengandungi banyak persoalan-persoalan teologikal tidak akan terjawab tanpa melihat kepada logiknya dan sukar sekali untuk akal bebas manusia menerima sesuatu yang bertentangan dengan logik. Sebab itu penting untuk memahami logik agama agar ianya tidak berdiri sebagai persoalan-persoalan ghaib yang terbiar tanpa dijawab kewujudannya. Tetapi, masih tetap logik itu akan terhenti sekadar pembuktian kewujudan sesuatu yang di luar fizik, tapi untuk menjawab persoalan kefungsian agama, rasionalisme semata-mata tidak akan mampu untuk menjawabnya hanya dengan intuitif, tetapi perlukan kepada pengalaman-pengalaman terjun ke dalam dunia sosial untuk memahami keadaan mereka dan melihat bagaimana agama itu benar-benar berfungsi atau tidak kepada mereka.

Maka, menjawab persoalan fungsionalisme agama itu tidak dapat tidak harus dijawab dengan empirisisme, iaitu pemerolehan pengetahuan harus didapatkan melalui pengalaman deria (sensory experience). Persoalan fungsi adalah persoalan yang berkait dengan persoalan empirik yang tidak dapat tidak perlu mengetahui bagaimana pengalaman indera menemukannya untuk berfungsi. Oleh sebab itu, persoalan fungsi agama yang bersifat supranatural (supernatural) kerana melibatkan hubungan dengan persoalan ghaib perlu kembali kepada alamiah (natural) kerana melibatkan persoalan individu yang dilahirkan untuk berbicara soal agama dan perlu kembali kepada masyarakat (society) yang menjadi subjek kepada urusan keagamaan yang asalnya hanyalah urusan individu ini. Masyarakat semakin kompleks dan daya fikir mereka semakin kritis dan tidak mahu lagi melihat agama itu hanyalah urusan mengulang rutin ritual sehari-hari atau meyakini kuasa ghaib yang mengawal segala urusan alam ini. Sebab itu kawan aku itu menolak agama bukan kerana tidak mempercayai kewujudan Tuhan sebagai zat ghaib, tetapi kawan aku menolak agama kerana tidak melihatnya berfungsi secara fizikal. Sikap golongan konservatif yang tidak mahukan persoalan agama itu dipersoal sudah tidak lagi relevan dan sikap sebegitu sebenarnya hanya sekadar meramaikan lagi orang-orang yang murtad oleh sebab skeptisisme ini, apatah lagi memaksa orang lain untuk menerima apa yang mereka percayai.

Persoalan agama adalah melibatkan hal yang abstrak, manakala persoalan fungsi adalah melibatkan yang yang konkrit. Menjawab persoalan tentang fungsi agama ke dalam masyarakat bermakna meletakkan persoalan agama yang bersifat abstrak yang subjektif ke atas ruang masyarakat yang bersifat konkrit dan objektif. Kedua-duanya memerlukan individu untuk mempunyai pengalamannya yang sendiri ke dalam masyarakat untuk melihat bagaimana sisi kemasyarakatan yang dilaluinya dapat menjawab sisi spiritual yang ada di dalam dirinya. Sudah tentunya jawapannya adalah berbeza bagi setiap individu kerana pengalaman fizikal dan spiritual yang ditempuhnya adalah berbeza. Sebab itu untuk menjawab persoalan tersebut secara objektif di sini adalah tidak efektif kerana barangkali jawapan yang ada pada diri aku tidak menepati dengan kehendak diri orang lain justeru aku tinggalkan persoalan itu sebagai sebuah persoalan yang perlu dijawab oleh semua orang. Tetapi dalam masa yang sama, meninggalkan untuk menjawab persoalan ini adalah sama sahaja untuk engkau tidak mengambil peduli apa yang engkau buat dan apa yang engkau anuti sama seperti seekor burung kakak tua yang sekadar mengangguk dan mengulang apa yang orang telah sogok kepadanya.

Agama yang membawa kepada kebenaran sudah tentu tidak membataskan fungsinya untuk hanya kebaikan individu sahaja, kerana ianya menjadikan ruang agama itu sempit dan berada pada ruang lingkungan yang eksklusif dan tidak inklusif. Agama yang benar sudah tentulah tidak sekadar terhenti pada ruang lingkup ritual ibadah semata-mata dan tidak sekadar menunjuk jalan kepada manusia bagaimana untuk menjadi seorang manusia yang baik, kerana ternyata semua itu telah dijawab oleh logik manusia yang secara alamiahnya mencintai kebaikan untuk segala aspek kehidupan. Tetapi agama yang benar ialah agama yang dapat memberi jawapan tentang bagaimana agama itu dapat menjalankan fungsinya ke dalam masyarakat dengan pengaturcaraan sistem yang adil dan membebaskan masyarakat daripada sebarang bentuk ketidakadilan. Agama yang benar sudah tentulah agama yang dapat diterima oleh akal manusia yang sentiasa menginginkan sesuatu yang dapat dicerap oleh sesuatu yang bersifat rasional.

Hukum Tuhan itu sudah tentunya tidak zalim ke atas manusia dan Dia tidak akan membiarkan peraturan-peraturan yang telah Dia aturkan itu sekadar peraturan tanpa mempunyai sebarang tujuan yang munasabah. Tinggal sahaja manusia itu yang harus memikirkan tujuan hukum-hakam itu diperintahkan dan larangan orang-orang yang melarang hukum Tuhan itu dipersoalkan sebenarnya memaparkan kecetekan pemikirannya untuk mencerap kerelevenan hukum Tuhan tetapi berselindung di sebalik larangan-larangan yang mengguna pakai nama Tuhan untuk menakut-nakutkan manusia.

 

PENGAKHIRAN

Sekali lagi aku mengulangi bahawa persoalan utama yang aku jadikan tajuk makalah ini aku akan terus tinggalkan sebagai persoalan untuk kita sama-sama fikirkan. Tidak ada gunanya aku memberi jawapan jika sebenarnya jawapan itu hanya terguna pakai untuk diri aku sendiri sahaja, tetapi tidak untuk orang lain. Pengalaman beragama adalah pengalaman individu dan individu itu sendiri yang harus merasai pengalamannya beragama dan mencari sendiri jawapannya. Proses pencarian jawapan itu adalah yang paling penting kerana ianya yang akan menjadi tunjang yang menguatkan diri individu itu sendiri terhadap apa-apa pegangan yang dianutinya.

Rasa kebertanggungjawaban terhadap apa-apa yang diyakini itu amat penting yang akan membezakan antara seorang manusia yang dikurniakan akal yang sihat oleh Tuhan dan seorang haiwan yang tidak dikurniakan kepadanya akal dan hanya tahu mengulang rutin yang sama setiap hari. Tidak ada gunanya kita sekadar percaya kepada sesuatu yang kita sendiri tidak pasti kebenarannya kerana ianya tidak akan menjadikan kita kuat untuk menempuh kehidupan sebagai seorang individu dan sebagai seorang masyarakat. Kita yang harus membuktikan bahawa sama ada perlu atau tidak kita beragama untuk benar-benar dilihat bahawa kita dan agama berfungsi dalam masyarakat kita.

Jadi, aku akhiri makalah aku ini dengan persoalan, “Apakah fungsi agama dalam masyarakat?”

Advertisement

Published by A. Muziru Idham

Seorang mahasiswa lepasan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dalam bidang Pengajian Antarabangsa. Sedang melanjutkan pengajian dalam sarjana Analisis Strategi & Keselamatan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Berminat dalam perbincangan dan pembacaan tentang sastera, hubungan antarabangsa, hak asasi manusia, gerakan sivil, politik Timur Tengah, agama, dan falsafah, tetapi sangat malas hendak mengulas tentang politik tempatan. Sebarang urusan dengan saya boleh diemelkan kepada: amuziruidham@yahoo.com

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: