PELARIAN ROHINGYA (ROHINGYA REFUGEES): INI DOSA SIAPA?

PENDAHULUAN

Isu pelarian Rohingya adalah sesuatu yang agak sukar untuk sekadar menawarkan penyelesaian dengan meminta pihak kerajaan Malaysia atau kerajaan bagi mana-mana negara serantau untuk membela nasib mereka. Malaysia terikat dalam “ASEAN regionalism” yang memetrai perjanjian dasar tidak campur tangan (non-interference policy) antara negara serantau dengan alasan bagi menjamin keamanan dan kestabilan bersama. Sebagai sebuah hub yang sedang menuju kepada sebuah kesatuan ASEAN yang akan mula dilaksanakan pada hujung tahun ini, Malaysia perlu lebih berhati-hati dengan polisinya agar tidak memberi impak kepada ASEAN sebelum ianya mula dilaksanakan lagi.

Tetapi dengan kenyataan-kenyataan itu, hal ini bukan bermakna isu ini perlu dibiarkan begitu sahaja tanpa etnik Rohingya mendapat pembelaan yang sewajarnya. Sebagai manusia, hak-hak mereka sebagai individual dan masyarakat perlu dibela oleh komuniti antarabangsa kerana masalah etnik Rohingya tidak lagi sekadar menjadi permasalahan domestik, tetapi telah menjadi permasalahan yang merentas geopolitik dan perundangan antarabangsa.

Oleh sebab itu, dalam tulisan ini, saya akan cuba melihat sebab-sebab yang membawa kepada “maritime ping pong” oleh negara-negara ASEAN ketika berhadapan dengan masalah pelarian Rohingya ini. Saya juga akan cuba menghuraikan tentang bagaimana polisi dan konsep hak asasi manusia yang ditanggapi oleh ASEAN yang menjadi punca utama kepada kebuntuan untuk menyelesaikan masalah pelarian Rohingya ini. Akhir sekali, saya akan cuba untuk melihat sisi-sisi yang boleh dilihat dalam membantu menyelesaikan masalah pelarian Rohingya ini sekurang-kurangnya untuk jangka masa pendek.

 

“A GAME OF MARITIME PING PONG”: ANTARA THAILAND, INDONESIA, MALAYSIA

“A Game of Maritime Ping Pong” (MPP) merupakan istilah yang disebut oleh jurucakap International Organisation for Migration (IOM) yang kesal dengan sikap yang diambil oleh Thailand, Indonesian dan Malaysia berhubung penolakan mereka untuk menerima segerombolan kapal yang membawa muatan pelarian Rohingya yang terdesak dan kekurangan zat makanan dalam jumlah yang besar. Pelarian Rohingya telah menjadi seumpama bola ping pong yang dipukul ke sana sini oleh negara-negara serantau tetapi tidak ada mana-mana negara yang hendak menerima kehadiran mereka menyebabkan mereka tersadai tengah-tengah maritim tanpa dapat untuk pergi ke mana-mana.

Dalam hal ini, naluri kemanusiaan kita akan segera menolak tindakan MPP oleh negara-negara tersebut. Tindakan-tindakan tersebut seolah-olah tidak berperikemanusiaan yang bersifat menindas terhadap komuniti yang sememangnya sudah tertindas di negara sendiri. Namun begitu, terdapat aspek-aspek lain yang wajar diperhatikan dan diambil kira dalam menanggani isu pelarian Rohingya ini oleh mana-mana negara.

i)Pertambahan Kadar Populasi Penduduk

Penerimaan mana-mana negara terhadap pelarian Rohingya yang tidak hadir dengan jumlah yang kecil bermakna negara harus menerima beban pertambahan kadar populasi penduduk untuk menampung jumlah mereka yang besar itu. Pertambahan populasi tersebut menyebabkan negara mengalami pula masalah demografi dalam menyediakan mereka sebuah kawasan yang luas untuk mereka tinggal. Dengan bilangan mereka yang mencecah jutaan orang itu, pengurusan negara untuk menyediakan mereka tempat tinggal adalah tidak mudah dan memerlukan ruang seluas saiz satu daerah kawasan yang sangat luas dan bukannya sekadar dapat disediakan kepada mereka beberapa buah dewan rakyat untuk mereka berteduh. Ditambah pula dengan bilangan penduduk setempat, pertambahan saiz populasi yang berakibat daripada penerimaan pelarian Rohingya ini menyempitkan lagi demografi kawasan yang menyebabkan wujudnya ketidakselesaan terhadap penduduk asal setempat.

ii) Peningkatan Kadar Perbelanjaan Negara

Kerungsingan sebenar mana-mana negara serantau untuk menerima kehadiran pelarian Rohingya ini berpunca daripada peningkatan kadar perbelanjaan negara yang terpaksa dikeluarkan bagi menampung kos hidup dan fasiliti mereka. Kerungsingan ini dilihat mempunyai asasnya apabila Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan-Ocha berkata, “If they break the law and land in Thailand, how can we take care of them? Where will the budget come from? That money will need to come from Thai people’s taxes, right?” Faktor-faktor tersebut tidak sekadar turut dihadapi oleh Thailand, tetapi turut dihadapi oleh mana-mana negara yang menerima kehadiran pelarian Rohingya tersebut menyebabkan kadar perbelanjaan negara akan menjadi lebih meningkat. Ianya adalah sesuatu yang perlu diambil kira kerana perbelanjaan untuk mereka bukan sekadar untuk seribu dua orang, tetapi mencecah jutaan orang. Malahan, perbelanjaan itu bukan sekadar untuk sehari atau seminggu, tetapi sehingga selesai isu etnik Rohingya di peringkat Myanmar yang belum tahu entah bila akan selesai.

Dalam hal ini, ianya menjadi suatu penjelasan tentang sebab-sebab berlakunya MPP dalam kalangan negara serantau terhadap pelarian Rohingya ini. Ianya tidak sekadar bahawa nasib-nasib pelarian Rohingya ini sengaja untuk tidak dibela, tetapi mahu tidak mahu negara-negara serantau perlu lebih memikirkan kepentingan domestik agar tidak dengan sengaja melibatkan diri dengan konflik dalaman negara Myanmar. Dalam masa yang sama, ASEAN hanyalah sebuah rantau yang ditubuhkan atas konsep regionalism untuk membentuk sebuah kesatuan serantau berdasarkan polisi-polisi yang dipersetujui, tetapi ASEAN tidak berdiri sebagai badan serantau yang khusus yang mempunyai bajet tetap dan mekanisme khusus dalam menanggani permasalahan ini. Ditambah lagi dengan dasar tidak campur tangan, ASEAN mempunyai banyak permasalahan dalam menguruskan isu pelarian Rohingya ini selagi ianya tidak selesai di peringkat dalam Myanmar itu sendiri.

DOSA HAK ASASI MANUSIA ASEAN (ASEAN HUMAN RIGHTS)

Dosa paling besar dalam ASEAN sebenarnya terletak pada bagaimana ASEAN bersetuju dengan konsep hak asasi manusia (HAM) yang diterima pakai di wilayah ASEAN. ASEAN tidak bersetuju dengan konsep HAM yang dipegang oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kerana bagi mereka, HAM adalah sebuah konsep yang tidak harus memiliki nilai universaliti kerana ianya adalah sebuah konsep yang dinilai dari sudut pandang Barat dan tidak sesuai untuk dilaksanakan di negara-negara Asia Tenggara yang mempunyai nilai budaya dan kemasyarakatannya yang tersendiri.

Dengan mengambil kira sudut itu, maka pemimpin-pemimpin ASEAN bersetuju untuk merangka dasar HAM yang khusus diimplementasi di ASEAN. Dosa paling besarnya di sini ialah HAM  yang terpakai di ASEAN ialah menghalang mana-mana negara lain untuk campur tangan dalam urusan dalaman sesebuah negara ASEAN dan nilai-nilai yang dipegang dalam HAM adalah menurut kepada sosiobudaya, adat warisan, persejarahan, kesenian dan struktur politikal di negara tersebut sendiri.

Kebenaran untuk ASEAN terus memakai konsep HAM menurut mereka itu, dan diselarikan bersama dengan dasar tidak campur tangan, bermakna urusan masyarakat dalam negara adalah di bawah pertanggungjawaban negara masing-masing dan negara-negara lain tidak berhak untuk campur tangan dan bersuara tentang hal ehwal dalaman sesebuah negara ASEAN. Malah, HAM menurut mereka hanya akan mengganggu proses keselamatan nasional (national security) dan pembangunan ekonomi sahaja.

Penubuhan Asian Intergovernmental Commission on Human Rights (AICHR) pada tahun 2009 yang disebabkan oleh isu di Myanmar ini pun hanya sekadar berfungsi sebagai badan yang “promoting human rights, “enhancing regional cooperation” dan “upholding international human rights standards”. Dengan fungsinya yang sekadar memperkenalkan dan mengangkat isu hak asasi manusia, hanya itulah yang mampu dilakukan oleh AICHR sebagai sebuah badan HAM dan tidak lebih daripada itu.

Sebab itu persetujuan yang dicapai oleh pemimpin ASEAN berhubungan konteks HAM dan dihubungkan pula dengan dasar tanpa campur tangan adalah sebuah dosa besar untuk menutup kezaliman dalaman yang dilakukan oleh negara masing-masing tanpa risau akan campur tangan daripada luar untuk menyekat kezaliman mereka itu.

 

APA PERANAN DUNIA?

Dalam keadaan kita melihat rasionaliti MPP daripada negara-negara sekitar, tidak bermakna kita meredai tentang apa yang berlaku terhadap pelarian Rohingya. Seperti yang saya sebutkan pada bahagian pendahuluan, Rohingya juga tetap adalah manusia-manusia yang mempunyai hak untuk dilindungi seperti kebebasan mereka untuk hidup, selamat, memiliki tempat tinggal, hak bernegara dan sebagainya. Walau apa jua perkara sekalipun, sama ada memegang makna HAM dalam konteks PBB atau dalam konteks ASEAN, tidak ada satu klausa pun atau sepatutnya wujud pun yang membenarkan semua ini terjadi. Ianya merupakan jenayah kemanusiaan yang perlu mendapat bantahan daripada peringkat antarabangsa.

Dalam hal ini, subtopik ini akan meninjau bagaimana dunia berperanan dalam membantu mempertahankan hak etnik Rohingya sekurang-kurangnya untuk jangka masa yang pendek ini.

 

i) Peranan NGO Kemanusiaan

NGO-NGO kemanusiaan harus mempertingkatkan bantuan kemanusiaan terhadap pelarian-pelarian Rohingya yang sedang tersadai di tengah lautan itu. Mahu tidak mahu, kerajaan tidak boleh lagi dijadikan harapan utama untuk menaikkan isu ini kerana kita terpaksa menerima hakikat bahawa ASEAN terikat dengan polisi tidak campur tangannya dalam isu intra serantau (intra-regional). Dalam masa yang sama, NGO harus aktif meningkatkan kesedaran tentang isu ini dalam kalangan masyarakat agar masyarakat tidak lagi sekadar melihat semut-semut yang berada di seberang lautan kerana gajah-gajah di tanah sendiri sebenarnya sedang mati kelaparan.

Dalam hal ini, kerajaan sebenarnya boleh menyuntik dana bantuan kepada NGO untuk memudahkan urusan penghantaran bantuan kemanusiaan terhadap pelarian-pelarian Rohingya tersebut. Tinggal sahaja bantuan tersebut tidak perlu beratasnamakan kerajaan jika membimbangi akan melanggar polisi ASEAN yang telah dipersetujui bersama.

ii) Peranan Masyarakat Serantau

Masyarakat sepatutnya harus lebih sedar bahawa ada isu yang lebih utama dan lebih dekat untuk diperjuangkan. Dalam keadaan kita melihat nun jauh ke Timur Tengah dengan meratap dan bersedih serta bersolidariti untuk kebebasan dan kedamaian mereka, tetapi siapa pula yang akan melakukan semua itu terhadap saudara jiran kita sendiri, iaitu etnik Rohingya yang sedang ditindas? Adakah kerana mereka tidak disebut dalam mana-mana kitab suci atau tidak disebut-sebut dalam sejarah bahawa tanah mereka atau bangsa mereka bukan daripada kalangan anbiya’ maka perjuangan untuk membebaskan mereka terletak pada prioriti yang kedua berbanding perjuangan membebaskan orang-orang Palestin?

Sedarlah, apa yang terjadi terhadap etnik Rohingya itu adalah lebih teruk kerana mereka tidak mendapat pembelaan daripada masyarakat serantau mereka sendiri. Mereka ditindas dan dizalimi sebagai etnik minoriti tetapi tiada siapa yang mahu mendengar suara mereka walau daripada jiran-jiran mereka sendiri. Sebab itu masyarakat serantau harus memainkan peranan untuk menaikkan isu ini ke peringkat antarabangsa bagi memberi tekanan hebat terhadap kerajaan Myanmar untuk menghentikan penindasan yang telah mereka lakukan ke atas etnik Rohingya.

Seperti mana solidariti terhadap masyarakat Palestin yang sudah mencecah puluhan tahun, mengapa tidak kali ini kita melakukan perkara yang sama terhadap masyarakat Rohingya, saudara jiran kita sendiri dengan hebatnya?

iii) Peranan ASEAN

ASEAN perlu memainkan peranan utama dalam menekan Myanmar untuk menghentikan isu penindasan ke atas masyarakat Rohingya ini. Sepatutnya sebagai negara yang sama-sama membangunkan ASEAN regionalism, ASEAN dan Myanmar harus duduk semeja membincangkan isu ini secara kritikal. Kepentingan kemanusiaan harus mengatasi kepentingan negara yang bersifat tidak adil. Tekanan perlu diberikan kepada Myanmar agar dapat menyelesaikan isu ini dengan secepat mungkin agar tidak mewujudkan pertikaian geopolitik dalam konteks serantau. Ketidakmahuan sebarang campur tangan walau apa jua keadaan sekalipun hanya kerana ingin mematuhi polisi sehingga membiarkan ketidakadilan terus terjadi merupakan suatu perkara yang paling karut untuk diterima. Dalam proses ke arah implementasi ASEAN, hal-hal seperti ini sepatutnya dibereskan dengan lebih awal kerana jika tidak, pembentukan komuniti ASEAN (ASEAN Community) akan menemui jalan sukar. Negara-negara ASEAN perlu lantang menyuarakan isu-isu serantau kerana jika tidak, tiga tiang seri utama ASEAN, iaitu ASEAN Economic Community (AEC), ASEAN Political-Security Community (APSC) dan ASEAN Socio-Cultural Community (ASCC) tidak akan dapat dilaksanakan dengan baik dengan terus tinggal sebagai retorik yang nampak cantik.

Namun begitu, dalam masa yang sama, ASEAN perlu menilai dan meminda kembali dua dasar utama yang menjadi dosa besar ASEAN dan akan lebih memburukkan lagi komuniti ASEAN pada masa akan datang, iaitu:

i) Dasar tidak campur tangan (Non-Interference Policy)

ii) Terminologi hak asasi manusia (HAM) menurut ASEAN

Dalam hal ini, saya tertarik dengan idea John Arendshorst dalam jurnalnya, The Dilemma of Non-Interference: Myanmar, Human Rights, and the ASEAN Charter bahawa ASEAN perlu meminda dasar AICHR untuk mewujudkan mahkamah HAM dengan mempunyai kuasa untuk melakukan penghakiman terhadap perkara-perkara yang melanggar HAM. Mahkamah AICHR tersebut boleh berfungsi seperti European Court of Human Rights (ECHR) atau Inter-American Commission on Human Rights (IACHR) yang bertindak sebagai badan kehakiman bebas untuk membawa sebarang pencabulan HAM ke muka pengadilan. Tetapi nampaknya perkara ini dilihat sukar untuk berlaku dalam suatu jangka pendek selagi mana kesemua negara ASEAN belum lagi bersetuju untuk meminda terminologi HAM menurut ASEAN itu untuk perkara paling asas itu.

 

KESIMPULAN

Isu etnik Rohingya adalah sebuah isu yang tidak begitu popular dalam kalangan masyarakat Asia Tenggara tidak seperti mana isu Palestin-Israel yang telah berlaku selama puluhan tahun. Malahan, isu etnik Rohingya juga seperti dipandang sepi dalam kalangan masyarakat Asia seperti mana permainan “maritime ping pong” oleh ASEAN sendiri. Lebih menghairankan apabila di kala isu Rohingya ini timbul, tetap juga yang timbul ialah demonstrasi mengenai isu Palestin tetapi belum lagi kelihatan setakat ini apa-apa demonstrasi protes terhadap kerajaan Myanmar untuk menyelesaikan isu Rohingya dengan aman. Perkara ini adalah sesuatu perlu dinilai kembali.

Dalam masa yang sama, dalam kita cuba memperjuangkan isu ini, perlu difahami terlebih dahulu konteks hubungan antarabangsa dan geopolitik kerana isu ini tidak semudah dengan mendesak kerajaan Malaysia atau mana-mana kerajaan ASEAN lain untuk membantu pelarian Rohingya atau mengutuk kezaliman kerajaan Myanmar. Pengamalan polisi serantau yang berbeza daripada rantau-rantau yang lain menyebabkan saluran rasmi kerajaan tidak boleh diharapkan sangat untuk membantu masyarakat Rohingya yang tertindas ini. Sebab itu perlunya pergerakan daripada badan NGO untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan ini kerana badan NGO bergerak sebagai sebuah badan kemanusiaan yang tidak mewakili kerajaan secara rasmi. Tapi dalam masa yang sama, sangat ditekankan sekali untuk ASEAN menilai kembali polisi tidak campur tangan dan pemaknaan semula HAM agar dapat benar-benar menjaga hak manusia sama ada secara individual atau kolektif.

Advertisement

Published by A. Muziru Idham

Seorang mahasiswa lepasan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dalam bidang Pengajian Antarabangsa. Sedang melanjutkan pengajian dalam sarjana Analisis Strategi & Keselamatan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Berminat dalam perbincangan dan pembacaan tentang sastera, hubungan antarabangsa, hak asasi manusia, gerakan sivil, politik Timur Tengah, agama, dan falsafah, tetapi sangat malas hendak mengulas tentang politik tempatan. Sebarang urusan dengan saya boleh diemelkan kepada: amuziruidham@yahoo.com

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: