
Puisi merupakan langkah awal saya menceburkan diri dalam bidang kesusasteraan. Seingat saya, saya mula mengenali sastera ketika usia 10 tahun. Ketika itu saya menggeledah buku-buku ayah saya dan menemui Hikayat Panji Semerang. Saya tekuninya dengan penuh perhatian dan dalam diam-diam saya mulai berangan-angan untuk menuturkan pengucapan klasik menggunakan kata-kata arkaik yang disusun berbunga-bunga. Pada ketika itu, saya memahami bahawa sastera itu harus bahasanya begitu (haha). Daripada itu saya memulakan pencarian untuk mencari makna sastera dan ianya menemukan saya kepada suatu nama – seorang sasterawan yang sentiasa tenang ketika berpuisi dan berbicara, iaitu SN A. Samad Said. Saya menulis puisi diam-diam di buku catatan saya yang sudah entah ke mana saya letak, dan saya tidak akan pernah ketinggalan menyertai apa-apa acara deklamasi puisi dan tidak ada puisi orang lain yang akan saya baca, melainkan puisi yang saya tulis sendiri.
Pada tingkatan tiga, saya bersama rakan saya, Nur Asilah Jamil dijemput mewakili daerah Kemaman ke Kem Nilam di Kuala Terengganu. Di kem tersebut, saya sebilik dengan seorang lelaki bernama Nik Azri. Saya mengenalinya sebagai seorang kawan yang punya ketinggian pengetahuan dan saya merapati dan banyak meminta pandangannya dan ketika malam terakhir program tersebut, hampir sepanjang malam saya mendengarnya berceloteh tentang dunia puisi. Dalam gelap dan berbaring di atas katil, dia mengkritik dan menasihat serta memberi semangat kepada saya dalam menghasilkan puisi yang bermutu. Sepulang saya daripada kem tersebut, saya membelek dan menelaah majalah-majalah dewan, barulah saya sedar bahawa Nik Azri adalah seorang yang sudah menempah nama dalam dunia kesusasteraan dan namanya menjadi sebutan sasterawan-sasterawan mapan dengan nama pena, Tuah Sujana. Saya terus melangsungkan perhubungan dengannya secara dalam talian di mana dia menjadi pengkritik utama saya pada setiap karya-karya yang saya tulis, khasnya puisi.
Sehinggalah ke penghujung tingkatan empat, puisi pertama saya disiarkan di Dewan Siswa dengan tajuk Suluk Rohaniah. Saya tidak akan pernah melupakan hentaman Faisal Tehrani terhadap puisi saya pada ketika itu di mana dia menjadi pengulas puisi-puisi yang disiarkan di Dewan Siswa pada setiap bulan. Katanya terhadap puisi saya, “Syok sendiri.” Tetapi saya tidak pernah mati semangat untuk terus menulis puisi dan saya terus tekuni karya-karya penulis mapan sehinggalah saya mengenal nama-nama besar dalam dunia sastera tempatan seperti Zaen Kasturi, Amirul Fakir, Marsli NO, Shamsuddin Othman, Rahimidin Zahari, WB Rendra, Fahd Razy, dan sebagainya lalu membawa saya kepada mengenali penyair-penyair Indonesia seperti Chairil Anwar, Sapardi Djoko Damono, WS Rendra, Sitor Situmorang, dan sebagainya serta penyair Singapura seperti Johar Buang dan Isa Kamari.
Daripada Suluk Rohaniah, saya terus gigih menulis puisi dan disiarkan di banyak tempat di media sama ada majalah-majalah atau akhbar-akhbar hingga pada suatu masa, hampir setiap minggu dan setiap bulan karya saya disiarkan di mana-mana. Sehinggalah saya bangkit semula dengan Suluk Rohaniah II yang saya tekuni betul-betul dan mendalami ilmu tasawwuf dengan penuh sabar dan ianya disiarkan di majalah Tunas Cipta. Tanpa diduga, saya betul-betul terpana ketika penghujung semester satu di UNIMAS, pada usia 21 tahun, saya ditelefon oleh pegawai DBP dan memaklumkan bahawa puisi Suluk Rohaniah II saya tersebut telah memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2010/2011. Betapa pada ketika itu saya begitu syukur dan tidak sangka untuk terus menggondolnya sedangkan saya pada sebelum itu cumalah sekadar memenangi hadiah sastera kecil-kecilan.
Sehingga ke hari ini, puisi adalah satu-satunya bidang yang sentiasa dekat di hati saya walaupun saya sudah kurang menulisnya lagi tetapi tidak bermakna saya terus meninggalkannya. Saya tetap percaya, walau puisi sentiasa dipinggarkan kerana seringkali sukar difahami, tanpa sedar kata-katanya adalah semisal roh yang menduduki jasad dalam diam-diam dan menjadi jiwa yang melantunkan suara daripada nurani yang paling dalam. Kerana kata Amirul Fakir, Puisi Adalah …
Benih kata yang digali
dari sumur hayat paling bening
menyeruak dari bongkah diam
menuju lestari.