KENAPA SAYA MEMBACA?

Setiap orang ada sebabnya yang tersendiri untuk membaca. Untuk saya secara peribadi, saya tidak menjadikan pembacaan sebagai suatu perlumbaan untuk mencapai bilangan buku yang paling banyak dibaca. Saya pernah berada pada fasa kefahaman bahawa saya perlu membaca untuk meluaskan pengetahuan. Pada waktu itu, bagi saya, pengetahuan yang luas itu menjadikan saya pintar. Tetapi tidak lagi pada hari ini, kerana saya mulai memikirkan bahawa kepintaran itu bukanlah sesuatu yang dapat menjadikan diri saya bijaksana. Kebijaksanaan bukan ditentukan oleh berapa banyak fakta yang ada dalam kepala kita dan berapa banyak yang kita tahu berbanding orang lain. Dengan sebab itu, kefahaman saya sekarang terhadap pembacaan adalah berbeza.

Saya membaca adalah untuk menemui kebijaksanaan. Kebijaksanaan tidak ditentukan oleh berapa banyak kita tahu, tetapi kebijaksanaan dinilai daripada kefahaman kita terhadap sesuatu perkara dan bagaimana menjadikan kefahaman kita tersebut sebagai suatu proses untuk kita dapat membezakan antara keburukan dan kebaikan. Kebaikan dan keburukan yang saya maksudkan tidak sekadar berlegar-legar terhadap persoalan etik, tetapi ianya menyeluruh terhadap cara kita memandang sesuatu perkara dan cara kita merenungi perkara tersebut untuk diterjemahkan dalam konteks kehidupan.

Mungkin orang akan mengatakan bahawa persoalan kehidupan adalah tidak sekadar berkait dengan kebaikan dan keburukan. Ya, benar. Tetapi saya meletakkan bahawa proses berfikir itu tidak dapat tidak harus meletakkan kayu ukur baik buruk terlebih dahulu sebagai asas untuk kita menerimanya. Persoalan lain pula yang akan timbul, kebaikan atau keburukan yang kita faham, adakah sama dengan apa yang orang lain faham? Contohnya, sesetengah orang mengatakan bahawa neoliberalisme itu buruk, dan sesetengah yang lain pula mengatakannya sebagai baik. Jadi, mana yang lebih betul?

Maka sebab itu saya menjadikan pembacaan sebagai sebuah proses untuk saya menemukan jawapan terhadap persoalan-persoalan yang bermain di dalam kepala saya. Persoalan yang seperti itu sentiasa bergelut yang memerlukan saya keluar daripadanya dan mencari jawapan terhadapnya. Setiap hari saya diserang dengan pelbagai persoalan dan adakala ianya sampai membawa saya kepada keadaan “depression” kerana tidak mendapat jawapan yang betul-betul memuaskan atau taakulan saya tidak sampai kepada tingkat rasional yang tepat untuk “membunuh” persoalan yang berlegar-legar dalam kepala saya tersebut.

Untuk mencantas akar persoalan tersebut maka ianya merupakan suatu perkara yang rumit kerana saya perlu tahu dan faham tentang persoalan yang betul. Sebab itu sesetengah orang mengatakan bahawa kita bukan sekadar untuk tahu menjawab dengan betul, tetapi kita juga perlu tahu untuk bertanya dengan betul. Ya, saya membenarkan perkara itu. Kesilapan dalam pertanyaan membuatkan kita mendapat jawapan yang tidak tepat. Dan untuk bertanya itu sendiri memerlukan kita untuk berfikir pula.

Dengan sebab itu, saya terus membaca dan pembacaan saya amatlah perlahan. Setiap buku memerlukan suatu jangka waktu untuk dihabiskan kerana saya sedaya upaya untuk memastikan bahawa saya benar-benar faham dengan apa yang saya baca. Mungkin adalah terlalu simplistic dan angkuh untuk mengatakan bahawa saya telah mencapai kefahaman yang betul terhadap apa yang saya baca, tetapi sekurang-kurangnya saya mencapai kepada satu tahap kefahaman yang memuaskan agar setelah saya menutup buku tersebut, saya tidak berasa kecewa dengan diri saya sendiri.

Dan sebab itu juga, saya sangat berhati-hati dalam memilih bahan pembacaan agar saya tidak menghabiskan duit untuk membaca buku-buku yang tidak sesuai untuk saya baca. Tidak sesuai untuk saya baca bukan bermaksud buku itu tidak bermutu, tetapi tidak sesuai itu boleh jadi disebabkan oleh buku tersebut bukan dalam bidang saya atau ianya bukan buku yang berkaitan dengan persoalan yang saya sedang fikirkan. Sebab itu adakala buku yang saya tolak untuk beli pada hari ini adalah buku yang akan saya beli pada waktu yang lain pula. Kerana mungkin persoalan yang bermain dalam kepala saya tersebut datang pada waktu yang lain.

Dalam proses pembacaan pula, kebiasaannya saya akan membaca lebih daripada satu buku, di mana akan ada buku utama dan buku sampingan. Buku utama ialah buku yang saya baca dengan serius dan mempunyai tautan wacana untuk difahami sebagai bekal kefahaman dalam diri saya. Manakala buku sampingan ialah buku yang ringan dan sekadar mengisi ruang ketika saya terlalu berat kepala menghadam buku utama. Kedua-duanya penting untuk seiring dalam pembacaan saya di mana buku utama adalah buku yang sedang saya berkomunikasi dengannya, manakala buku sampingan adalah untuk merehatkan saya daripada tekanan dalam proses menghadam buku utama.

Bagi saya adalah penting juga untuk mempunyai buku sampingan kerana terlalu fokus pembacaan terhadap buku utama menjadikan minda saya tertekan kerana sepanjang pembacaan saya sedang berfikir dan berdebat dengan penulis buku tersebut melalui idea-idea yang ditulis olehnya dalam buku tersebut. Sebab itu saya mengatakan bahawa membaca buku bermaksud saya sedang berkomunikasi dengannya juga. Dan buku sampingan adalah tempat saya beristirehat sebentar tetapi dalam masa yang sama tidak mahu terputus daripada dunia ilmu.

Adakah ini bermakna hidup saya adalah 24 jam membaca? Tidak. Sudah tentu tidak. Malah kadar pembacaan saya adalah amat jauh sekali daripada orang-orang lain para pencinta buku atau yang sentiasa mengeluti dunia ilmu. Cumanya saya mencari masa yang berkualiti untuk membaca di mana pembacaan tersebut dapat memberikan saya input kefahaman ilmu walaupun mungkin masanya tidak panjang. Sebab itu untuk saya sendiri secara peribadi, saya tidak memerlukan waktu acah-acah untuk membaca di tempat-tempat yang tidak selesa seperti ketika bersesak di dalam LRT dan sebagainya.

Sebab pada ketika itu bagi saya sendiri pembacaan tidak akan menambahkan kefahaman. Kefahaman perlukan ruang dan ketelitian untuk fokus dalam proses penerimaan maklumat dan menghadamnya sebagai ilmu. Adakala pembacaan yang sekejap tetapi berfokus adalah lebih baik daripada pembacaan yang tidak teratur dan menerawang. Adakala saya membaca selama satu jam yang berfokus sudah cukup membuatkan saya kelegaan dan menguraikan persoalan yang mengusutkan fikiran saya.

Dari segi topik pembacaan, ada empat topik yang menjadi tumpuan saya, iaitu (i) hubungan antarabangsa; (ii) sastera; (iii) agama; dan (iv) falsafah. Setakat ini itulah keempat-empat topik yang menjadi tumpuan saya dan saya cuba untuk memahirkan diri dalam keempat-empat bidang tersebut justeru saya memfokuskan pembacaan saya terhadapnya. Malah fikiran saya selalu menerawang seputar kepada persoalan-persoalan tersebut. Tidak tahu mengapa. Boleh jadi disebabkan oleh minat. Ya, minat seringkali membuatkan saya untuk mencari sesuatu itu sedalam-dalamnya sehingga saya puas dalam pencarian saya tersebut. Dan begitulah. Minat saya terhadap keempat-empat bidang tersebut menjadikan saya tidak puas untuk terus berfikir dan menggali persoalan-persoalan saya terhadapnya.

Sehabis membaca sesebuah buku, saya tidak akan terus meninggalkannya sia-sia dengan idea sekadar terperap dalam kepala. Kebiasaannya saya akan tulis dan berkongsi kepada pembaca. Tetapi saya jarang sekali untuk menulis ulasan buku. Ulasan buku adalah tidak menarik buat saya, kecuali jika buku tersebut adalah terlalu bagus dan saya perlu syorkan kepada orang lain untuk membacanya sekali. Kebiasaan yang saya lakukan ialah, saya akan menarik idea utama daripada buku tersebut keluar daripadanya dan lakukan sintesis terhadapnya dengan menimbulkan suatu wacana lain untuk saya bentuk sebagai sebuah idea dalam penulisan. Semakin banyak saya membaca maka semakin rajin untuk saya menulis.

Contohnya, untuk penulisan esei saya yang bertajuk Keluar Daripada Krisis Identiti Dan Minda Kemangsaan adalah penulisan saya seusai membaca buku Identity And Violence: The Illusion Of Destiny tulisan Amartya Sen lalu saya gabungkan ideanya dengan idea Prof. Tariq Ramadan dalam buku What I Believe dan saya kaitkan dengan wacana kemasyarakatan. Saya merasakan bahawa tidak ada maknanya sekiranya pembacaan akhirnya hanya menjadikan kita sebagai pengulang atau peniru ideanya. Tetapi yang lebih baik adalah membawa ideanya sebagai asas untuk membawa kepada perbincangan-perbincangan yang lain agar kita menjadikan ideanya adalah relevan dan konsisten untuk dibawa ke tengah masyarakat.

Sekadar itu untuk perkongsian saya tentang mengapa saya memilih untuk membaca. Boleh jadi apa yang saya kongsikan ini tidak sesuai dan serasi dengan tahap pembacaan kalian. Ya, masing-masing ada sebab dan cara yang tersendiri untuk membaca. Tetapi itulah sekadar perkongsian tentang diri saya dan pembacaan. Apa yang penting, teruskan membaca dan jangan pernah berhenti membaca.

Advertisement

Published by A. Muziru Idham

Seorang mahasiswa lepasan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dalam bidang Pengajian Antarabangsa. Sedang melanjutkan pengajian dalam sarjana Analisis Strategi & Keselamatan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Berminat dalam perbincangan dan pembacaan tentang sastera, hubungan antarabangsa, hak asasi manusia, gerakan sivil, politik Timur Tengah, agama, dan falsafah, tetapi sangat malas hendak mengulas tentang politik tempatan. Sebarang urusan dengan saya boleh diemelkan kepada: amuziruidham@yahoo.com

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: