PENGGANAS AGAMA DAN KEBEBALAN RASIONAL

Suatu perkara yang menjadi kerungsingan global pada waktu sekarang ialah isu keganasan antarabangsa yang melibatkan pengeboman dan pembunuhan di merata tempat dalam suasana yang penuh kesengajaaan di mana ianya berlaku di tempat-tempat awam. Ianya berlaku dalam keadaan pengeboman itu berlaku sama ada bom itu diletakkan di tempat tersebut atau ianya diakibatkan oleh pengebom berani mati yang dengan sengaja meletupkan dirinya sendiri di tempat-tempat awam. Malah kebiasaannya tempat awam yang menjadi sasaran ialah seperti di tempat yang melibatkan ruangan sosial yang disifatkan sebagai hedonisme. Keganasan tersebut berlaku disebabkan oleh pengebom itu menyasarkan tindakan mereka sebagai sebuah “jihad” untuk membanteras kemaksiatan dan menegakkan syariat agama.

Dan hari ini kewujudan kelompok pengganas seperti ISIS menjadi suatu kegusaran dunia apabila bukan sahaja pengaruh mereka meluas ke negara-negara lain, tetapi pergerakan mereka kelihatan telah mula menyerap masuk ke kawasan-kawasan Asia Tenggara hingga akhirnya menatijahkan kepada berlakunya pengeboman di Jakarta, Indonesia pada baru-baru ini. Mereka menggerakkan tindakan mereka itu dengan mengatasnamakan agama sebagai dokongan perjuangan untuk mereka melakukan pembunuhan secara sesuka hati mereka. Sekurang-kurangnya, secara kasarnya itulah, walaupun saya tidak percaya bahawa mereka sekadar berjuang kerana alasan agama, tetapi yang dilaung-laungkan daripada mereka ialah mereka menggunakan logik agama sebagai alasan untuk mengabsahkan tindakan mereka. Maka di sini yang dapat dilihat ialah, logik agama digunakan sebagai rasional tindakan.

Maka persoalan yang wajar untuk kita utarakan ialah, apakah logik yang telah mereka gunakan sehingga menjadikan mereka cukup berani untuk memperbuat apa yang mereka sedang lakukan?

Sekarang, mari kita cuba letakkan diri kita dalam posisi mereka. Untuk memahami sesuatu perkara, kita perlu meletakkan diri kita di tempat mereka. Jika tidak, kita selama-lamanya tidak akan faham apa yang sedang berlaku kerana logik yang kita pakai tidak sama dengan logik yang mereka pakai.

Mari kita cuba faham logik mereka. Agama telah mengajar penganutnya bahawa kebaktian atas nama agama dalam melakukan sesuatu perkara adalah suatu jihad yang mempunyai ganjaran pahala yang besar daripada Tuhan. Lalu sirah-sirah tentang peperangan ketika zaman Nabi itu dibuka yang memperlihatkan bahawa orang-orang Islam banyak berperangan demi mempertahankan agama dan negara dengan darah dan nyawa. Malah, dalil-dalil pun dibaca yang menunjukkan seolah-olah Tuhan meredai peperangan antara orang Islam dan orang kafir. Lalu semangat ditiupkan lagi bahawa peperangan memerangai maksiat dan orang kafir akan dikurniakan dengan ganjaran syahid dan orang yang syahid demi agama akan diberi laluan mudah untuk ke syurga.

Mungkin kita akan segera mengatakan bahawa agama kita tidak mengajar penganutnya untuk melakukan keganasan. Tetapi pada faham mereka, kesucian agama itu adalah lebih penting untuk dipertahankan dan ianya sudah tentunya memerlukan kepada pengorbanan harta, darah dan nyawa demi memburu syahid. Biarlah orang kafir atau orang yang berbuat maksiat itu menjadi korban. Asalkan dapat membuktikan bahawa orang kafir itu harus tunduk di bawah pemerintahan orang Islam. Dan kesucian agama itu akan tertegak apabila Negara Islam (Islamic State) itu dapat ditubuhkan dan cara untuk kembali kepada Negara Islam ialah dengan menubuhkan Negara Khilafah (Chilaphate State). Maka dengan cara itu sahaja kegemilangan ketamadunan Islam dapat dikembalikan dan syiar Islam kembali tertegak di atas muka bumi.

Logik itu tidak sukar untuk difahami. Kerana logik itu jugalah yang ditunjukkan oleh sesetengah orang daripada orang Islam itu sendiri ketika menghadapi provokasi daripada golongan yang menghina agama atau lebih parah, ketika mereka sedang sibuk mempertahankan akidah Asyairah tulen sejati atau menghentam golongan yang tidak bersetuju dengan mereka dengan gelaran yang macam-macam berserta kutukan dan ugutan yang tidak wajar.

Setelah kita meneliti logik agama yang telah digunakan oleh pengganas agama ini, sekarang mari kita melihat pula bagaimana logik yang telah mereka gunakan itu adalah sebuah kebebalan rasional.

Sebelum itu, apakah yang dimaksudkan dengan kebebalan rasional?

Kebebalan rasional bermaksud kesalahan cara berfikir dalam melakukan sesuatu tindakan sehingga menyebabkan timbulnya kekeliruan dalam memahami antara rasionaliti ataupun falasi. Kekebalan rasional adalah suatu perkara yang sangat mustahak untuk difahami kerana akibat daripadanya ialah berlakunya kesalahfahaman ketika melakukan sesuatu perkara yang memberi akibat yang buruk terhadap diri sendiri dan orang lain.

Orang yang memiliki kekebalan rasional akan sentiasa merasakan bahawa tindakan mereka adalah sudah cukup betul dan rasional, tetapi hakikatnya kesan daripada tindakan mereka tersebut bukan sahaja di luar kewarasan akal manusia biasa, malah mencetuskan suatu keadaan yang tidak normal dan berbahaya. Mereka tidak jatuh pada tahap kebodohan dalam berfikir kerana kebodohan adalah suatu tindakan yang langsung tidak mempunyai alasan logik yang jelas. Tetapi golongan yang memiliki kebebalan rasional adalah golongan yang faham dengan logik tindakan mereka, tetapi kefahaman mereka itu tidak berasaskan kepada rumus logik yang benar.

Contohnya, A hendak menolong orang-orang yang miskin. Tetapi cara A hendak menolongnya adalah dengan pergi merompak harta-harta orang kaya untuk diberikan kepada orang miskin. Pada satu sisi, A merasakan tindakannya adalah rasional kerana ianya adalah sebuah hukuman terhadap orang kaya yang menindas orang miskin lalu harta-harta orang miskin yang dirampas oleh orang kaya dirompak dan dikembalikan semula kepada orang miskin. Tetapi ianya adalah sebuah kebebalan rasional apabila tindakan zalim orang kaya dibalas pula dengan kezaliman yang lain pula di mana kezaliman itu lebih berbahaya dan mengancam kesejahteraan masyarakat.

Mungkin kita akan mengatakan bahawa tindakan A adalah rasional kerana ianya dapat mengajar orang kaya agar tidak menindas orang miskin, tetapi sebenarnya ianya adalah rasional yang silap kerana akhirnya tindakan rompakan tersebut bukannya sebuah cara mendidik yang tepat, tetapi membentuk suasana yang tidak aman dan membuatkan masyarakat di sekitarnya hidup dalam keadaan yang tidak tenteram kerana bimbang giliran mereka pula yang bakal dirompak.

Daripada penjelasan saya yang tersebut, mari kita menilai apa yang sedang berlaku terhadap logik pengganas agama pada hari ini. Dengan logik-logik agama yang mereka gunakan sebagai alasan untuk mengabsahkan tindakan mereka, akhirnya mereka sebenarnya sedang menuju kepada sebuah destinasi yang silap dalam mencapai tujuan mereka tersebut. Dengan membayangkan bahawa mereka akan memperjuangkan sebuah Negara Islam, tetapi akhirnya tindakan-tindakan mereka ialah membuatkan seluruh dunia berada dalam kebimbangan dan mengakibatkan nilai perjuangan mereka itu telah rosak dan nama agama yang dibawa oleh mereka itu telah buruk.

Tindakan mereka yang membawa nama agama telah mengaburi mata masyarakat dunia dan berlaku kekeliruan identiti dengan identiti yang dibawa oleh mereka sebagai kelompok muslim. Kebebalan rasional mereka dalam bertindak dengan membawa nama agama dalam setiap tindakan mereka menyebabkan masyarakat tidak melihat diri mereka itu sebagai seorang pengganas yang sedang melakukan kekacauan dengan memakai nama agama, tetapi terus langsung kepada pemburukan nama agama yang tidak pernah mengajar penganutnya untuk melakukan perkara-perkara sebegitu.

Kewujudan ruang Islamophobia terhadap kampus global adalah suatu alasan yang buruk dan sangat tidak adil di blok Barat dan saya sangat menyedari bahawa ianya adalah sesuatu yang sekadar bersifat permainan politik. Tetapi kewujudan olehnya itu dicetuskan oleh sebilangan kelompok pengganas agama yang membuka ruang untuk berlakunya penyalahtafsiran terhadap agama adalah sebuah kebebalan rasional yang memberi impak yang lebih buruk kerana kesannya terpalit terhadap entiti lain yang tidak bersalah dan tidak terlibat dengan perkara-perkara yang mereka lakukan.

Oleh sebab itu, isu pengganas agama dalam ruang global pada hari ini adalah sebuah isu kebebalan rasional yang perlu untuk difahami dengan lebih halus dan mendalam. Sekiranya perlakuan mereka itu tidak ditanggapi dengan betul, kesannya penyelesaian-penyelesaian yang cuba diambil tidak akan berjaya untuk mengubah apa-apa kerana akhirnya cara kita memahami identiti diri mereka dan tindakan-tindakan mereka adalah tidak tepat. Ketidaktepatan dalam memahami siapa mereka dan apa yang mereka sedang lakukan hanya akan menyebabkan kita akan terus-menerus sekadar bersikap apologetik terhadap agama, tetapi ruang untuk memperlahankan pergerakan mereka dan menimbus terus ke lubang kubur tidak akan pernah menemui kejayaan.

Advertisement

Published by A. Muziru Idham

Seorang mahasiswa lepasan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dalam bidang Pengajian Antarabangsa. Sedang melanjutkan pengajian dalam sarjana Analisis Strategi & Keselamatan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Berminat dalam perbincangan dan pembacaan tentang sastera, hubungan antarabangsa, hak asasi manusia, gerakan sivil, politik Timur Tengah, agama, dan falsafah, tetapi sangat malas hendak mengulas tentang politik tempatan. Sebarang urusan dengan saya boleh diemelkan kepada: amuziruidham@yahoo.com

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: