KELUAR DARIPADA KRISIS IDENTITI DAN MINDA KEMANGSAAN

Dalam membicarakan soal persepsi, saya tertarik untuk memetik kata-kata daripada Prof. Tariq Ramadan dalam bukunya, What I Believe, “[I]t is urgent to stop blaming “society-that-does-not-like-us” or “islamophobia” or “racism” and thereby justifying guilty passivity. That such phenomena exist cannot be denied, but Muslims must tackle them by getting involved as citizens and by fighting against injustice, racism, discrimination, populist stigmatization discourse, and hypocrisies.” Prof. Tariq Ramadan mengatakan begitu ketika beliau membicarakan tentang keperluan seorang Muslim di Barat dalam mengeluarkan diri daripada minda kemangsaan (victim mind-set) untuk hidup dalam nilai kebersamaan. Nilai hidup kebersamaan itu akan wujud dengan melepaskan diri daripada jurang identiti yang membentuk perbezaan.

Dalam hal ini, Amartya Sen dalam Identity And Violence: The Illusion Of Destiny menekankan tentang betapa pentingnya untuk sesebuah masyarakat hidup dalam sebuah rumpun yang bebas daripada perbezaan-perbezaan identiti yang boleh menimbulkan konflik kemasyarakatan. Walaupun kesatuan masyarakat itu boleh dibentuk oleh kesatuan identiti (seperti kelompok agama, ras, budaya, dll), tetapi dalam sebuah rumpun multi budaya, krisis identiti tidak wajar untuk menjadi persoalan yang berlarutan kerana akhirnya ianya mengakibatkan kepada persoalan keadilan (justice) dan kesaksamaan (equality) akan sentiasa wujud sebagai sebuah persoalan yang dipertikaikan apabila memasuki wacana pengagihan (distribution). Penutupan jurang identiti tersebut akan secara tidak langsung menenggelamkan terus persoalan kewujudan kelompok majoriti dan minoriti kerana persoalan itu tidak perlu lagi timbul dengan penutupan identiti yang bersifat menjurangkan.

Identiti diri sewajarnya wujud sebagai sebuah pengenalan diri yang bersifat individual kerana identiti seharusnya adalah sebuah pengenalan yang menunjukkan kewujudannya sebagai seorang manusia. Contohnya, seseorang yang dilahirkan dalam ras Melayu, maka identiti dirinya sebagai Melayu adalah sebuah pengenalan dirinya dalam berinteraksi dengan kelompok rasnya. Dalam masa yang sama, dirinya dalam ras Melayu pula tidak pula harus dicampuradukkan dengan apakah agama yang dianutinya kerana pencampuran identiti tersebut akan menimbulkan pula suatu keterancaman identiti.

Keterancaman identiti ini wujud apabila diri seseorang yang memilih untuk mengamalkan agama yang berbeza mendapat ancaman daripada kelompok rasnya yang lazim untuk menjadikan agama dan ras itu adalah sesuatu yang bersifat satu, contohnya Melayu-Islam. Bahaya daripada percampuran identiti antara agama dan ras ini adalah apabila ianya menyekat orang lain untuk memilih pegangan yang diyakininya. Bayangkan jika seorang daripada ras China tidak ingin mengamalkan Buddha dan seorang daripada ras India tidak ingin mengamalkan Hindu. Sekiranya percampuran identiti ini tidak segera dihindari, akibatnya krisis dalam kelompok sendiri akan berterusan dan akhirnya mengakibatkan kepada kerumitan sosial yang sentiasa mewujudkan ketegangan dan bermula daripada sistem kekeluargaan lalu merebak ke dalam masyarakat.

Sebab itu wujudnya suatu bentuk fobia agama atau fobia ras dalam sebuah masyarakat multi budaya dan fobia tersebut mewujudkan suatu rasa keterancaman (feeling of threatened) yang berterusan dan rasa keterancaman tersebut melahirkan tindakan-tindakan dan kata-kata yang sentiasa skeptikal antara satu sama lain. Kelompok masing-masing sentiasa merasakan bahawa kelompok yang lain sedang merancang untuk melakukan sesuatu terhadap mereka bagi menjuarai ras atau agama.

Lalu akhirnya wujud suatu persaingan dalam merebut kejuaraan identiti dan perkara ini adalah suatu kerugian dalam sebuah masyarakat multi budaya. Sebab itu perlunya diwujudkan pemisahan antara identiti kebangsaan dan keagamaan kerana wujud keidentitian (being of identity) antara kedua-duanya adalah berbeza. Identiti kebangsaan adalah wujud sebagai sebuah bentuk lahiriah manakala identiti keagamaan wujud sebagai sebuah bentuk sosialisasi dan kepercayaan individu.

Tetapi yang lebih berbahaya adalah apabira jurang perbezaan identiti tersebut melahirkan suatu rasa majoriti dan minoriti dan pembentukan yang dibentuk secara organik tersebut menyebabkan pudarnya nilai-nilai kebersamaan dan perpaduan. Kewujudan perkara sebegini akan mula mewujudkan persoalan hak di mana kelompok majoriti akan mula menyebut-nyebut bahawa mereka mempunyai hak yang lebih ataupun kelompok minoriti pula akan sentiasa mewujudkan persoalan keadilan hak di mana mereka sentiasa merasakan bahawa hak mereka diancam atau tidak diberikan dalam bentuk sewajarnya.

Perkara ini yang diakibatkan oleh perbezaan jurang identiti telah mewujudkan sebuah keadaan yang tidak seimbang dan masyarakat menjadi tidak konsisten dalam menguruskan masyarakat multi budaya. Daripada perkara itu, nilai-nilai toleransi tidak lagi mendapatkan kefahaman yang sewajarnya dan setiap kelompok akan mula memberi tafsiran terhadap makna toleransi yang lebih condong ke arah kepentingan ras atau agamanya. Di sini pentingnya dalam sebuah komuniti multi budaya untuk wujudnya kebebasan pembudayaan (cultural liberty) kerana hal yang tersebut menjadi tunjang kepada kepelbagaian kebudayaan (cultural diversity) seperti kata Amartya Sen, “Cultural diversity may be enhanced if individuals are allowed and encouraged to live as they would living (instead of being restrained by ongoing tradition.”

Daripada penghuraian tentang persoalan identiti diri, maka ianya akan kembali kepada persoalan minda kemangsaan yang ditimbulkan oleh Prof. Tariq Ramadan. Walau beliau mewujudkan istilah tersebut sebagai suatu proses pengadaptasian kehidupan Muslim di Eropah, tetapi saya fikir untuk pemaknaan tersebut disentuh secara umum dan dihubungkaitkan dengan persoalan identiti diri. Perbincangan saya di atas tadi secara jelas telah mewujudkan suatu hubungan langsung di mana krisis dalam identiti akan mewujudkan suatu minda kemangsaan.

Masyarakat yang tidak menguruskan persoalan identitinya dengan tepat akan mendedahkan diri mereka dengan minda kemangsaan di mana mereka sentiasa merasakan bahawa mereka adalah mangsa kepada kekurangan nilai identiti diri mereka dalam sesebuah kelompok masyarakat untuk membentuk interaksi kebudayaan. Perlu untuk ditegaskan bahawa memiliki minda kemangsaan hanya akan menyebabkan konflik identiti tersebut terus-menerus berlarutan dan tidak terselesaikan. Sesebuah kelompok masyarakat akan sentiasa memikirkan seolah-olah diri mereka adalah tidak disukai, tidak dapat hidup bersama, kehilangan jati diri, dan sebagainya yang mengakibatkan kepada kehilangan nilai-nilai kebersamaan sedangkan ia sepatutnya menjadi pegangan bersama.

Sebab itu saya fikir idea Amartya Sen terhadap pemultibudayaan (multiculturalism) adalah sesuatu yang menarik untuk menanggani kepelbagaian di mana menurutnya, dua pendekatan asas terhadap pemultibudayaan, iaitu, (i) Penggalakan kepelbagaian sebagai sebuah nilai; dan (ii) Memberi fokus terhadap kebebasan penaakulan (reasoning) dan pembuatan keputusan (decision-making), dan meraikan kepelbagaian budaya hingga ke tahap kebebasan dalam membuat pilihan terhadap individu untuk melibatkan diri terhadapnya. Dua pendekatan tersebut membawa makna toleransi yang sebenar dalam sebuah kejamakan budaya dan daripadanya merupakan perkara-perkara asas dalam mengeluarkan individu dan masyarakat daripada krisis identiti dan minda kemangsaan.

Rujukan:

Amartya Sen (2006), Identity And Violence: The Illusion Of Destiny; New York: W.M. Norton & Company.

Tariq Ramadan (2010), What I Believe; New York: Oxford University Press.

Advertisement

Published by A. Muziru Idham

Seorang mahasiswa lepasan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dalam bidang Pengajian Antarabangsa. Sedang melanjutkan pengajian dalam sarjana Analisis Strategi & Keselamatan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Berminat dalam perbincangan dan pembacaan tentang sastera, hubungan antarabangsa, hak asasi manusia, gerakan sivil, politik Timur Tengah, agama, dan falsafah, tetapi sangat malas hendak mengulas tentang politik tempatan. Sebarang urusan dengan saya boleh diemelkan kepada: amuziruidham@yahoo.com

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: