SIAPA YANG SEBENARNYA MEMANDULKAN SASTERA?

(Tulisan ini turut disiarkan di Berita Harian, 19 Disember 2015)

Saya memulakan tulisan saya dengan suatu persoalan: Siapa yang sebenarnya memandulkan sastera? Persoalan ini sangat penting untuk ditanya kerana sangat pelik untuk kita mengatakan kepada mana-mana golongan penulis itu adalah punca kepada kemandulan dunia sastera dan tuduhan ini adalah sesuatu perkara yang perlu diberi asas pembuktian yang kukuh. Dengan menjadikan “karya yang cetek dari segi keintelektualan” sebagai kayu ukur kepada kemandulan karya sastera dan kata-kata tersebut ditujukan pula kepada golongan penulis muda, maka suatu perkara yang wajar diperhatikan ialah: Bagaimana karya-karya berintelektual itu harus diukur? Adakah ketiadaan khutbah-khutbah maka karya itu dikatakan tidak intelektual atau karya itu tidak dikatakan intelektual jika tidak memetik nama-nama atau petikan-petikan tulisan daripada tokoh-tokoh besar, seperti Syed Naquib Al-Attas sebagai contoh?

Dengan permulaan yang tersebut, maka secara jelasnya tulisan saya ini adalah sebuah respon balas terhadap tulisan saudara Mohd Azam Hasnizam Mohd Razali yang disiarkan di Berita Harian pada 5 Disember 2015 dengan tajuk, Penulis Muda Mandulkan Sastera. Secara kasarnya, tulisan tersebut sebenarnya sedang membicarakan tentang gagasan Persuratan Baru yang digagaskan oleh tokoh kritikus sastera Malaysia, Mohd. Affandi Hassan. Sebab itu maka dibangkitkan tentang pengkelasan karya persuratan dan karya sastera serta bagaimana lemahnya kepengarangan penulis muda hari ini yang dikira tidak memartabatkan nilai ilmu dalam karya-karya sastera mereka. Persoalan-persoalan itu sudah lumat dicetuskan oleh Mohd. Affandi Hassan yang dipolemikkan olehnya sejak daripada penghujung 80 an lagi dan dikembangkannya dengan lebih sistematik dalam buku Pendidikan Estetika Daripada Pendekatan Tauhid, Medan-Medan Dalam Sistem Persuratan Melayu dan Gagasan Persuratan Baru. Semua persoalan tersebut telah digarap kemas oleh Mohd. Affandi Hassan (walaupun banyak perkara yang perlu dibahaskan) dan pengangkatan semula persoalan-persoalan tersebut oleh saudara Azam dalam penghujahan yang kurang kemas adalah sesuatu yang perlu dijawab.

Dalam tulisan tersebut, Azam mengatakan bahawa, “Karya yang dihasilkan semasa kegemilangan kesusasteraan Melayu, iaitu semasa kedatangan Islam pada abad ke-16 dan ke-17 tidak dianggap sebagai karya sastera.” Seterusnya dia mengatakan lagi, “Malah mereka juga tidak dianggap sebagai tokoh penting dalam dunia sastera. Hakikat ini berlaku kerana makna ‘sastera’ sudah disempitkan kepada karya bersifat imaginasi.”

Sangat pelik apabila kenyataan tersebut dikemukakan di dalam sebuah tulisan yang sedang membicarakan tentang kesusasteraan dan kepengarangan. Saya tidak pasti apakah karya-karya yang dimaksudkannya. Tetapi jika hendak dikatakan tentang karya-karya hikayat seperti Hikayat Hang Tuah, Hikayat Raja-Raja Pasai, Sulatus Salatin, Hikayat Amir Hamzah, Hikayat Abdullah Munshi dan sebagainya itu, untuk mengatakan bahawa karya-karya tersebut tidak dianggap sebagai karya sastera pada masa ini, maka ianya adalah satu kesilapan yang tidak wajar untuk dimaafkan. Malah dalam dunia kesusasteraan, karya-karya itulah yang menjadi akar tunjang kepada pembangunan kesusasteraan Melayu yang bermula daripada sastera-sastera hikayat yang dikenali sebagai sastera tradisi dalam meneguhkan jati diri kemelayuan dan kembali kepada ketulenan sastera.

Lebih ganjil lagi apabila disebutkan bahawa pengarang-pengarang kitab itu tidak dianggap sebagai tokoh penting dalam dunia sastera. Kenyataan tersebut seolah-olah menidakkan tokoh-tokoh seperti Raja Ali Haji, Tun Sri Lanang dan Munshi Abdullah di mana pemikiran-pemikiran mereka seringkali dibincangkan di wacana-wacana dan forum-forum kesusasteraan tempatan. Betapa keberadaan mereka tersebut adalah suatu anugerah besar terhadap ketamadunan sastera Melayu yang menghargai karya-karya mereka sebagai suatu bentuk karya tradisi yang perlu sentiasa diangkat dan diwacanakan agar kandungan pemikiran mereka dapat dibedah sehingga ranum.

Dan seterusnya adalah amat pelik lagi dan saya tertanya-tanyakan sumbernya apabila Azam memetik dengan mudah bahawa “makna sastera sudah disempitkan kepada karya bersifat imaginasi.” Mungkin ketidakhadaman Azam dalam memahami penghujahan daripada Mohd. Affandi Hassan terhadap kritikannya terhadap karya-karya sastera masa kini sehingga akhirnya dengan mudah Azam mengeluarkan kenyataan yang sebegitu. Imaginasi sudah tentunya tunjang kepada sesebuah karya sastera, tetapi ianya tidaklah sekadar disempitkan sebegitu. Penyempitan makna yang sebegitu samalah seperti menidakkan karya-karya tradisi seperti Hikayat Hang Tuah, Sulatus Salatin, dan Hikayat Abdullah Munshi yang menggunakan teknik penceritaan dalam menyampaikan mesej dan pemikiran sedangkan dalam masa yang sama Azam juga yang mempertahankan karya-karya tersebut sebentar tadi daripada diluputkan oleh masa dan zaman.

Daripada kenyataan tersebut Azam menyimpulkan bahawa “karya sastera tidak lagi ditulis oleh orang bijak pandai seperti zaman persuratan, sebaliknya ditulis oleh orang yang ‘mabuk berkhayal’. Oleh itu sesiapa sahaja boleh menulis asalkan tinggi sifat imaginasi dan khayalannya.” Sebenarnya, di sini siapa yang telah menyempitkan makna sastera? Makna sastera itu sendiri sebenarnya telah disempitkan oleh kenyataan tersebut yang sebenarnya menyebabkan kesusasteraan itu seolah-olah dipandang hanya sekadar itu sahaja. Sebab itu pentingnya untuk kembali membaca dan memahami karya sastera tradisi dalam melihat bagaimana kesusasteraan itu dibentuk dalam sesebuah karya dan proses perkembangannya kepada sastera moden agar tidak semudahnya untuk memukul rata bahawa perubahan kesusasteraan Melayu dari segi isi dan bentuk itu adalah kesan penjajahan British. Tanpa menafikan pengaruhan sastera luar terhadap perkembangan kesusasteraan tempatan, tetapi kenyataan yang sebegitu adalah karut sekali. Mungkin paling kurang pun, Azam perlu mengikuti polemik sastera Islam antara Kassim Ahmad dan Shahnon Ahmad pada awal 80 an untuk melihat bagaimana kesusasteraan itu berfungsi sebagai sebuah wadah pembangunan sosial dan tidak terus-menerus disempitkan kepada gagasan Persuratan Baru sahaja dalam membentuk kerangka menilai dan berfikir.

Azam juga menyatakan bahawa, “Karya sastera hari ini bukanlah wadah menampung idea penulis. Ini jelas apabila idea yang dimasukkan dalam karya kreatif bukan idea yang melalui proses analisis yang mantap, sebaliknya hanya maklumat yang dimasukkan secara mentah.” Di sini saya tidak mahu mempersoalkan tentang bukti apabila Azam sekadar meletakkan kenyataan begitu secara mentah tanpa bukti dan analisisinya sendiri yang masih longgar. Tetapi suatu permasalahan yang berlaku ialah apabila karya sastera itu sedang dicorakkan oleh sarjana-sarjana akademik yang sedang memberitahu bahawa cara mereka adalah lebih betul dalam menetapkan bagaimana karya-karya sastera itu harus terbentuk. Campur tangan sarjana akademik (dalam konteks ini, sarjana persuratan baru) telah menyebabkan bahawa karya-karya sastera itu harusnya mempunyai wacana-wacana secara berkhutbah dan cerita itu hanyalah sekadar sampingan semata-mata. Perkara inilah yang menyebabkan kemurungan dalam kalangan penulis-penulis muda hari ini yang ditakut-takutkan bahawa pengkaryaan itu mestilah berwacana dan berkhutbah sehingga sebenarnya perkara tersebut sendiri telah melanggar tradisi sastera tradisional yang penuh dengan kebahasaan dan kebudayaan yang indah.

Tidaklah bermakna saya menyatakan bahawa penerapan ilmu adalah sesuatu yang asing dalam dunia sastera. Ianya tidak asing, malahan ianya adalah sesuatu yang sememangya perlu wujud sebagai sebuah elemen dalam karya sastera itu sendiri. Tetapi pemahaman terhadap penerapan ilmu itulah yang menyebabkan berlakunya kucar-kacir dalam dunia sastera kontemporari yang tidak berkesudahan kerana pengertian ilmu itu sendiri tidak dikembalikan kepada maknanya yang betul. Persoalan yang wajar direnungkan: Adakah ilmu itu bermaksud karya-karya itu harus berkhutbah dan beranalisis ataupun ilmu itu bermaksud karya-karya itu menampung nilai adab dan akhlak yang selari dengan landasan agama? Dan seperti mana persoalan Kassim Ahmad kepada Shahnon Ahmad ketika polemik sastera Islamnya pada awal 80 an dahulu, “Adakah etika dalam sastera soal bentuk atau isi?”

Sejujurnya saya kekurangan ruang untuk membawa perbahasan ini kepada sebuah perbincangan yang lebih luas dan mendalam. Tetapi tulisan Azam tersebut wajar untuk dinilai semula kerana banyak pandangan di dalam tulisannya yang tidak cermat dan kritis dalam menilai kepengarangan penulis muda. Banyak tuduhan-tuduhan dibuat dalam keadaan tergantung tanpa justifikasi yang jelas dan kuat. Mungkin faktor ruang yang terhad menyebabkan tulisannya tidak dapat dihuraikan dengan lebih kukuh, tetapi Azam tetap harus bertanggungjawab terhadap kenyataan-kenyataan di dalam tulisannya itu yang perlu kepada kekuatan hujah yang kukuh dan jelas agar ianya tidak dibiarkan tergantung dengan menimbulkan lebih banyak persoalan yang dia perlu jawab.

Polemik karya persuratan dan karya kesusasteraan ini sebenarnya telah lama ditimbulkan oleh Mohd. Affandi Hassan dan rakan-rakan sealirannya yang bertujuan (meminjam frasa Wan Nor Azriq), “membakar sastera kita”. Saya mengikuti polemik tersebut secara teliti daripada tulisan-tulisannya yang awal lagi dan mengambil pendekatan bersetuju dan juga tidak bersetuju dengannya. Menghormati polemik yang dibawa oleh mereka, Azam wajar untuk mengemaskan lagi hujah-hujah kesusasteraan daripada kedua-dua belah sisi dalam memastikan penelitian dan kritikan dapat dibuat dengan lebih adil dan kukuh. Kekurangan dalam perkara tersebut menjadikan penghujahan dalam tulisan tersebut lemah dan belum cukup untuk “membakar rumah sastera” (sekali lagi meminjam tajuk sebuah tulisan Wan Nor Azriq).

Mengakhiri tulisan ini, saya merumuskan kesemuanya dengan satu persoalan, siapa yang sebenarnya memandulkan sastera?

Advertisement

Published by A. Muziru Idham

Seorang mahasiswa lepasan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dalam bidang Pengajian Antarabangsa. Sedang melanjutkan pengajian dalam sarjana Analisis Strategi & Keselamatan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Berminat dalam perbincangan dan pembacaan tentang sastera, hubungan antarabangsa, hak asasi manusia, gerakan sivil, politik Timur Tengah, agama, dan falsafah, tetapi sangat malas hendak mengulas tentang politik tempatan. Sebarang urusan dengan saya boleh diemelkan kepada: amuziruidham@yahoo.com

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: