Apakah bidang sains sosial hanya bergelumang dengan dunia teori?
Jawapannya, ya dan tidak.
YA.
Sebab sains sosial penuh dengan teori. Ada orang yang masuk ke dalam bidang sains sosial hanya fokus kepada teori semata-mata. Bidang sosial adalah bidang yang mencerap tingkah laku kemasyarakatan, maka teori-teori akan membahaskan sebab dan akibat masyarakat berperilaku sedemikian. Kelihatannya mudah kan? Tidak mudah.
Ia tidak semudah untuk berkata, “Punca peningkatan jenayah rogol adalah sebab perempuan tidak pakai tudung”. Untuk mentafsir perilaku manusia, banyak aspek perlu dibuat penilaian dan setiap aspek itu pula adalah terdiri daripada bidang ilmu yang tersendiri.
Sudah tentu penuntut sains sosial tidak akan mampu nak belajar semua benda, maka sebab itu bidang sains sosial mengajar bagaimana hendak buat kajian sosial. Maka, teori adalah menjadi punca awal kepada kajian. Teori yang dibentuk daripada cerapan fakta empirikal atau perbahasan falsafah menjadi asas kepada kaedah melakukan kajian.
Kalau dalam bidang agama ada kaedah-kaedah (qawa’id) yang perlu dimahiri sebagai alat dalam proses istinbat hukum, begitu juga teori dalam bidang sains sosial yang bertindak sebagai kaedah untuk merumuskan perilaku manusia.
Sebab itu ada ilmuwan sains sosial yang memilih untuk hanya bergelumang dengan bidang teori demi membangunkan teori-teori sains sosial sebagai sumbangan kepada para pengkaji sains sosial untuk merawat masalah masyarakat, seperti para usuliyyun yang menghabiskan masa hidupnya untuk membangunkan usul-usul syariah sebagai sumbangan kepada umat dalam memahami dalil agama.
Maka, jangan remehkan ahli teori yang sentiasa membahaskan tentang teori-teori. Sumbangan dia mungkin tak membumi secara langsung, tapi sumbangannya besar kepada saintis sains sosial untuk menjalankan kajian atau merancang polisi. Kalau tidak ada ahli teori, saintis sains sosial pun kekurangan panduan untuk menjalankan kajian.
TIDAK.
Sebab penuntut sains sosial tidak hidup untuk berbahas teori semata-mata. Sebetulnya, penuntut sains sosial banyak diajar untuk memahami masalah-masalah empirikal.
Kalau dalam IR (international relations), belajar tentang perilaku masyarakat politik antarabangsa. Kalau dalam sains politik, belajar tentang perilaku masyarakat politik dalam membuat keputusan. Kalau dalam sosiologi, belajar perilaku masyarakat kolektif dalam kehidupan. Kalau dalam komunikasi, belajar tentang perilaku masyarakat dalam berhubungan. Semua itu memerlukan kepada analisis untuk memahami jawapan tepat kepada masalah yang berlaku.
Ramai orang nampak penuntut sains sosial hanya sekadar bagi pandangan demi pandangan yang bersifat subjektif lalu rasa, “Alah, aku pun boleh cakap kalau begitu. Tak perlu belajar tinggi-tinggi pun.”
Ianya bergantung, sama ada pandangan itu datang daripada pandangan segera peribadi, atau sememangnya sudah berasaskan kajian. Sama seperti seorang mufti yang bagi jawapan segera di meja ceramah berbanding fatwa-fatwanya yang sudah melalui proses istinbat hukum.
Begitu juga dalam bidang sains sosial, teori-teori itulah yang akan menjadi alat dalam proses kajiannya. Hasil kajian itu sudah tentu boleh diperdebatkan semula, tapi ketahuilah upaya untuk mendapatkan hasil itu tidak mudah.
Jadi?
Jadi, jangan ambil mudah dan buat-buat tahu untuk merumuskan masalah kemasyarakatan. Tidak ada masalah pun sesiapa nak bagi pandangan, kerana setiap orang ada idea dan pandangannya tersendiri. Malah saintis sains sosial juga banyak mendapat kebaikan daripada pandangan awam (public opinion).
Tapi, proses merumus dan menawarkan penyelesaian kepada masalah sosial adalah tidak mudah dan ada disiplinnya untuk membuat rumusan. Maka sebab itulah bidang sains sosial itu wujud.