SASTERA KRITIKAN MENUJU KE KUBURAN

(Tulisan ini turut disiarkan di Berita Harian,  10 Oktober 2015)

Serius. Jika ditanyakan kepada saya tentang sastera kritikan yang berteori, saya hanya mampu melihat semua teori itu adalah sebuah api yang hanya bertujuan menghanguskan karya-karya sastera dan melenyapkannya terus dari muka bumi. Teori-teori itu tidak lebih umpama seorang Hitler yang datang kepada setiap penulis untuk memberitahunya bagaimana mahu menjadi baik dan memaksanya menjadi baik mengikut kehendaknya.

Penulis yang tenggelam dalam teori-teori tidak lagi berdaya menjadikan karyanya sebuah karya seni yang bebas daripada sebarang pengaruh yang menenggelamkan sebuah keaslian idea seni. Dengan segala struktur dan formaliti yang terbangun dalam teori-teori itu, sebuah kritikan sastera telah menjadi sebuah kajian sastera. Di tangan pengkritik yang larut dengan teori-teori, karya sastera tidak lagi menjadi sebuah karya seni, tetapi terus mati dan menjadi abu kepada kubur akademik.

Seseorang penulis begitu takut untuk berkarya kerana bimbang ianya terbabas daripada landasan teori-teori yang didukungnya, lalu hasil karyanya bukan lagi adalah hasil yang bebas, tapi adalah produk kepada teori yang didukungnya. Lalu pencipta teori tersebut berbangga-bangga bahawa teorinya telah dicontohi dengan baik oleh ramai penulis dan memberitahu seluruh jagat bahawa teorinya itulah yang terbaik untuk diramukan dengan karya agar ianya lebih sastera atau lebih persuratan.

Itulah kapitalisme dalam dunia kesusasteraan yang kebiasaannya menjerat penulis baru tanpa mereka sedar bahawa mereka adalah buruh-buruh kasar yang sedang dikerahkan untuk menghasilkan produk-produk tulisan, lalu berbangga dengan keuntungan kecil melalui kemenangan anugerah-anugerah penulisan dengan sejumlah wang dan nama yang semakin dimasyhurkan. Realitinya, keuntungan besar sebenar dikaut oleh pemodal teori yang dipeganginya yang telah berjaya mengembangkan sebuah pemikiran terhadap penulis-penulis totok bahawa teori-teori yang dibangunkannya itulah yang sebenarnya lebih baik, atau lebih sastera, atau lebih berkualiti, atau lebih Islamik, atau lebih beradab.

Dengan demikian itu bukanlah bermakna bahawa sebuah seni itu terlalu abstrak sehingga tidak memerlukan teori. Tidaklah begitu. Sebab teori itu sendiri penting untuk membawa seni kepada sesuatu yang dapat disuratkan. Teori itu sepatutnya menjadi kerangka kepada sebuah kefahaman tentang apa itu seni. Tetapi apabila masuk ke dalam rumah seni, teori-teori itu sepatutnya ditinggalkan di luar pintu. Membawa masuknya ke dalam sekali akan menjadikan seni itu tampak kaku sekali. Kritikan sastera sepatutnya berdiri sebagai sebuah karya seni seperti mana juga karya-karya sastera yang lain. Ia perlu diconteng di atas kanvas dengan variasi berus dan warna daripada tangan pengkarya itu sendiri.  Membawa masuk teori-teori kaku ke dalam kritikan sastera akan menyebabkan kritikan sastera itu nampak begitu cacat dan cair kehalusan seninya.

Kelemahan dunia sastera tempatan hari ini ialah kita kekurangan pengkritik sastera yang faham nilai kesenian dalam sastera. Kita mempunyai ramai sarjana sastera yang penuh dengan teori dalam kepala, tapi kita kekurangan pengkritik sastera yang penuh seni dalam jiwa. Tidak ramai pengkritik sastera kita hari ini dapat meneropong sastera seperti mana Hassan Ahmad, Kassim Ahmad dan Shahnon Ahmad. Ketiga-tiga Ibn Ahmad itu adalah pengkritik sastera tempatan yang paling saya hormati kerana kesenian mereka dalam mengkritik karya sastera. Mereka menjiwai sastera sebagai sebuah kesenian yang menampung nilai-nilai ketamadunan manusia, maka mereka mengangkat kritikan itu sebagai sebuah genre dalam dunia susastera yang perlu dihormati dan diambil serius.

Sebab itu, sehingga ke tahap ini, saya mulai percaya, sastera kontemporari tetap perlu kembali kepada sastera tradisi agar akar itu tidak hilang bisanya. Sasterawan yang larut dalam puji-pujian karya, sebenarnya tidak membawa makna apa-apa jika karya sastera tradisi tidak ada satu pun yang habis dibaca. Dia tidak akan pernah tahu pun apa itu sastera melainkan dia cuma berbangga-bangga bahawa apa yang ditulisnya itu adalah sebuah karya sastera. Sebab itu kita perlu kembali membaca karya-karya sastera tradisi untuk melihat kekuatan sastera kita yang tepu dengan nilai seni budaya dan santunnya. Tengok Hikayat Munshi Abdullah, Sulatus Salatin, Hikayat Hang Tuah, Tuhfat An-Nafis – di dalamnya tepu dengan cerita bersalut budaya tapi dalam masa yang sama berselit kritikan tajam dalam keadaan sedar atau kita tidak sedar.

Saya sendiri pada hari ini begitu keliru apabila membaca sesetengah tulisan yang dinamakan sebagai kritikan sastera. Adakah sebuah kritikan sastera akan mati tanpa teori-teori atau teori-teori itu adalah sebuah kewajipan yang perlu ada dalam sebuah makalah yang dipanggil kritikan sastera? Adakah sebuah kritikan sastera itu dilarang berimaginatif seperti mana karya-karya kreatif? Tidak logikkah sekiranya pada hari ini kita menjadikan kritikan sastera itu sendiri berdiri sebagai sebuah karya kreatif?

Mungkin apabila tulisan saya ini dibaca, saya akan dikatakan sebagai penulis muda yang masih jinak usia tetapi memandai-mandai menunjuk ajar orang yang telah lama dewasa. Tetapi inilah reaksi seorang muda yang sedang dahagakan sebuah kritikan sastera untuk diangkat kembali ke lapangan masyarakat dengan cara yang bebas dan bermaruah. Inilah reaksi seorang muda yang ingin membaca sebuah kritikan sastera sebagai sebuah kritikan sastera, bukan sebuah kajian sastera.

Ramai orang takut untuk mengkritik hasil kesusasteraan orang lain kerana takut untuk mencari musuh. Ya, sesedarnya memang genre ini penuh dengan kawan dan musuh. Menjadi seorang pengkritik sastera bermakna sedang memungkinkan seorang kawan sebagai musuh dan musuh sebagai kawan dalam sekelip mata. Tidak semua orang gemar karyanya dikritik kerana berbangga dengan karyanya yang dirasakan sudah cukup hebat dan tidak boleh dikritik atau merasakan kritikan hanya perlu datang daripada orang yang sudah mapan manakala orang lain yang masih belum mapan (apakah definisi mapan?) perlu lebih banyak membaca dan menulis. Itu silapnya. Istilah kritikan sendiri itu sudah menjadi umpama seekor drakula yang dibawa oleh Bram Stoker untuk menghirup darah-darah manusia dengan penuh konspiratif, sedangkan penulis-penulis itu tidak sedar bahawa karya mereka laris dan dibaca kerana kritikan telah mengangkat karya-karya mereka ke tengah masyarakat.

Mengkritik bukan bermaksud menyekat pengkaryaan orang lain, tetapi menjadikan sesebuah karya sastera itu lebih mantap dan dekat di hati masyarakat. Kassim Ahmad sendiri melihat bahawa seorang penulis tidak akan mengetahui kekuatan dan kelemahannya dan masyarakat tidak akan mengetahui kekuatan dan kelemahan sesebuah karya. Sepertimana perkembangan semua ilmu memerlukan kritikan, begitu juga perkembangan sastera memerlukan kritikan.

Tetapi itulah, sayangnya penulisan kritikan sastera di negara kita didominasi oleh sarjana-sarjana sastera yang menulis kritikan (atau kajian?) sastera mereka dengan melimpah-limpahkan teori-teori ke dalam tulisannya sehingga karya sastera yang dianalisis seolah sudah menjadi sebuah karya akademik. Pengkarya itu sendiri larut dalam penulisan karya kreatifnya sehingga melupakan teman-teman karyawan di sekelilingnya yang sedang larut dengan dunianya sendiri tanpa ada yang datang menepuk bahunya untuk menyedarkan bahawa dia terlupa menghirup kopinya yang sudah lama kedinginan. Aromanya juga sudah meresap ke dinding-dinding sastera yang usang.

Dengan berkurangnya lagi sastera kritikan dalam dunia sastera hari ini, dan penulis-penulis muda pula yang tidak membaca dan tidak sabar untuk menghabiskan karya-karya sastera tradisi, serta ketakutan-ketakutan yang tidak mengilhamkan, sememangnya sastera kritikan kita sedang menuju ke kuburan dan menjadi bulan seperti Sitor Situmorang nukilkan dalam sajak Malam Lebaran.

Advertisement

Published by A. Muziru Idham

Seorang mahasiswa lepasan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dalam bidang Pengajian Antarabangsa. Sedang melanjutkan pengajian dalam sarjana Analisis Strategi & Keselamatan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Berminat dalam perbincangan dan pembacaan tentang sastera, hubungan antarabangsa, hak asasi manusia, gerakan sivil, politik Timur Tengah, agama, dan falsafah, tetapi sangat malas hendak mengulas tentang politik tempatan. Sebarang urusan dengan saya boleh diemelkan kepada: amuziruidham@yahoo.com

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: