NOTA BUAT PELAJAR UNIMAS SESI 2016/2017

11062363_10204593431058140_430677516062147289_n

1) Salam sejahtera dan selamat datang kepada pelajar-pelajar baru yang telah memasuki Universiti Malaysia Sarawak Sesi 2016/2017. Ini nota daripada seorang mantan mahasiswa daripada universiti yang sama, yang telah bergraduasi pada November tahun lalu dalam bidang Hubungan Antarabangsa.

2) Tujuan nota ini ditulis tidak sekadar untuk melahirkan aspirasi kegembiraan saya kepada kalian yang berjaya menjejakkan kaki ke menara gading, dan bukan pula bertujuan mencampuri institusi yang saya tidak ada kena-mengena lagi dengannya. Tapi sekadar berkongsi sedikit pesanan saya kepada kalian, dan saya jadikannya sebagai nota terbuka sementelah agak ramai daripada kalian yang menghantar mesej ke FB saya bertanyakan nasihat. Maka nota terbuka ini diharap kalian baca dan lebih jelas apa pesanan yang akan saya berikan, dan sentiasa saya berikan apabila ditanyakan.

3) Kalian perlu sedar bahawa kalian adalah orang-orang yang sedang beruntung apabila diberi peluang menjejakkan kaki ke universiti. Universiti bukan satu-satunya pusat keilmuan, tetapi tidak semua yang diberi peluang seperti kalian. Maka perkara pertama yang kalian perlu faham ialah: Apakah makna universiti? Kalian yang akan menentukan makna universiti buat diri kalian dan kalian mencorakkannya sebagai sebuah bentuk masa depan kalian.

Sebab itu saya katakan, kalian “sedang beruntung”. Kerana kalian sedang beruntung berada dalam sebuah pusat yang sepatutnya menjadikan kalian sebagai ilmuwan pencerahan yang menjadi pencerah kepada masyarakat. Tetapi jika kalian tidak memaknai “Apa itu universiti?” dengan betul, maka kondisi “sedang beruntung” akan boleh bertukar menjadi “sedang kerugian”. Kalian akan rugi jika universiti adalah sekadar tempat kalian untuk berulang-alik ke bilik kuliah, memasuki dewan peperiksaan untuk memuntahkan kembali hafalan-hafalan nota kalian, ataupun berada di bilik dan keluar hujung minggu berjalan-jalan. Jika itu makna universiti bagi kalian, jika itu kitaran hidup kalian sepanjang 3-4 tahun di universiti, maka ternyata kalian akan “sedang kerugian”.

Pernah saya tuliskan dalam satu kertas kerja saya bertajuk Pemaknaan Universiti Terhadap Intelektualisme Mahasiswa, saya nyatakan bahawa,

“Pemaknaan universiti sepatutnya menjadikan mahasiswa lebih berkesedaran ke arah intelektualisme yang lebih mendekatkan diri mereka dengan realiti kemasyarakatan dan menjadi seseorang yang lebih bertanggungjawab terhadap persekitaran di sekelilingnya. Kampus universiti adalah medan terbaik untuk mahasiswa mengenali realiti dan tidak sekadar terperuk di dalam bilik untuk mengulangkaji. Ketirisan pembudayaan ilmu di universiti menyebabkan roh sebenar universiti semakin pudar dan makna kependidikannya dalam erti kata yang sebenar semakin hilang. Keupayaan intelektualisme mahasiswa ini sepatutnya diperkuat perlu diperkuat kerana ianya adalah akar kepada keupayaan idealisme dan aktivisme mahasiswa untuk bergerak di barisan hadapan dalam memperjuangkan hak-hak masyarakat.”

4) Kefahaman dan kesedaran sebagai mahasiswa itu akan mencorakkan bagaimana kalian berfikir dan menuntut ilmu. Ada ilmu dituntut adalah sekadar untuk mendapat CGPA tinggi. Ada ilmu dituntut sekadar untuk memastikan masa hadapan diri sendiri cerah dengan pekerjaan yang bagus dan mengumpul harta yang banyak. Paling berbahaya, ada orang menuntut ilmu adalah untuk dijadikan alat membongkarkan kesilapan orang lain, di mana dengan ilmunya justeru dia melihat orang lain sentiasa tidak betul atau mengagung-agungkan diri sendiri dengan menganggap ia pakar dalam ilmu yang dipelajari.

Andai pemikiran sebegitu muncul dalam benak kalian, ianya adalah suatu kerugian. Mahasiswa perlu muncul sebagai watak-watak penting dalam pembentukan negara kerana merekalah yang akan memanifestasikan sebuah negara itu bakal menjadi apa. Suka saya petika satu kata-kata daripada Saidina Ali r.a “Jika ingin lihat siapa pemimpin pada masa akan datang, lihatlah siapa anak mudanya pada hari ini.” Sebab itu kefahaman pendidikan dalam pemikiran kalian itu harus tersemat pada ruang untuk mengisinya dengan makna ilmu dan adab yang sebenar.

Ruang ilmu dan pendidikan itu perlu diisi dengan meletakkan nilai ilmu itu pada kedudukannya yang sebenar. Jika universiti hanyalah sekadar pentas untuk berbicara soal cinta dan kahwin nikah, atau sekadar nyanyian dan qasidah, kependidikan kalian akan diukur berasaskannya dan pemikiran kalian akan disusun daripadanya. Kalian harus keluar daripada kepompong wacana populis itu dan terus membawa anjakan pemikiran kritikal dengan melihat universiti itu adalah sebuah negara, dan kalian adalah pemimpin yang membawa pembaharuan kepadanya dengan wacana dan paradigma yang kritikal dan terbuka.

5) Perpustakaan UNIMAS (CAIS) tu banyak buku-buku yang berkualiti. Ambil masa untuk selongkar setiap buku dan hadamkan. Kalian mungkin kekurangan masa dan tenaga untuk baca satu persatu bukunya, tapi jangan sampai tidak baca satu pun bukunya. Adalah suatu kerugian apabila buku-buku di CAIS itu sekadar ditelaah ketika musim menyiapkan “assignment” atau musim peperiksaan. Sebilangan mahasiswa terlalu aktif dengan aktivisme tetapi mengabaikan ilmu dan pengetahuan yang sepatutnya seiring diperdalam agar setiap perancangan dan keputusan adalah bijaksana. Tetapi ada jua yang terlalu terperuk dengan bacaan-bacaan seorang diri tapi tidak keluar memahamkan masyarakat tentang apa yang perlu difahami. Idealisme dan aktivisme, seiringkanlah. Agar mahasiswa tidak sekadar terbeku minda dengan penghawa dingin bilik kuliah.

6) Kalian perlu ambil masa untuk memahami budaya persekitaran UNIMAS. Adakala apa yang ada dalam fikiran kita tidak sama dengan apa yang sedang berlaku secara realiti. Fahami selok-belok UNIMAS dan budaya masyarakatnya dalam berinteraksi. Daripada itu kalian akan mula fahami apakah isu-isu yang sedang terjadi dan apakah yang kalian perlu lakukan daripadanya. Usah terlalu mudah terjerut dengan nasihat “Mahasiswa jangan berpolitik”. Itu cumalah suatu feudalisme yang telah lama berakar dan sekian lama dijadikan slogan di kampus-kampus universiti. Politik itu luas definisinya.

Terutama kepada pelajar Fakulti Sains Sosial, kalian akan mempelajari makna politik sebenar dalam kelas Introduction To Political Science pada tahun pertama. Kalian akan diajar tentang apakah itu politik dan bagaimana kita sebagai masyarakat tidak dapat tidak, akan terlibat dengan politik. Fahami dan amalkan. Tidak guna jika diajar tentang politik, tetapi dilarang berpolitik. Larangan berpolitik samalah seperti melarang Fakulti Sains Sosial untuk wujud di kampus universiti.

7) Nasihat terakhir saya kepada kalian, jadilah mahasiswa dan mahasiswi yang progresif dan kritikal mencerap sesuatu perkara. Usah terlalu mudah untuk menerima dan bersetuju dengan sesuatu perkara melainkan fikir dan renung terlebih dahulu sebelum membuat keputusan dan pendirian. Budayakan wacana ilmu di kampus universiti. Universiti yang lebih banyak hiburan berbanding wacana ilmu adalah seperti masjid yang telah dijadikan pusat hiburan. Rohnya mati dan jemaahnya lesu. Banyakkan wacana-wacana kritikal yang membincangkan isu-isu dan idea-idea. Kurangkan forum-forum nikah kahwin ataupun cinta lara. Universiti bukan tempat baitul muslim atau pejabat qadi. Universiti adalah tempat penyuburan ilmu. Suburkanlah.

Kalian adalah orang-orang yang diberi peluang untuk belajar di universiti. Jangan kalian lupakan kepada masyarakat di luar sana yang tidak berpeluang seperti kalian. Kalian ada tanggungjawab besar untuk mereka. Tuntut ilmu sedalamnya dan didik masyarakat di luar sana seperti mana kalian dididik. Pendidikan adalah untuk semua.

8) Saya doakan kalian semua menjadi mahasiswa yang cemerlang dalam semua perkara. Biar kalian bergraduasi di hujung pengajian kalian dengan sesuatu yang bermakna, bukan sekadar kecemerlangan CGPA ataupun mendapat anugerah gilang-gemilang semata-mata. Seperti saya katakan sebelum ini, kalian “sedang beruntung”. Jangan biarkan diri kalian “sedang kerugian”.

Salam hormat,

 

Ahmad Muziru Idham Bin Adnan

Mantan mahasiswa UNIMAS 2015

Pelajar Hubungan Antarabangsa Sesi 2012/2013

Advertisement

Published by A. Muziru Idham

Seorang mahasiswa lepasan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dalam bidang Pengajian Antarabangsa. Sedang melanjutkan pengajian dalam sarjana Analisis Strategi & Keselamatan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Berminat dalam perbincangan dan pembacaan tentang sastera, hubungan antarabangsa, hak asasi manusia, gerakan sivil, politik Timur Tengah, agama, dan falsafah, tetapi sangat malas hendak mengulas tentang politik tempatan. Sebarang urusan dengan saya boleh diemelkan kepada: amuziruidham@yahoo.com

4 thoughts on “NOTA BUAT PELAJAR UNIMAS SESI 2016/2017

  1. Assalamualaikum , satu penulisan yang amat bernas dan kritikal, terima kasih sangat. Saya bekas pelajar stpm dan berminat melanjutkan pelajaran di Unimas dalaam hubungan antarabangsa. Tapi, masa saya isi upu utk pemilihan kos, unimas ada kos ‘kajian’ antarabangsa tetapi bukan ‘hubungan’ antrabangsa. Sy bertanya dgn kaunselor sklh sama x dua2 kos ni, cikgu kata tak sama. Heartbroken la jugak. jadi sy pun pilih UMS as first choice. Persoalan saya, adakah kajian antrabgsa sama dengan hubungan antarabgsa walaupun nama yg sedikit berbeza ?

    Like

    1. Waalaikumussalam warohmatullah. Terima kasih. Moga bermanfaat. Sebetulnya, Kajian Antarabangsa dan Hubungan Antarabangsa adalah bidang yang sama. Cuma nama sahaja yang sedikit berbeza. Tapi tidak ada masalah pun andai ada rezeki menyambung pelajaran di UMS pun. Sebab saya pernah rujuk juga silibus yang dipelajari oleh rakan UMS saya dalam bidang Hubungan Antarabangsa. Asasnya, subjek Hubungan Antarabangsa di UMS tidak banyak bezanya dengan apa yang saya pelajari di UNIMAS.

      Like

      1. Terima kasih atas penerangan tersebut. Hajat memang nak ke Unimas. Nampaknya penerangan yang meyakinkan yang langsung dari student bidang tersebut, bolehla nak kemas kini semula upu :D. Unimas, here i come ! Terima kasih , semoga maju jaya saudara dan sentiasa berada dibawah lindunganNya.

        Liked by 1 person

      2. Oh. Baguslah. Selamat datang ke UNIMAS nanti ya jika ada peluang menyambung pelajaran di sana. Amin. Selamat maju jaya juga buat saudari dan ditambahkan ilmu yang bermanfaat.

        Like

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: