MEMBAKAR JUBAH AKADEMIK, MENULIS ESEI KREATIF

Menulis esei seperti seorang pejalan kaki yang tidak sekadar berjalan kaki, tetapi dia sedang berjalan sambil membaca buku.

Dan bukunya yang dibaca pula adalah sebuah buku yang berkisar tentang kematian. Pejalan kaki itu sedang berada di sebuah persimpangan – antara berfikir soal kematian atau terus berfikir bagaimana untuk tidak mahu tersepak batu di jalanan.

Keputusannya tetap sama, dia harus menghadap buku dan berfikir tentang kematian tetapi perjalanan tetap perlu diteruskan. Dan di hujung perjalanan, dia berhenti di sebuah pondok, mengeluarkan pen dan kertas, dia bercerita tentang makna sebuah kematian yang disulamkan dengan cerita dia berjalan kaki sambil membaca buku.

Mengapa tidak? Mengapa tidak sebuah esei itu juga adalah sebuah cerita? Kutukan paling terbesar dalam dunia sastera adalah apabila masuknya sarjana yang datang dengan jubah dan mortar lalu menunjukkan kuasa autoriti kesarjanaan mereka terhadap sasterawan dengan memberitahu:

“Kamu sasterawan usah lagi hidup dengan khayalan-khayalan. Kamu harus berpijak di bumi yang nyata dan jangan bermain dusta. Menulis itu perlu berwacana. Perlu berkhutbah. Tanpa wacana, karya itu adalah sia-sia.”

Tragedi berlaku dalam dunia sastera apabila wacana itu diiringkan bersama dengan berkhutbah. Ia seolah-olah hendak berkata bahawa karya-karya sastera itu harus sudah menjadi teks-teks khutbah yang didaktik. Tidak kisah betapa ramai jemaah Jumaat tidur tetapi khutbah tetaplah khutbah hingga akhirnya makna wacana itu sendiri disempitkan menjadi khutbah sehingga pendidikan tidak lagi bersifat mendidik tetapi ditukar menjadi didaktik.

Sebab itu penulisan esei harus diselamatkan daripada turut dilemaskan oleh jubah akademik. Pemusnahan makna esei berlaku apabila ia tidak lagi diletakkan kedudukan bersama dengan genre kreatif lain seperti cerpen, puisi dan novel kerana tugas sebuah esei dihadkan kepada menulis yang ilmiah-ilmiah sahaja.

Dengan penyempitan makna itu, seolah-olah tugas seorang sasterawan disempitkan untuk hanya menulis karya-karya estetik semata-mata sehingga akhirnya tugas penulisan esei diserahkan kepada sarjana.

Fenomena itu proses pemandulan pengarang sastera itu sendiri yang tidak bebas untuk menggerakkan idea mereka menjadi darah-darah yang bergerak ke dalam salur nadi masyarakat.

Tidaklah ganjil sekiranya esei juga sebuah karya naratif. Mengapa tidak jika di dalam esei, kita bercerita tentang pengalaman kita meminum kopi. Kopi adalah sahabat karib kepada pengarang dan pemikir. Tidak berlebihan jika saya katakan bahawa kehidupan seorang pengarang bermula daripada kopi.

Kopi menjadikan mereka terus hidup dalam sebuah dunia, berjalan-jalan di tempat itu yang hanyalah mereka sahaja yang memahaminya. Pengalaman mereka itu dicatatkan menjadi kata-kata dan menjadi karya serta seterusnya menjadi sebuah puisi, cerpen, novel ataupun drama. Sebab itu tidak pelik jika seorang Voltaire itu menghirup kopi sekitar 40-50 cawan sehari sebagai inspirasi untuk menulis makalah pencerahannya itu.

Sasterawan paling berjaya setakat ini dalam menulis esei ialah Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said. Di tangan beliau, esei adalah sebuah tempat untuk mencurahkan idea batinnya yang tepu dengan pengalaman dan idea yang tidak wajar untuk dicurahkan kepada puisi, cerpen ataupun novel.

Tetapi, dalam masa sama jua, eseinya juga tempat dirinya melakar puitis dan garapan cerpenis. Sememangnya sepanjang saya mengenali Pak Samad sebagai tokoh pertama yang saya kenal sejak daripada awal mula mengenali apa itu sastera, Pak Samad adalah sasterawan yang paling pintar mencurah ideanya ke dalam medium yang wajar.

Kekecewaannya terhadap dunia kewartawanan diluahkannya menjadi Hujan Pagi, perjalanannya ke Eropah disuratkan menjadi warkah, geloranya terhadap politik nusa dilaungkannya dalam puisi, dan apabila ingin bercerita dan bergosip, maka dicoretkannya menjadi esei yang tidak perlukan kepada jubah-jubah sarjana pun untuk eseinya menjadi sebuah esei kreatif.

Hinggakan kita tidak sedar bahawa membaca esei-eseinya seperti sedang membaca sebuah cerita tetapi ia tidak boleh untuk sekadar berdiri sebagai sebuah cerita, melainkan itulah esei-eseinya yang digarap dengan keindahan kata.

Peminggiran esei daripada kediaman sastera sebagai sebuah karya adalah suatu bentuk diskriminasi dan pencabulan dalam kesenian kata. Dalam sastera, amatlah ganjil untuk diletakkan pembahagian antara karya kreatif dan non kreatif. Ia sebuah bidaah yang hanya mengakibatkan berlakunya pemecahan hak dalam dunia sastera hingga masyarakat melihat betapa sastera itu hanyalah berbicara yang khayal-khayal sahaja.

Di sini dosa jubah akademik yang disangkutkan ke dalam dunia sastera kerana terlalu asyik ingin berhujah dan menegakkan pendapat sendiri hingga wajah sastera itu sendiri hendak dirogoli dengan sesuatu yang kekeringan jiwa lalu akhirnya tidak habis-habis bertengkar sesama sendiri tentang teori-teori.

Bukanlah bermaksud saya memusuhi akademik dan saya tidaklah sejalang itu untuk mengatakan begitu.

Tetapi seperti mana ruang akademik memerlukan tempat berkumpulnya maklumat yang disusun dan dicerna menjadi fakta, begitu juga ruang sastera adalah tempat pertemuan kata-kata yang diadun dengan penuh estetika dan magis bahasa menjadi sihir kepada jiwa-jiwa.

Menulis esei adalah seperti menulis diari. Ia lahir daripada pandangan peribadi. Adakala terbit jua daripada pengalaman diri dan imaginasi. Malah seringkali esei tempat untuk menyampaikan luahan rasa ketidakpuasan hati yang muncul sebagai kritikan tajam dan sesekali membakar sampai rentung.

Dan begitulah esei ini hidup dengan tujuan membakar esei-esei akademik yang berada di rumah sastera. Sastera tidak perlukan kata-kata yang dipenuhi dengan jejeran khutbah. Sastera adalah tempat untuk manusia mendekati kehijauan kata, menghirup kesegaran udara bahasa, mengakrabi keranuman nilai jiwa, dan membaca wajah diri sendiri ketika sedang berehat di tikar kehidupan.

Sebab itu, genre esei harus dikembalikan kepada arena sastera dalam bentuknya yang sebenar. Kekeringan bentuknya harus dibasahkan kembali dengan menjadikan esei itu sebagai sebuah karya kreatif. Ramai orang takut untuk menjadikan esei sebagai bidang pengkaryaannya sedangkan menulis itu adalah semudah menulis sebuah diari.

Yang paling dekat dengan saya adalah esei-esei D.H. Lawrence yang sentiasa membuatkan saya merasakan bahawa saya sedang berbicara dengannya dan Lawrence dengan ceria sudi untuk menceritakan rutinnya atau apa yang disukainya kepada saya dan sentiasa memberitahu: “Tiada yang lebih membuat aku murung melainkan pulang ke rumah di mana tempat aku dilahirkan.”

Untuk esei lebih serius, saya lebih meminati esei-esei T.S. Eliot yang mampu memahamkan tentang dunia kritikan sastera dengan begitu baik sekali. Di tangan T.S. Eliot, kritikan sastera hidup sebagai sebuah kritikan yang tidak perlu untuk terikat dengan teori-teori tetapi tetap mampu untuk menjadikan karya-karya yang dikritik menjadi lebih hidup dan bertenaga.

Menulis ini, saya mahu menyedarkan bahawa menulis esei itu semudah menulis diari. Ia perlu didekati seperti kita selesa mendekati cerpen ataupun puisi.

Bagaimana kita menjadikan esei itu sebuah khayalan atau kita menceritakan tentang muzik kegemaran, ia tetaplah esei kita dan kita berhak menuliskannya. Mungkin sebenarnya kita akan lebih dicemburui, apabila lebih berjaya mendekati pembaca yang dahagakan trivia-trivia.

Artikel turut disiarkan di RoketKini.Com. Klik [sini]

Advertisement

Published by A. Muziru Idham

Seorang mahasiswa lepasan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dalam bidang Pengajian Antarabangsa. Sedang melanjutkan pengajian dalam sarjana Analisis Strategi & Keselamatan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Berminat dalam perbincangan dan pembacaan tentang sastera, hubungan antarabangsa, hak asasi manusia, gerakan sivil, politik Timur Tengah, agama, dan falsafah, tetapi sangat malas hendak mengulas tentang politik tempatan. Sebarang urusan dengan saya boleh diemelkan kepada: amuziruidham@yahoo.com

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: